Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sememangnya dikenali sebagai institusi pendidikan elit yang menjadi idaman ramai pelajar di seluruh negara.
Bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah MRSM turut menyerlah di pelbagai bidang lain termasuk sukan, kepimpinan dan kini, seni muzik tradisional yang semakin mendapat perhatian.
Terbaharu, nama MRSM terus mengharum apabila tiga institusi pendidikan ini dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan seni muzik tradisional sempena Festival Keusahawanan dan Seni Muzik Tradisional MRSM Kebangsaan 2026 yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya.
Tiga MRSM yang mencipta kejayaan tersebut ialah MRSM Felda Trolak, Perak yang muncul juara kategori gamelan, MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan (caklempong) dan MRSM Langkawi, Kedah (Ensemble Music).
Di sebalik kejayaan manis itu, tersimpan kisah usaha dan pengorbanan yang tidak sedikit.
Menurut Ketua kumpulan MRSM Langkawi, Izz Daanish Amzar, kejayaan itu adalah hasil titik peluh selepas enam bulan menjalani latihan intensif yang penuh disiplin dan dedikasi.
"Kalau diikutkan, kami berlatih selama enam bulan dan dalam tiga bulan terakhir, kami benar-benar 'pulun' untuk memastikan kemenangan pada hari ini.
"Alhamdullilah, kami sangat gembira dan bangga kerana segala usaha dan pengorbanan akhirnya berbaloi," katanya penuh syukur.
Festival Keusahawanan dan Seni Muzik Tradisional MRSM Kebangsaan 2026 ini merupakan penganjuran julung kali yang menghimpunkan penyertaan daripada 58 MRSM seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ia bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah turut berperanan sebagai platform penting dalam memperkasa bakat seni pelajar serta memartabatkan warisan muzik tradisional agar terus hidup dalam jiwa generasi muda.