Berkerusi roda, penyakit tulang rapuh tidak halang Rushamimi kejar pengajian sarjana

Iklan
Keadaan fizikal yang terbatas bukan penghalang untuk Rusyamimi membuktikan dirinya juga layak berjaya dalam pendidikan.

Menghidap Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh sejak lahir tidak mematahkan semangat Rusyamimi Badrul Sham, 24, untuk terus menimba ilmu sehingga berjaya menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana.

Berasal dari Pahang, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (Kepujian) dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka, Pahang itu berkata, keadaan fizikal yang terbatas bukan penghalang untuk dia membuktikan dirinya juga layak berjaya dalam pendidikan.

Iklan
Iklan

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, penyakit tersebut telah menyebabkan tulangnya mudah patah selain menyukarkan pergerakan hariannya terutama ketika menghadiri kelas.

"Cabaran utama saya adalah dari segi pergerakan sebab ada tempat yang agak susah untuk pergi seperti dewan kuliah dan saya perlu minta bantuan orang.

Iklan

"Kadang-kadang saya rasa serba salah sebab banyak bergantung kepada orang lain," katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) pada Isnin.

Menurutnya, dia menggunakan kerusi roda elektrik untuk bergerak ke kelas dengan ditemani rakannya, Nur Azila selain menerima bantuan pengangkutan khas berupa kereta daripada pihak UiTM menghantarnya pergi dan balik.

Iklan

Katanya, sokongan keluarga terutama ibu bapanya, Rusma, 62, dan Badrul Sham, 66, serta adik-beradik selain bantuan pensyarah, rakan-rakan sekelas dan sebilik menjadi sumber kekuatan utama sepanjang pengajiannya di peringkat ijazah dan sarjana.

"Pensyarah saya sangat supportive dan banyak membantu. Kawan-kawan serta rakan sebilik pun selalu ada ketika saya stress atau perlukan bantuan," katanya.

Rushamimi berkata, semangat untuk menyambung pengajian datang daripada keinginan untuk membanggakan keluarga selain membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya.

"Prinsip saya adalah be educated. Walaupun saya macam ini, saya masih layak untuk berjaya dalam pendidikan," katanya.

Sekarang, beliau sedang menyambung pengajian Master of Science (Business Management) dalam mode penyelidikan di UiTM yang sama dan berada di semester kedua pengajiannya.

Selain daripada merantau untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidangnya, Rusyamimi juga bercita-cita untuk membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan dan mahu membantu menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Mungkin juga saya akan buat bisnes yang bersesuaian kerana saya tengok dekat tempat saya masih kurang fasiliti untuk OKU, jadi saya mungkin akan mulakan perniagaan yang sesuai dan pada masa sama boleh bantu OKU yang lain juga," katanya.

Menurutnya, nasihat paling penting yang mahu dikongsikan kepada pelajar lain adalah supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa yakin dengan diri sendiri.

"Find your joy in studying, don’t give up and believe in yourself. You can do it," jelasnya lagi.