"Saya mula belajar al-Quran daripada ayah saya sendiri, bukan sekadar membaca biasa, tetapi secara terperinci dari segi tajwid, makraj huruf, sifat huruf dan sebutan huruf. Bagi saya, itu adalah rahmat paling besar," demikian perkongsian penuh makna Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali, 25, menerusi satu video pada Selasa.
Anak muda kelahiran Perak ini kini mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai Johan Qari (kategori Tilawah Al-Quran) sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Cik Hasnul Taqiyuddin yang juga pelajar Tahun Tiga jurusan al-Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bukan sahaja membawa pulang kejayaan peribadi, malah turut menaikkan nama universiti di pentas kebangsaan.
Dengan penuh rasa syukur, beliau mengakui kemenangan tersebut merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka.
"Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH SWT. Ini kejayaan yang pada saya mungkin tidak disangka kerana saingan sangat sengit.
"Ini juga kali pertama saya menjejakkan kaki ke pentas kebangsaan. Jadi saya anggap ini sebagai rezeki daripada ALLAH. Insya-ALLAH, saya akan cuba lakukan yang terbaik di pentas antarabangsa nanti," katanya yang membawa pulang wang tunai RM20,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, berserta piala, cenderamata dan sijil.
Bercerita tentang permulaan 'jatuh cinta' terhadap al-Quran, anak kepada pasangan Cik Sazali Jaafar (pegawai polis), 51, dan Puan Norainon Saad, 47, ini berkata, minatnya bermula sejak kecil apabila sering mendengar ayah membaca surah al-Mulk setiap malam. Tanpa disedari, beliau turut menghafalnya secara perlahan-lahan tanpa paksaan sesiapa.
Ketika di Tahun Empat, beliau mula mendapat dorongan penuh daripada ibu dan ayah untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat sekolah, yang akhirnya membuka jalan kepada kejayaan lebih besar sehingga ke hari ini.
Kini, perjalanan Cik Hasnul Taqiyuddin bukan sekadar kisah kejayaan, tetapi menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa didikan keluarga, minat yang disemai sejak kecil dan usaha berterusan mampu membuahkan hasil luar biasa.
Sinar Bestari mendoakan agar Cik Hasnul Taqiyuddin terus diberi kekuatan, dipermudahkan urusan serta melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.