Di sebalik angka dan kedudukan dalam ranking dunia, tersimpan ribuan kisah usaha, pengorbanan dan impian anak muda yang akhirnya mengangkat nama Universiti Utara Malaysia (UUM) ke persada global.
Terbaharu, UUM mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul antara terbaik dunia dalam bidang Perakaunan dan Kewangan berdasarkan penarafan QS World University Rankings by Subject 2026, sekali gus meletakkan universiti itu dalam kelompok elit global.
Namun, kejayaan ini bukan sekadar tentang universiti, akan tetapi ia kisah tentang manusia di sebaliknya.
Bagi ramai pelajar, khususnya yang datang dari latar belakang sederhana, UUM menjadi medan untuk mengubah kehidupan. Dengan akses kepada pendidikan berkualiti, bimbingan pensyarah berpengalaman serta peluang terlibat dalam penyelidikan dan industri, mereka kini mampu berdiri setanding pelajar antarabangsa.
Seorang pelajar tahun akhir Perakaunan berkongsi bahawa pencapaian ini memberi suntikan motivasi untuk terus berusaha.
“Bila tengok universiti kita diiktiraf dunia, rasa bangga dan lebih yakin dengan masa depan. Ia bukti usaha kami selama ini bukan sia-sia,” katanya.
Kejayaan itu turut didorong oleh komitmen tinggi tenaga akademik, khususnya dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi serta memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa. Pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malah menjadi mentor yang membimbing pelajar memahami realiti dunia kewangan sebenar.
Dalam masa sama, pendekatan pembelajaran yang relevan dengan industri seperti perakaunan antarabangsa, percukaian dan pengurusan risiko membantu pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran kerjaya.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga universiti yang tidak pernah berhenti mengejar kecemerlangan.
“Ini adalah bukti bahawa dengan komitmen dan strategi yang tepat, kita mampu bersaing di peringkat global,” ujarnya.
Lebih menarik, kejayaan ini turut memberi inspirasi kepada pelajar sekolah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bahawa laluan ke peringkat antarabangsa tidak semestinya bermula di luar negara, sebaliknya boleh bermula di kampus tempatan.
Apa yang penting adalah kesungguhan, disiplin dan keberanian untuk mencuba!
Bagi warga UUM, pencapaian ini bukan noktah, sebaliknya titik permulaan untuk melangkah lebih jauh. Buat anak muda di luar sana, ia adalah bukti bahawa impian besar boleh bermula dari mana-mana termasuk dari sebuah kampus di Sintok, Kedah.