Khabar gembira buat pelajar dan guru serta ibu bapa apabila cuti pertengahan tahun bagi sekolah Kumpulan A dan Kumpulan B bakal bermula tidak lama lagi.
Bagi sekolah Kumpulan A yang melibatkan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, cuti pertengahan tahun akan berlangsung pada 22 Mei (Jumaat) hingga 6 Jun (Sabtu) (16 hari).
Manakala sekolah Kumpulan B melibatkan Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula akan bercuti mulai 23 Mei (Sabtu) hingga 7 Jun (Ahad), juga 16 hari.
Lebih menarik, cuti kali ini turut termasuk dengan cuti umum Hari Raya Haji yang jatuh pada 27 Mei (Rabu). Negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu pula menikmati tambahan cuti 28 Mei (Khamis).
Bagi guru, pelajar dan ibu bapa yang merancang untuk bercuti atau balik kampung, inilah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga selepas beberapa bulan sibuk dengan sesi persekolahan dan urusan harian.
Namun begitu, walaupun seronok menikmati cuti, pelajar diingatkan agar tidak terlalu leka.
Masa terluang boleh dimanfaatkan dengan membuat ulang kaji pelajaran, menyiapkan tugasan sekolah dan memperkukuhkan persediaan akademik sebelum sesi persekolahan bersambung semula.
Bak kata orang, cuti memang cuti... tetapi pelajaran jangan sesekali 'bercuti' sekali!