Hari ini menjadi detik penting buat ribuan lepasan SPM 2025 apabila keputusan permohonan ke Program Matrikulasi diumumkan.
Di sebalik ucapan tahniah dan rasa syukur, media sosial turut dibanjiri pelbagai reaksi jujur bermula daripada kegembiraan, kegusaran, sehinggalah kekecewaan yang sukar disembunyikan.
"Alhamdulillah dapat matriks (matrikulasi)... tapi jauh la pulak Perlis," tulis seorang pengguna, menggambarkan dilema biasa yang dihadapi pelajar selepas menerima tawaran, namun terpaksa berjauhan dari keluarga.
Seorang lagi pelajar berkongsi;"Tak tahu la aku... dapat Kedah pula. Jauh la pula... tunggu kot ada rezeki asasi UiTM (Universiti Teknologi MARA)." Harapan terhadap laluan lain seperti program asasi masih menjadi sandaran bagi sesetengah calon.
Fenomena ini memperlihatkan bahawa keputusan penempatan bukan sekadar soal 'dapat atau tidak', tetapi turut melibatkan faktor lokasi, minat kursus dan kesiapsiagaan emosi pelajar.
Dalam masa sama, ada juga yang berkongsi kegembiraan mereka apabila berjaya melangkah ke fasa seterusnya;"Weh aku dapat matriks kat Gopeng, Perak. Siapa dapat sama weh?" tulis seorang pengguna, mengundang interaksi rakan-rakan yang bakal berkongsi destinasi pengajian.
Namun, tidak semua bernasib baik. Ada juga yang meluahkan kerisauan terhadap masa depan akademik;"Saya sangat takut IPG (Institut Pendidikan Guru) pun mengecewakan saya," tulis seorang calon lain, menunjukkan tekanan yang dirasai dalam membuat pilihan selepas SPM.
Menurut pemerhatian, antara isu utama yang menjadi perbualan hangat hari ini ialah:
- Penempatan kolej matrikulasi yang jauh dari negeri asal
- Ketidaksesuaian jurusan dengan minat pelajar
- Pertimbangan antara matrikulasi, asasi universiti dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
- Kebimbangan terhadap peluang masa depan
Walaupun begitu, pakar pendidikan sering menegaskan bahawa matrikulasi kekal sebagai salah satu laluan pantas ke universiti awam, dengan tempoh pengajian yang singkat serta sistem yang lebih tersusun.
Apa yang lebih penting, pelajar disarankan untuk melihat keputusan ini sebagai permulaan perjalanan, bukan penamat. Pilihan yang ada sama ada menerima tawaran, membuat rayuan atau memilih laluan lain, semuanya masih membuka ruang untuk berjaya.
Hari ini mungkin penuh emosi, namun bagi lepasan SPM 2025, inilah langkah pertama menuju masa depan yang lebih luas seperti yang dikongsi seorang pelajar secara ringkas tetapi penuh makna:
"Rezeki masing-masing… kita jalan je."
Dan mungkin, di situlah letaknya kekuatan sebenar generasi ini untuk terus melangkah walau dalam ketidakpastian.
Selamat maju jaya daripada Sinar Bestari!