Dalam era digital yang serba pantas, setiap detik boleh dirakam dan dikongsi hanya di hujung jari. Bakat dalam dunia digital kini bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya menjadi satu potensi besar yang wajar digilap sejak di bangku sekolah.
Bagi sesetengah pelajar, segalanya bermula dengan video ringkas di platform seperti TikTok.
Namun di sebalik kandungan santai itu, tersimpan kreativiti, idea dan kemahiran yang mampu dikembangkan ke tahap lebih tinggi.
Menyedari hakikat tersebut, Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Rose Hanita Tarmuji berkata, penganjuran Bengkel Fotografi dan Videografi TV PSS menjadi medium penting untuk mengenal pasti serta mengasah bakat pelajar dalam bidang kreatif digital.
Menurut beliau, bakat digital pelajar tidak seharusnya terhenti pada sekadar ‘ikut trend’, sebaliknya perlu dibentuk agar lebih beretika dan mempunyai identiti tersendiri.
“Pelajar kita sebenarnya mempunyai bakat yang hebat. Ada antara mereka menghasilkan video di platform seperti TikTok yang mampu menarik perhatian rakan sebaya,” katanya kepada Sinar Bestari.
Bengkel yang diadakan sempena Minggu Pusat Sumber Sekolah (PSS) itu melibatkan seramai 30 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk mendalami kemahiran fotografi dan videografi secara lebih tersusun.
Rose Hanita berkata, selain memberi pendedahan dari aspek teknikal, bengkel itu turut meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkarya serta menyampaikan idea dengan lebih kreatif dan berstruktur.
Sebagai langkah susulan, pihak TV PSS bersama Kelab Videografi sekolah merancang untuk menganjurkan pertandingan ‘Vlog Battle’ di peringkat sekolah.
Program itu diinspirasikan daripada inisiatif Sinar Bestari, namun disesuaikan dengan persekitaran sekolah.
“Pelajar akan diberikan lokasi tertentu dalam kawasan sekolah untuk menghasilkan Vlog mereka. Ini dapat menguji kreativiti dan keupayaan mereka dalam menghasilkan kandungan berkualiti.
“Saya harap pelajar dapat menyumbang walaupun sedikit kepada sekolah dan terus berusaha mencapai kejayaan, sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun lebih tinggi,” ujarnya.