Kegembiraan jelas terpancar di wajah 20 orang murid daripada keluarga asnaf apabila menerima sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus membantu meringankan beban keluarga mereka.
Murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Seri Iskandar (SKSI), Mikhael Imanuddin Hijjaz Iskandar, 11, berkata, sumbangan diterima amat bermakna buat keluarganya yang bukan daripada golongan berada.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan untuk membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri.
"Saya rasa seronok sangat. Duit ini, saya guna beli baju raya warna teal blue. Bantuan ini memang dapat ringankan beban keluarga. Memang ada sumbangan diterima sebelum ini, ada yang saya guna untuk beli barang dapur,” katanya.
Seorang lagi penerima, Nur Ain Damia Nasuha Mohd Rodzi, 12, turut meluahkan rasa seronok apabila sekali lagi terpilih menerima bantuan berkenaan.
Murid Tahun 6 itu berkata, dia bercadang menggunakan sumbangan diterima untuk membeli baju raya berwarna merah jambu.
"Saya rasa seronok. Tahun lepas pun pernah dapat bantuan macam ini. Tahun ini nak beli baju raya warna pink,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKSI, Razisah Sahak berkata, seramai 20 murid dipilih sebagai penerima berdasarkan kriteria tertentu termasuk pendapatan keluarga dan status anak yatim.
Jelasnya, keutamaan diberikan kepada murid daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 serta mereka yang kehilangan ketua keluarga.
"Di sekolah ini terdapat kira-kira 161 murid berada di bawah garis kemiskinan. Tetapi untuk program ini, kita pilih seorang wakil bagi setiap keluarga supaya lebih adil kepada yang lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Cawangan Econsave Seri Iskandar, Afikah Shahirah Amat Safiee berkata, program tersebut bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan selain mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.
Katanya, sumbangan diberikan dalam bentuk baucar bernilai RM100, duit raya serta cenderahati kepada 20 murid terpilih.
Jelasnya, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pasar raya itu dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.