Bekas Ketua Pengarah Pendidikan terima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Johor 2026

Iklan
Menerusi perkongsian di Facebook, Azman meluahkan rasa syukur dan menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya milik seluruh warga pendidikan yang pernah bersama-sama mengharungi perjalanan kerjayanya selama ini.

Nama Datuk Azman Adnan bukan asing dalam dunia pendidikan negara.

Bermula sebagai seorang pendidik di bilik darjah sebelum menggalas pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan kebangsaan, perjalanan lebih tiga dekad beliau kini diiktiraf menerusi penganugerahan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2026.

Iklan
Iklan

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Aspirasi Pendidikan Johor sempena Hari Guru 2026 baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Azman meluahkan rasa syukur dan menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya milik seluruh warga pendidikan yang pernah bersama-sama mengharungi perjalanan kerjayanya selama ini.

Iklan

"Anugerah ini bukan milik saya seorang. Ia merupakan penghormatan buat seluruh warga pendidik yang pernah bersama-sama saya sepanjang lebih tiga dekad perjalanan dalam dunia pendidikan iaitu dari bilik darjah, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hinggalah ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," tulisnya pada Jumaat. 

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Johor atas penghormatan yang diberikan serta semua pihak yang sentiasa menyokong usaha memartabatkan pendidikan.

"Terima kasih kepada Kerajaan Johor atas penghargaan yang begitu bermakna ini. Terima kasih juga kepada Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, Pengarah Pendidikan Johor, Zulkurnain Abdul Rahman serta Bank Simpanan Nasional atas sokongan yang diberikan.

"Pengiktirafan ini menjadi amanah dan motivasi untuk saya terus menyumbang idea, pengalaman dan pandangan demi kemajuan pendidikan di negeri Johor dan negara walaupun telah berada di alam persaraan," ujarnya.

Untuk info, Azman merupakan figura pendidikan yang tidak asing lagi dalam landskap pendidikan negara.

Beliau memiliki pelbagai pengalaman dalam bidang pendidikan dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan Universiti Malaya.

Sepanjang kerjayanya, Azman pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor dan Pengarah Pendidikan Johor.

Pada peringkat KPM pula, beliau pernah menerajui beberapa bahagian strategik antaranya Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional; Bahagian Pembangunan Kurikulum; Bahagian Pengurusan Sekolah Harian serta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.