41 pelajar SMK Kota Kemuning terima duit raya, kongsi kegembiraan Aidilfitri

Iklan
Mohd Fauzi (duduk, dua dari kiri), Aspalela (duduk, dua dari kanan) bersama pelajar yang menerima sumbangan duit raya daripada ZAR Group.

Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor menerima sumbangan duit raya dalam Majlis Sumbangan Kasih Ramadan yang berlangsung pada Selasa.

Pelajar Tingkatan Tiga hingga Tingkatan Lima itu dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan kategori asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.

Iklan
Iklan

Sumbangan tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh ZAR Group bagi membantu meringankan beban pelajar dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Pengetua Cemerlang SMK Kota Kemuning, Mohd Fauzi Zailan berkata, pihak sekolah amat menghargai keprihatinan syarikat yang tampil menghulurkan bantuan kepada para pelajar.

Iklan

Menurutnya, sumbangan itu bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan keluarga, malah turut memberi kegembiraan kepada pelajar untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.

"Pelajar SMK Kota Kemuning sangat bertuah kerana ramai pihak, termasuk syarikat korporat, sudi menghulurkan bantuan sempena musim perayaan.

Iklan

"Setiap syarikat biasanya menaja sebahagian pelajar. Dengan cara ini, lebih ramai pelajar dapat merasai sumbangan duit raya dan tidak ada yang tercicir daripada menerima bantuan," katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Beliau turut berharap agar pelajar yang menerima sumbangan dapat memanfaatkan bantuan tersebut dengan sebaiknya serta mengutamakan keperluan penting terlebih dahulu.

"Gunakanlah sumbangan ini dengan bijak, sama ada untuk membeli kelengkapan raya yang perlu atau membantu meringankan sedikit perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif ZAR Group, Datuk Aspalela Ramly, hadir bagi menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar terpilih.

Kehadiran beliau bukan sahaja menyerikan majlis, malah turut memberi peluang kepada pelajar bertemu dan berinteraksi dengan tokoh korporat yang prihatin terhadap kebajikan mereka.