Insiatif PIBKS bersama JPN bantu kurangkan keciciran pelajar duduki SPM di Sabah

Iklan
Mohammad Arif

Bagi memastikan tiada lagi pelajar tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini, Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah terus mempergiat usaha turun padang ke kampung-kampung di setiap daerah.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengenal pasti lebih awal pelajar yang berisiko tidak menduduki peperiksaan, seterusnya membolehkan intervensi dilakukan bersama ibu bapa.

Iklan
Iklan

Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pendekatan berkenaan terbukti membantu mengurangkan kadar keciciran calon SPM di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan.

"Kami turun bersama pihak JPN dan PPD ke setiap daerah, termasuk ke Kota Belud dengan masuk ke kampung-kampung bagi mendekati ibu bapa pelajar yang dikenal pasti berisiko tidak menduduki SPM.

Iklan

"Kami akan berjumpa sendiri ibu bapa untuk menjelaskan kepentingan pendidikan serta memastikan anak-anak mereka hadir ke peperiksaan walaupun berdepan pelbagai kekangan.

"Walaupun ada pelajar yang kurang hadir ke sekolah, kita tetap dekati lebih awal dan akan teruskan usaha ini setiap tahun bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki SPM," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Ahad.

Sebelum itu, Mohammad Arif diminta mengulas mengenai statistik kehadiran pelajar yang tidak mengambil SPM pada tahun 2025 menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 905 pelajar kepada 699 pelajar.

Tambah beliau lagi, data kehadiran yang diperoleh daripada pihak sekolah membolehkan pelajar yang berisiko dikenal pasti lebih awal sebelum tindakan susulan diambil.

"Melalui data sekolah, kita sudah dapat mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah kehadiran dan berpotensi tidak menduduki SPM. Ini merupakan kelebihan kerjasama antara JPN dan PPD yang membolehkan tindakan awal diambil termasuk turun padang bertemu ibu bapa.

"Setakat ini, maklum balas yang diterima amat positif apabila ibu bapa menerima baik usaha ini dan berasa lega kerana ada pihak yang tampil membantu memastikan anak-anak mereka hadir ke peperiksaan.

"Program ini telah lama dilaksanakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum itu, Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya mengenal pasti 13 faktor penyumbang kepada isu ketidakhadiran pelajar untuk menduduki SPM.

Antaranya ialah perceraian ibu bapa, desakan hidup yang memaksa pelajar bekerja bagi menyara keluarga seawal usia 17 tahun, sudah berumah tangga, fokus kepada perkahwinan dan beberapa lagi faktor lain.