UIAM 'Top 25 Dunia'! Bidang Teologi, Keagamaan & Pengajian Agama jadi tarikan lepasan SPM

Iklan
Foto: Ilustrasi Kecerdasan Buatan (AI)

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengharumkan nama negara apabila tersenarai dalam kelompok 25 universiti terbaik dunia bagi bidang Teologi, Keagamaan dan Pengajian Agama menerusi QS World University Rankings (QS WUR) 2026.

Pencapaian membanggakan itu meletakkan UIAM dalam kalangan 14 universiti di Malaysia yang berjaya menembusi kelompok 25 terbaik dunia dalam pelbagai bidang pengkhususan, sekali gus membuktikan peningkatan daya saing pendidikan tinggi negara di peringkat global.

Iklan
Iklan

Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, pengiktirafan itu memperkukuh komitmen universiti dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, khususnya dalam bidang pengajian Islam dan integrasi ilmu.

"Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi para sarjana, penyelidik dan pelajar dalam memartabatkan ilmu yang relevan serta memberi impak di peringkat global," maklumnya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan itu selari dengan aspirasi UIAM untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai universiti global berteraskan nilai Islam, selain memperteguh pegangan warga kampus terhadap epistemologi tauhidik.

Sementara itu, Dekan Kulliyyah Abdul Hamid AbuSulayman bagi Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS), Profesor Dr Hafiz Zakariya menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu dorongan besar untuk terus meningkatkan kualiti kurikulum dan penyelidikan.

Iklan

"Kedudukan ini mencerminkan kekuatan program akademik, hasil penyelidikan serta kerelevanan global pendidikan berasaskan ilmu wahyu, warisan Islam dan sains kemanusiaan," jelasnya.

Untuk rekod, penilaian QS WUR tahun ini melibatkan lebih 21,000 program akademik daripada kira-kira 1,900 institusi pendidikan di seluruh dunia, menjadikan pengiktirafan tersebut amat kompetitif dan berprestij.

Fakta ini sekali gus membuka mata lepasan SPM bahawa bidang Pengajian Agama dan Kemanusiaan di UIAM bukan sekadar relevan, malah diiktiraf di pentas dunia!