Penglibatan pelajar dalam aktiviti kampus bukan sekadar mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi platform penting dalam mencungkil bakat, membina keyakinan diri dan mengasah kemahiran kepimpinan.
Penyertaan aktif dalam pelbagai program juga mampu membuka ruang kepada pelajar untuk memberi impak kepada komuniti sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk turut serta.
Baru-baru ini, anak muda Malaysia, Darwisy Irfan Sanusi Azri telah menerima pengiktirafan menerusi International Community Achievement Award (ICAA).
ICAA adalah anugerah yang diberikan kepada pelajar antarabangsa yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk khidmat masyarakat, hubungan antara budaya dan kecemerlangan intelektual.
Merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda, University of British Columbia Okanagan Campus, Kanada, Darwisy Irfan yang mengikuti bidang Psikologi turut mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila muncul satu-satunya penerima lelaki bagi Student Involvement and Leadership Award 2025 di kampus berkenaan.
Pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan komitmen luar biasa dalam kepimpinan, aktif aktiviti kampus dan dedikasi tinggi terhadap program khidmat masyarakat, di samping mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.
"Sumbangan Darwisy Irfan bukan sahaja memberi kesan positif kepada komuniti kampus, malah berjaya meningkatkan penyertaan pelajar antarabangsa dalam pelbagai aktiviti dianjurkan.
“Kehadiran beliau turut mempelbagaikan suasana kehidupan kampus dengan aktiviti yang lebih inklusif dan berimpak," kongsi MARA USA di Facebook.
Kepada Darwisy Irfan, semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk dirinya terus mencipta lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia.