Zulkifli (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 pada Rabu. Foto: Bernama
Zulkifli (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 pada Rabu. Foto: Bernama

24,761 calon raih 9A! Keputusan UPKK 2025 menunjukkan prestasi cemerlang

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 Feb 2026 12:19pm

Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2025 telah diumumkan pagi tadi di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Othman Ibnu Affan (SIRAJ SUBA), Kuala Lumpur.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, seramai 24,761 daripada 251,392 calon berjaya meraih 9A dalam mata pelajaran yang diambil, termasuk Akidah, Ibadah, Sirah, Adab, Bahasa Arab, Jawi & Khat, Tilawah & Hafazan, Amali Solat serta Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI).

Selain itu, 25,230 calon memperoleh 8A, manakala 18,990 calon meraih 7A, menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam kalangan murid seluruh negara.

"Tahniah dan syabas kepada seluruh calon UPKK 2025 atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan.

"Usaha dan ketekunan anda hari ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian akademik, tetapi juga merupakan pelaburan ilmu dan pembinaan karakter untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin kompleks dan dinamik," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 pada Rabu.

Sementara itu, Laporan Analisis Keputusan UPKK 2025 menunjukkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) meningkat daripada 1.85 pada 2024 kepada 1.83, menandakan prestasi keseluruhan calon bertambah baik.

"Alhamdulillah, daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki semua kertas peperiksaan, 89.61 peratus calon berjaya mencapai tahap lulus keseluruhan UPKK 2025," tambah Dr Zulkifli.

Keputusan ini mencerminkan bukan sahaja kecemerlangan akademik, tetapi juga kesungguhan murid dalam mempelajari dan menghayati nilai-nilai Islam sejak peringkat awal pendidikan.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Keputusan UPKK Tahun 2025 telah diumumkan di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Othman Ibnu Affan di Kuala Lumpur
  • Seramai 24,761 daripada 251,392 calon meraih 9A
  • Sejumlah 25,230 calon memperoleh 8A dan 18,990 calon meraih 7A
  • Gred Purata Kebangsaan meningkat dari 1.85 pada 2024 kepada 1.83 pada 2025
  • 89.61 peratus calon berjaya mencapai tahap lulus keseluruhan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp