Segalanya bermula dengan pencalonan Anugerah Kepimpinan Khas Sekolah Rendah atas saranan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat yang melihat potensi Guru Besar SK Jalan 3, Suminah Kasolang.
Baginya, proses pencalonan bukan sekadar menghantar dokumen, tetapi satu perjalanan intensif yang memerlukan penelitian teliti.
"Selama hampir dua bulan, saya bersama warga sekolah mengumpul data kepimpinan, mendokumentasikan kejayaan dua buah Sekolah Berstatus Tinggi (SBT) yang pernah dipimpin serta merangka konsep persembahan pencalonan agar ia mencerminkan kualiti kepimpinan berimpak tinggi.
"Usaha itu membuahkan hasil apabila pencalonan melepasi peringkat daerah, seterusnya dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Kepimpinan Sekolah Rendah Kebangsaan," katanya.
Di sebalik kejayaan itu, ujar Suminah, tersimpan pelbagai pengorbanan besar.
Antaranya beliau pernah menganjurkan program antarabangsa pertama ketika baharu empat bulan bergelar Guru Besar, termasuk Pertandingan Catur Antarabangsa dalam talian dengan penyertaan 13 negara sewaktu era pandemik Covid-19.
Tambah Suminah, kepimpinan dalam dunia pendidikan bukan sekadar memegang jawatan tetapi keikhlasan bagi setiap langkah dan keputusan yang telah diambil.