Pemergian Nurul Syakirah buat warga kampus sebak. 'Ajal dan maut rahsia ALLAH' - Netizen

Iklan
Bagi mereka yang mengenali arwah, pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang pelajar, tetapi juga sahabat yang sentiasa membawa kebaikan dalam pergaulan seharian.

Pemergian pelajar Tahun 1 Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Syakirah Muhammad Nizam pada 29 Mac lalu menyentuh hati ramai dan meninggalkan rasa pilu dalam kalangan rakan-rakan, pensyarah serta warga kampus tanah air.

Arwah dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25.40 arah Timur Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Iklan
Iklan

Berita pemergian Allahyarhamah yang masih di awal usia 20-an itu nyata mengejutkan ramai pihak. Semua sukar mempercayai bahawa seorang insan yang dikenali ceria, baik hati dan aktif dalam kegiatan kampus kini telah pergi buat selama-lamanya.

Bagi mereka yang mengenali arwah, pemergian tersebut bukan sekadar kehilangan seorang pelajar, tetapi juga seorang sahabat yang sentiasa membawa kebaikan dalam pergaulan seharian.

Iklan

Meninjau beberapa hantaran di Facebook, ROTU USIM memaklumkan bahawa pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga PALAPES USIM.

"Semoga ALLAH mengurniakan ketabahan, kesabaran dan kekuatan iman kepada seluruh ahli keluarga Pegawai Kadet Wanita Batch 46, PKW Nurul Syakirah dalam menghadapi ujian ini.

Iklan

"Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepadaNya kami kembali," kongsi mereka menerusi hantaran tersebut.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan berat ini.

Menurut mereka, kehilangan seorang mahasiswa yang sedang meniti perjalanan menuntut ilmu merupakan satu kehilangan besar kepada warga universiti.

Dalam masa yang sama, satu kutipan derma turut dibuka bagi membantu meringankan urusan keluarga arwah, sebagai tanda keprihatinan dan solidariti warga kampus terhadap keluarga ditinggalkan.

Beberapa organisasi dan komuniti mahasiswa lain seperti Faculty of Syariah and Law USIM, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Sinergi Mahasiswa UMS serta Mahasiswa Lestari turut merakamkan ucapan takziah serta doa buat beliau.

Rata-rata perkongsian tersebut menggambarkan betapa arwah dikenang sebagai mahasiswa yang baik akhlaknya serta disenangi ramai.

Tidak ketinggalan juga, netizen berkata, ajal dan maut merupakan rahsia ALLAH yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Tiada yang mampu menjangka bila dan bagaimana pertemuan terakhir dengan insan tersayang akan berlaku.

Sementara itu, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM turut menyalurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda sokongan kepada waris yang sedang melalui saat sukar.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr Mushaddad Hasbullah bersama Timbalan Pengarah PWZ, Profesor Madya Dr Nur Ainna Ramli kepada ahli keluarga arwah.

Pihak universiti berharap sumbangan tersebut dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga selain menjadi tanda kebersamaan dan keprihatinan warga USIM.

Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada PenciptaNya.

Semoga Allahyarhamah Nurul Syakirah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan syurga sebagai tempat peristirahatan yang abadi.