Fundify: Daripada pelajar untuk pelajar, cetus kesedaran kewangan di KV Keningau

Iklan

Bermula dengan hasrat kecil untuk membantu rakan sebaya lebih bijak mengurus duit, empat pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya mencetuskan impak besar melalui kempen literasi kewangan ‘Fundify’.

Thiery Christian Thomas, Awang Azizul Haziq, Vivianey Frederick dan Batrisya Jeffley bukan sekadar belajar tentang kewangan di dalam kelas, sebaliknya mengambil inisiatif menterjemahkan ilmu itu kepada tindakan nyata. Dengan sokongan geran RM1,200 daripada program Fun(d) for Life, mereka merancang dan melaksanakan kempen selama seminggu, dari 7 hingga 13 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Thiery, idea Fundify tercetus apabila mereka menyedari ramai dalam kalangan rakan sebaya masih kurang pendedahan tentang pengurusan kewangan asas.

“Kami mahu buktikan bahawa pelajar juga mampu memimpin perubahan, walaupun bermula dengan langkah kecil. Yang penting, kesedaran itu sampai,” katanya.

Iklan

Kempen tersebut menampilkan pendekatan santai tetapi bermakna, termasuk karnival permainan interaktif ala taman ria yang mendapat sambutan hangat pelajar. Setiap gerai permainan bukan sekadar hiburan, malah diselitkan elemen pendidikan seperti pencegahan penipuan, membuat keputusan pembelian bijak dan perancangan kewangan.

Tidak terhenti di situ, pasukan Fundify turut menganjurkan bengkel literasi kewangan yang memberi peluang kepada peserta merancang masa depan kewangan mereka secara lebih realistik.

Iklan

Vivianey berkata, pendekatan interaktif dipilih bagi memastikan ilmu yang disampaikan lebih mudah difahami dan diingati.

“Kami tak mahu ia jadi sekadar ceramah. Bila pelajar sendiri terlibat dalam aktiviti, mereka lebih faham dan rasa dekat dengan apa yang dipelajari,” jelasnya.

Menariknya, kempen ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk mula melabur apabila kaunter sementara Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) disediakan di lokasi. Melalui inisiatif berkenaan, pelajar boleh membuka akaun baharu atau mengemas kini akaun sedia ada, sekali gus mendekatkan mereka dengan dunia pelaburan sebenar.

Bagi Batrisya, pengalaman itu memberi kepuasan tersendiri apabila melihat rakan-rakan mula menunjukkan minat terhadap simpanan dan pelaburan.

“Bila nampak mereka mula bertanya dan ambil langkah pertama, itu sudah cukup bermakna bagi kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, memuji usaha pelajar yang bukan sahaja mempelajari literasi kewangan, malah berani berkongsi ilmu dengan cara kreatif.

“Inisiatif seperti ini wajar dicontohi kerana ia membentuk pelajar yang lebih proaktif dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka,” katanya.

Program Fun(d) for Life yang disokong Arus Academy dan FWD Insurance BSN pula terus komited memperkasa golongan belia di seluruh negara melalui pelbagai latihan dan geran bagi menjayakan projek literasi kewangan.

Fundify membuktikan, perubahan besar boleh bermula daripada usaha kecil – apatah lagi apabila digerakkan oleh anak muda yang berani mencuba.