Lagu Bintang nyata membawa tuah buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Selangor apabila muncul juara dalam pertandingan YoungStarz Tour (YST) Radio Lagu Hits 2026 di SMK Putrajaya Presint 18 (1) Ahad lalu.
Pelajar berusia 16 tahun, Haieqal Daienish Herman All Parise, berjaya menambat hati juri menerusi persembahan mantap dan vokal yang memukau ketika menyampaikan lagu nyanyian asal Budak Kacamata.
Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan, sekali gus mengharumkan nama sekolah di pentas pertandingan nyanyian peringkat ini.
Naib juara pula disandang pelajar SMK Cyberjaya, Selangor, Haifa Sufiya Hairul Effendi, 13, menerusi lagu Hero nyanyian asal Mariah Carey, manakala tempat ketiga dimenangi pelajar SMK Putrajaya Presint 11(1), Muhammad Syafi Rayyan Mohd Razam, 16, yang menyampaikan lagu Sampai Hati (Spring).
Kedua-dua pemenang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM300 berserta sijil penyertaan.
Pertandingan nyanyian yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran bersama Sony Music Entertainment Malaysia dan MindOrder Sdn Bhd, dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
YST 2026 menampilkan barisan juri berpengalaman iaitu Azzam Sham (guru vokal/ penyanyi/ pelakon) dan Afif Tirmizie (penyanyi), yang menilai peserta berdasarkan kualiti vokal, teknik serta persembahan pentas.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Naqiu, Kidd Santhe, NAZU dan Adrianna Cinta yang berjaya menarik perhatian penonton.
Naqiu yang mewakili MindOrder Sdn Bhd berkata, penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif positif bagi mencari pelapis penghibur dalam kalangan anak muda.
"Ini adalah pertama kali pertandingan nyanyian anjuran syarikat pengurusan artis dan syarikat rakaman diadakan di dalam sekolah. Ia adalah idea bijak dan efektif bagi mendekati remaja yang berbakat dalam nyanyian.
"Kami juga tidak sangka lebih 200 pelajar mengirimkan penyertaan menerusi platform media sosial tapi hanya 18 yang berjaya melepasi peringkat saringan sekali gus bersaing pada hari ini.
"Saya amat berpuas hati dengan persembahan mereka. Semuanya berbakat dan berpotensi menjadi penghibur profesional pada satu hari nanti," katanya yang turut mempersembahkan lagu Episod Cinta dan Juwita.
Sementara itu, Kidd Santhe menganggap acara ini bukan sekadar pertandingan nyanyian semata-mata.
"Ia adalah aktiviti sihat untuk anak muda selari dengan visi kerajaan dalam membentuk generasi muda yang lebih berdaya saing.
"Ia juga satu inspirasi kepada anak muda khususnya pelajar sekolah bagi memilih minat yang positif dan bekerja keras dalam mengejar impian," katanya.
Selain membuat persembahan, Kidd Santhe turut berkongsi sesi inspirasi selama 20 minit mengenai kesungguhan dan disiplin dalam mencapai kejayaan.
Jelajah YST 2026 dijangka diteruskan pada Jun depan melibatkan beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk menyerlah di pentas yang lebih besar.