'Cantik segera', risiko seumur hidup: Bahaya merkuri dalam produk kecantikan

Iklan
(Gambar hiasan)

Dalam era moden ini, penggunaan produk kecantikkan menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat.Masyarakat sekarang begitu obses ingin mendapatkan kulit yang putih,licin dan bebas dari cela dalam waktu yang singkat.

Ramai individu menggunakan pelbagai produk seperti krim pemutih, serum wajah dan sabun pemutih serta losen. Peningkatan permintaan terhadap produk kecantikkan ini juga dipengaruhi oleh iklan-iklan di media sosial yang memaparkan keberhasilan produk kecantikkan dengan harga yang murah.

Iklan
Iklan

Hal itu juga dipengaruhi oleh persepsi masyarakat yang sering kali mengaitkan kecantikkan dengan kulit yang putih.Namun, di sebalik keinginan untuk tampil cantik terdapat risiko yang sering di ambil mudah oleh masyarakat iaitu kewujudan bahan kimia berbahaya dalam produk kecantikkan.

Salah satu bahan yang paling berbahaya yang sering ditemui dalam produk kecantikkan tidak berdaftar ialah merkuri. Ia sejenis logam berat yang memberikan risiko kesihatan yang sangat bahaya terhadap kesihatan seseorang.

Iklan

Dalam industri kosmetik yang tidak terkawal, merkuri kadangkala digunakan dalam produk pemutih kulit kerana dapat menghalang penghasilan melanin dalam kulit.

Melanin ialah pigmen semula jadi yang memberikan warna pada kulit manusia. Apabila penghasilan melanin dikurangkan, kulit akan kelihatan lebih cerah dalam waktu yang singkat.

Iklan

Oleh sebab itu, sesetengah pengeluar produk kecantikkan yang tidak bertanggungjawab menjadikan merkuri sebagai salah satu bahan utama dalam produk mereka untuk menghasilkan kesan pemutihan yang cepat bagi menarik minat pengguna yang menginginkan kesan yang segera.

Walaupun kesan pemutihan dapat dilihat dengan segera, penggunaan merkuri boleh membawa kepada risiko kesihatan yang sangat serius dan fatal. Merkuri yang digunakan boleh diserap melalui rongga kulit dan masuk terus ke saliran darah manusia.

Apabila bahan ini terkumpul dalam badan, ia boleh merosakkan pelbagai organ penting tubuh seperti buah pinggang dan sistem saraf.

Oleh itu, penggunaan produk kecantikkan yang mengandungi merkuri secara berterusan boleh menyebabkan keracunan merkuri yang memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan manusia. Antara kesan pertama yang sering dialami oleh pengguna yang menggunakan produk yang mengandungi merkuri ialah kerosakkan kulit.

Pada peringkat awal penggunaan, kulit mungkin kelihatan sihat,lebih cerah dan licin akan tetapi penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan lapisan kulit rosak dan mudah mengalami iritasi. Pengguna juga mungkin mengalami ruam, kemerahan, jerawat yang teruk serta rasa pedih pada kulit.

Dalam sesetengah kes, selepas pengguna berhenti menggunakan produk itu, kulit mereka berubah menjadi lebih gelapkerana berlakunya kerosakan pada struktur kulit akibat bahan kimia berbahaya.

Selain memberi kesan kepada kulit, merkuri juga boleh menjejaskan sistem saraf manusia. Merkuri yang masuk ke dalam badan melalui rongga kulit boleh menganggu fungsi otak dan saraf. Antara simptom yang mungkin dialami termasuk sakit kepala, keletihan yang melampau, perubahan emosi, serta masalah ingatan.

Dalam kes yang lebih serius, individu terlibat boleh mengalami masalah tangan bergetar, gangguan koordinasi badan dan banyak lagi masalah neurologi yang lain.

Merkuri juga boleh menyebabkan kerosakkan buah pinggang.Jika keadaan ini berlarutan, mangsa berisiko mengalami penyakit buah pinggang yang serius.

Oleh itu, penggunaan produk kecantikan yang mengandungi merkuri bukan sahaja memberi kesan kepada kecantikan luaran, malah boleh menjejaskan kesihatan dalaman tubuh manusia. Bahaya merkuri dalam produk kecantikan sebenarnya merupakan isu global yang serius.

Lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia, produk pemutih kulit yang mengandungi merkuri masih dijual secara meluas di seluruh dunia walaupun banyak negara telah melarang penggunaanya.

Produk itu sering dijual melalui platform dalam talian atau pasaran tidak rasmi,menyebabkan pengguna terdedah kepada bahan kimia merbahaya tanpa mereka sedari. Perjanjian antarabangsa Minamata Convention On Mercury telah menetapkan had maksimum merkuri dalam produk kosmetik iaitu tidak melebihi 1mg/kg (1ppm).

Namun, masih lagi terdapat produk pemutih kulit yang mengandungi merkuri melebihi had yang telah ditetapkan. Satu kajian saintifik yang menganalisis 787 sampel produk pemutih kulit dari 22 negara mendapati bahawa hampir 24.9 peratus daripada produk mengandungi merkuri sebagai bahan aktif.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik melalui pangkalan data National Center For Biotechnology Information juga mendapati bahawa dalam sesetengah produk, kandungan merkuri boleh mencapai tahap yang sangat tinggi.

Pendedahan kepada merkuri bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna secara langsung, malah boleh memberi kesan kepada orang di sekeliling mereka. Produk kecantikan yang mengandungi merkuri boleh mencemarkan persekitaran rumah melalui sentuhan pada permukaan.

Kanak-kanak dan bayi merupakan golongan yang paling berisiko kerana sistem imun mereka yang masih belum berkembang sepenuhnya. Selain itu penggunaan bahan kecantikan yang mengandungi merkuri bagi wanita hamil juga merbahaya dan berisiko menggangu perkembangan otak bayi dalam kandungan.

Di Malaysia, penggunaan merkuri dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana risiko kesihatan yang tinggi. Pihak berkuasa sentiasa memantau produk kosmetik yang dijual di pasaran bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal selia produk kosmetik ialah Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang berfungsi untuk memastikan keselamatan, kualiti dan keberkesanan produk kosmetik sebelum dipasarkan di pasaran.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sering mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan kimia berbahaya seperti merkuri.

Walaupun terdapat kawalan dari pihak berkuasa,masih terdapat produk kecantikan yang mengandungi merkuri yang dijual secara tidak sah, terutama melalui platform dalam talian. Produk seperti ini biasanya tidak mempunyai nombor siri yang betul atau label yang lengkap.

Kebiasaanya, produk dijual dengan harga murah yang menjanjikan kesan pemutihan segera. Janji seperti “kulit putih dengan sekali penggunaan” sering digunakan sebagai strategi pemasaran untuk menarik minat pengguna.

Oleh itu, pengguna perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam membuat pilihan sebarang barangan kosmetik. Antara langkah penting yang boleh diambil ialah dengan memastikan produk tersebut mempunyai nombor siri kosmetik yang sah daripada pihak berkuasa, menganalisis kandungan bahan yang digunakan serta mengelakkan dari terpadaya dengan produk yang menjanjikan kesan pemutihan yang segera.

Jika sesuatu produk memberikan kesan yang terlalu cepat dan kelihatan sangat tidak realistik, pengguna perlu lebih berwaspada kerana kemungkinan produk tersebut mengandungi bahan kimia berbahaya.

Selain itu, kesedaran masyarakat mengenai bahaya merkuri perlu lebih dipertingkatkan melalui pendidikan dan kempen kesihatan. Masyarakat perlu memahami bahawa kecantikan yang sebenar bukanlah bergantung pada kulit yang cerah sahaja malah kesihatan kulit dan tubuh secara kesuluruhan.

Penjagaan kulit yang selamat dan berkesan adalah dengan menggunakan bahan kecantikan yang tidak berisiko dan merbahaya untuk memastikan kesihatan kulit dalam jangka masa panjang.

Kesimpulannya, merkuri merupakan bahan yang sangat merbahaya dan berisiko bukan sahaja kepada kesihatan luaran seseorang individu itu, malah juga kepada kesihatan dalaman.

Penggunaan bahan kimia itu tidak sepatutnya ada di dalam produk kecantikan. Walaupun bahan itu memberikan kesan yang segera, kesihatan kulit dalam jangka masa yang panjang tidak akan terjamin dengan menggunakan bahan itu.Penggunaan bahan itu juga mampu memberi kesan buruk terhadap persekitaran.

Oleh itu, masyarakat perlu lebih peka dan berhati-hati dalam memilih produk kecantikan yang akan digunakan. Dengan pengetahuan yang mencukupi serta kesedaran yang tinggi, pengguna dapat melindungi diri serta orang sekeliling daripada bahaya bahan kimia berbahaya seperti merkuri dan memastikan penggunaan produk kecantikan yang lebih selamat dan berkualiti.

 

Maklumat Penulis: 

- Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Intan Safiah Kamaruddin. 

- Pensyarah Kursus Kimia & Masyarakat Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan UMT, Norliawati Mohd Sidek.