Walaupun hidap SLE, Siti Izzati akhirnya genggam diploma UiTM

Iklan
Siti Izzati berkata, sokongan keluarga terutama ibu bapa menjadi kekuatan terbesar sepanjang pengajian kerana sanggup menghantar dan mengambil dia bagi menjalani pemeriksaan di Kedah.

Walaupun berdepan penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak usia 18 tahun, Siti Izzati Nurul huda Ibrahim, 22, tetap cekal menamatkan pengajian Diploma Teknologi Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Baling, Kedah itu berkata, dia mula menyedari penglihatan mata kanannya kabur sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftar masuk ke universiti dan selepas pemeriksaan lanjut, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bila doktor periksa, mereka mendapati saraf mata sebelah kanan saya sudah diserang SLE. Waktu itu saya takut sebab doktor cakap penyakit ini seumur hidup dan waktu itu baru nak mendaftar di universiti.

"Saya pernah fikir untuk tidak sambung belajar namun keluarga banyak memberi semangat untuk saya teruskan pengajian terutama ibu," katanya ketika ditemui dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) pada Selasa.

Iklan

Menurut Siti Izzati, keadaan kesihatannya semakin mencabar apabila makin lama SLE telah menyerang organ dalaman.

"Saya rasa macam saya dah banyak kekurangan ketika itu sehinggakan memang banyak down.

Iklan

"Lepas tu nak pula temu janji pemeriksaan kesihatan saya dua bulan sekali, dua minggu sekali, dia macam kerap berulang alik… tu macam menyusahkan orang sebab kena berulang-alik dari Perak ke Kedah," ujarnya.

Katanya lagi, ada ketika dia terlalu lemah sehingga sukar berjalan dan terpaksa berhenti seketika ketika menaiki tangga ke kelas.

"Dalam setahun memang ada dua atau tiga kali saya masuk wad dan paling lama sampai dua minggu. Kadang-kadang sampai tahap kaki saya tiba-tiba bengkak memang saya tak boleh jalan," tuturnya.

Siti Izzati berkata, sokongan keluarga terutama ibu bapa menjadi kekuatan terbesar sepanjang pengajian kerana sanggup menghantar dan mengambil dia bagi menjalani pemeriksaan di Kedah.

Malah, dirinya juga amat bersyukur pensyarah dan rakan-rakan sentiasa membantu dan memahami keadaannya.

"Kawan-kawan banyak bantu terutama bila saya tertinggal kelas atau tidak sihat. Saya juga bersyukur mak ayah sentiasa ada ketika saya perlukan bantuan," beritahu gadis ini.

Kini, graduan cemerlang itu sedang bekerja sebagai pereka dalaman di Sungai Petani, Kedah sejak awal tahun 2026.

Siti Izzati berharap kisah hidupnya dapat memberi semangat kepada orang lain supaya tidak mudah berputus asa walaupun diuji dengan masalah kesihatan.

"Kalau orang yang banyak kekurangan pun boleh berjaya, orang lain pun mesti boleh. Pendidikan itu penting sebab boleh ubah hidup kita," katanya.