Pada tahun 2023, Julea Qiestyna Abu Zar pernah menggegarkan dunia akademik apabila beliau mencatat pencapaian luar biasa dalam peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) di bawah Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Ketika itu, beliau yang baru berusia 19 tahun dan merupakan pelajar Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, berjaya meraih markah tertinggi di Malaysia serta kedua tertinggi di dunia dengan pencapaian 98 daripada 100 markah bagi peperiksaan sesi Mac 2023.
Anak kelahiran Kulai, Johor itu terus mencuri perhatian apabila kejayaan tersebut melonjakkan namanya sebagai salah seorang pelajar cemerlang yang diiktiraf sehingga diangkat sebagai Ikon Pengajian Tinggi Perak.
Tahun ini pula, Julea Qiestyna, 22, sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila muncul sebagai pelajar terbaik Malaysia (tempat pertama) bagi kertas Advanced Performance Management (APM - ACCA).
Tidak hanya itu, beliau turut meraih kedudukan kedua terbaik di dunia bagi subjek berkenaan, satu pencapaian yang jarang dicapai oleh pelajar pada peringkat antarabangsa.
Dek kecemerlangan Julea Qiestyna dalam ACCA, beliau telah dikategorikan antara contoh terbaik pelajar Malaysia yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Semoga pencapaian anak muda ini menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar, khususnya dalam bidang perakaunan.