Bapa mana yang tidak sebak melihat anaknya sentiasa bersama al-Quran, walau di mana sahaja berada.
Itulah yang dirasai Firdaus Mokhtar, seorang motivator, penulis buku dan pencipta kandungan media sosial terkenal di negara ini, ketika melihat anak perempuannya, Nur Abidah Mukhlisah yang lebih mesra disapa Abidah, begitu dekat dengan al-Quran.
Abidah kini berada di Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, Besut, Terengganu sebuah sekolah yang menekankan hafazan dan penghayatan al-Quran.
Menurut Firdaus, pengalaman itu berlaku baru-baru ini ketika beliau menghantar Abidah pulang ke asrama.
"Di KLIA, saya bagi tahu Abidah yang saya ke tandas sekejap sebelum naik kapal terbang. Selepas itu, saya tercari-cari dia. Rupanya dia duduk di bawah, di tepi beg tariknya, tengah buka al-Quran dan membaca untuk hafazan," kongsinya di Facebook.
Kemudian, Firdaus mengambil sedikit masa untuk menunaikan solat dan setelah selesai, beliau memanggil Abidah untuk berjumpa di ruang menunggu luar balai ketibaan.
Namun, sekali lagi, beliau ternampak Abidah dengan al-Quran di tangannya.
"ALLAH, sebak hati saya melihat anak yang tak lekang dengan al-Quran," katanya penuh emosi.
Firdaus menjelaskan, suasana sebegini dibentuk oleh MRSM Ulul Albab, yang menyediakan persekitaran pendidikan berasaskan al-Quran.
"Kita nak anak-anak berada dalam suasana al-Quran. Membesar dan membentuk usia remaja dengan al-Quran yang selalu ada setiap hari.
"Iya, saya faham dekat rumah pun boleh buat. Tapi sekuat mana kita dapat disiplinkan rutin tu, itu yang jadi persoalan. Kita pun kadang sibuk dengan kerja, jadi nak bentuk suasana tu tak mudah.
"Maka kalau ada rezeki, cubalah mohon ke sekolah-sekolah Ulul Albab. Mulakan dengan azam dulu. Nanti susul pula dengan usaha dan ikhtiar. Mana tahu rezeki kan?
"Saya tak kata semua pelajar di sekolah Ulul Albab ni ‘menjadi dan baik’ semua. Yang duduk dekat dalam je tahu apa pernah jadi itu dan ini.
"Paling tidak kita usahakan yang terbaik untuk anak-anak kita sendiri. Moga itu bakal menjadi tempat jatuhnya pandangan ALLAH untuk ampunkan dosa-dosa kita yang dulu dan akan datang," kongsinya lagi.
Semoga Abidah terus teguh dengan al-Quran, istiqamah dalam hafazan dan menjadi inspirasi buat rakan sebaya. Semoga setiap lembaran ayat yang dibaca menjadi cahaya penunjuk jalan di dunia dan akhirat.