Seramai 10 pensyarah dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima Pensijilan Semiconductor Package Assembly & Test Professional (SAT-Pro) daripada Micron Technology menerusi anak syarikatnya Micron Memory Malaysia, sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Pengiktirafan tersebut mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar universiti berkenaan dalam bidang teknologi semikonduktor, khususnya dalam fasa pemasangan dan pengujian (Assembly & Test) yang menjadi antara komponen penting dalam rantaian industri elektronik global.
Penyertaan UTeM dalam program ini menzahirkan komitmen universiti dalam memperkukuh pendidikan teknikal yang berorientasikan industri.
Kesemua pensyarah terlibat berjaya melengkapkan latihan intensif selama 40 jam, melibatkan modul asas dan lanjutan berkaitan teknologi semikonduktor yang dibangunkan berasaskan keperluan industri semasa di peringkat global.
10 yang menerima pensijilan tersebut ialah Ts Dr Mohd Syafiq Abd Aziz dan Dr Mizah Ramli dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal; Atikah Razi, Norhazilina Bahari serta Ts Muhamad Faiza Yaakub (Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik); Profesor Madya Dr Seri Rahayu Kamat dan Dr Khairul Fadzli Samat (Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan); serta Ts Dr Afifah Maheran Abdul Hamid, Profesor Madya Ts Dr Muhammad Idzdihar Idris dan Dr Haslinah Mohd Nasir dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer.
Kesemua mereka menerima sijil berkenaan dalam Majlis Pensijilan dan Pelancaran SAT-Pro yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Mengulas pencapaian tersebut, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program SAT-Pro mencerminkan usaha strategik antara institusi pendidikan tinggi dan industri dalam menyokong agenda pembangunan bakat negara.
Menurut beliau, sektor semikonduktor kini menjadi antara industri berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
"Pensijilan SAT-Pro ini memberi impak signifikan terhadap pemerkasaan kurikulum di UTeM apabila input teknikal daripada Micron Technology dapat diintegrasikan secara langsung dalam struktur pembelajaran berteraskan industri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Mohd Rizal Salleh berkata, pengiktirafan tersebut memberikan kelebihan strategik kepada universiti untuk menawarkan modul pendidikan yang lebih dinamik serta selari dengan piawaian industri global.
"Dengan adanya barisan pensyarah yang diiktiraf dalam bidang pemasangan dan pengujian semikonduktor atau Assembly and Test Manufacturing Process (ATMP), penyampaian ilmu di bilik kuliah dapat diperkukuh dengan pendekatan lebih praktikal.
"Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti program akademik sedia ada, malah memastikan pembelajaran sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi sebenar dalam sektor pembuatan termaju," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini memberi impak positif kepada kebolehpasaran graduan UTeM serta menyokong usaha pembangunan bakat negara yang selaras dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).