Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sekian lama menjadi simbol kemuncak pencapaian akademik, sering dibayangkan melalui tesis tebal beratus-ratus halaman yang menghimpunkan teori, metodologi dan dapatan kajian.
Namun landskap pendidikan tinggi Malaysia kini memasuki fasa baharu apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan model PhD by Product, satu pendekatan yang membuka ruang kepada calon untuk dinilai berdasarkan produk atau inovasi yang dihasilkan.
Perubahan ini tidak bermaksud tesis diketepikan sepenuhnya, sebaliknya memperluas definisi sumbangan kedoktoran.
Jika sebelum ini penilaian hampir sepenuhnya tertumpu kepada penulisan akademik, kini sumbangan ilmu boleh dizahirkan dalam bentuk teknologi, sistem, paten, standard industri atau karya kreatif profesional, asalkan ia disokong dokumentasi penyelidikan yang kukuh dan melalui proses penilaian yang setara ketatnya dengan laluan tradisional.
Produk yang dihasilkan tetap perlu dihuraikan secara terperinci, daripada masalah yang ingin diselesaikan, jurang ilmu yang dikenal pasti, metodologi pembangunan, hinggalah kepada bukti keberkesanan dan keaslian sumbangannya.
Calon juga masih perlu mempertahankan hasil kerja dalam sesi viva voce di hadapan panel pakar.
Hakikatnya, pendekatan sebegini bukan sesuatu yang asing di peringkat global.
Di China, beberapa universiti terkemuka telah lama memberi pengiktirafan kepada sumbangan praktikal dalam bidang strategik seperti kejuruteraan maju dan teknologi industri.
Harbin Institute of Technology misalnya pernah menganugerahkan PhD kepada calon yang membangunkan peralatan kimpalan laser vakum berteknologi tinggi sebagai penyelesaian industri sebenar.
Sementara itu, Tsinghua University mengambil pendekatan lebih berani dengan menghapuskan keperluan wajib penerbitan jurnal bagi graduan PhD, sebagai usaha mengurangkan budaya publish or perish yang dikatakan mendorong lambakan artikel berkualiti rendah.
Penilaian lebih tertumpu kepada impak dan sumbangan sebenar terhadap bidang strategik negara.
Di United Kingdom pula, laluan PhD berasaskan penerbitan telah lama wujud.
University of Essex menawarkan model di mana calon mengemukakan karya yang telah diterbitkan dan disintesiskan dalam satu analisis menyeluruh sebelum dinilai melalui viva.
Aberystwyth University turut membenarkan penyelidik berpengalaman menyusun karya terdahulu untuk dinilai setaraf tesis doktoral, selagi keseluruhan kerja tersebut membentuk sumbangan ilmiah yang koheren dan signifikan.
Pendekatan serupa juga dapat dilihat di Australia dan Scandinavia.
Victoria University melaksanakan model Thesis with Publications yang menggabungkan artikel diterbitkan menjadi satu tesis lengkap dengan penjelasan konseptual yang menyatukan keseluruhan kajian.
Deakin University pula membenarkan gabungan karya kreatif bersama laporan akademik, khususnya dalam bidang seni dan reka bentuk.
Di Norway, University of Bergen menjadikan tesis berasaskan artikel sebagai amalan biasa, namun keseluruhan karya tetap dinilai sebagai satu penyelidikan menyeluruh.
Di Jepun, Okinawa Institute of Science and Technology membenarkan tesis melalui penerbitan dengan piawaian ketat termasuk semakan plagiarisme dan perlindungan hak cipta, malah menyediakan ruang perjanjian kerahsiaan sekiranya inovasi mempunyai nilai komersial tinggi.
Dalam konteks bidang kecerdasan buatan, model PhD by Product boleh diterjemahkan melalui pembangunan sistem yang benar-benar berfungsi dalam dunia sebenar.
Bayangkan seorang calon membangunkan sistem AI yang mampu mengesan tanda awal strok melalui analisis imej perubatan dengan ketepatan lebih tinggi berbanding kaedah konvensional, dan sistem tersebut digunakan di hospital dengan data ujian klinikal yang sah.
Atau seorang penyelidik membina model ramalan banjir masa nyata yang digunakan oleh agensi kerajaan untuk mengurangkan kerugian akibat bencana.
Dalam kedua-dua keadaan ini, produk hanyalah manifestasi luaran kepada sumbangan ilmu yang lebih mendalam, yang tetap perlu dibuktikan melalui kerangka penyelidikan yang sistematik dan boleh diuji.
Namun begitu, pelaksanaan model ini memerlukan garis panduan yang jelas dan telus.
Penentuan tahap keaslian sumbangan, pemisahan antara inovasi sebenar dan pembangunan rutin, serta pengurusan isu hak cipta dan pemilikan harta intelek perlu ditangani secara berhati-hati.
Tanpa kawalan rapi, terdapat risiko penilaian menjadi tidak seragam atau terlalu bergantung kepada reputasi institusi dan bukannya merit sebenar penyelidikan.
Secara keseluruhan, PhD by Product bukanlah usaha mempermudah laluan kedoktoran, sebaliknya memperluas definisi kecemerlangan akademik agar lebih selari dengan keperluan industri dan masyarakat.
Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, universiti bukan sekadar pusat penghasilan teori, tetapi juga medan penciptaan penyelesaian nyata.
Jika dilaksanakan dengan piawaian yang jelas oleh MQA, model ini berpotensi melahirkan doktor falsafah yang bukan sahaja cemerlang berhujah di atas kertas, tetapi juga mampu menghasilkan teknologi dan sistem yang benar-benar memberi impak kepada pembangunan negara.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhamad Hariz Muhamad Adnan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my