Di sebalik kemudahan teknologi yang memacu transformasi digital negara, Malaysia kini berdepan dengan satu ancaman pandemik senyap yang kian membarah; ketagihan gajet atau lebih dikenali sebagai Internet Gaming Disorder (IGD).
Apa yang lebih membimbangkan, peranti di tangan kini bukan lagi berfungsi sebagai sekadar alat, malah menjadi 'tuan' yang mempertaruhkan masa depan generasi muda.
Manipulasi psikologi dan perangkap dopamin
Punca utama kegagalan untuk melepaskan gajet di tangan sehingga masa depan menjadi taruhan terletak pada manipulasi psikologi dan perangkap dopamin yang disuntik dengan sengaja ke dalam setiap rekaan permainan moden.
Ketagihan ini diperkukuh oleh kitaran ganjaran segera yang bercanggah dengan fitrah pencapaian manusia.
Secara biologi, otak manusia direka untuk merembeskan dopamin apabila kita mencapai sesuatu yang positif.
Dalam dunia nyata, kejayaan seperti kecemerlangan akademik memerlukan usaha gigih dan masa yang lama, sebaliknya, gajet menawarkan jalan pintas di mana bunyi notifikasi, jumlah like atau kenaikan kedudukan dalam permainan memberikan habuan dopamin sepantas beberapa minit sahaja.
Akibatnya, sistem ganjaran otak mula menjadi rosak dan mereka terjerat dalam lingkaran ketagihan yang serius, malah secara tidak sedar telah menyerahkan kawalan logik dan fokus mereka kepada skrin yang tidak berjiwa sehingga dunia nyata mula kelihatan hambar.
Kemerosotan kesihatan fizikal dan kestabilan mental
Ketagihan gajet yang tidak terkawal ini bukan sahaja memberikan impak kepada kemerosotan kesihatan fizikal, malah turut meragut kesejahteraan dan kestabilan mental individu.
Dari sudut fizikal, gaya hidup sedentari atau tidak aktif akibat terlalu lama menghadap skrin akan mengundang pelbagai komplikasi yang kronik seperti masalah obesiti, masalah penglihatan serta gangguan tulang belakang yang serius.
Namun, serangan terhadap mental jauh lebih halus dan berbahaya di mana kebergantungan melampau kepada dunia digital mencetuskan risiko kemurungan serta keresahan sosial apabila remaja mula hilang keupayaan untuk berkomunikasi sosial.
Hal ini akan membawa kepada kualiti hidup yang merosot secara perlahan-lahan dan menjadikan generasi yang bukan sahaja lesu fizikal tetapi juga rapuh jiwa dalam mendepani realiti kehidupan yang mencabar.
Zombi digital dan kerapuhan hubungan kekeluargaan
Lebih menyedihkan, ketagihan ini juga akan melahirkan zombi digital dimana pelajar mula hilang fokus di dalam kelas akibat keletihan melampau setelah bersengkang mata untuk mengejar kedudukan atau push rank.
Masa yang sepatutnya dipenuhi dengan ilmu dan pengalaman kini dibazirkan demi status maya yang kosong.
Malah, keharmonian keluarga juga turut terjejas melalui fenomena 'ada tetapi tiada' yang mana komunikasi bermakna antara ahli keluarga dipisahkan oleh tembok digital.
Tragedi ngeri pada tahun 2025 di Johor menjadi bukti betapa isu ini telah mencapai tahap kritikal.
Kejadian dimana seorang kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya berusia sembilan tahun akibat sesi permainan Roblox terganggu seharusnya menjadi loceng amaran yang memekakkan telinga seluruh negara.
Kehilangan sejuta mata permainan digital tidak sepatutnya dibayar dengan pertumpahan darah di alam nyata.
Tragedi ini menunjukkan bahawa gangguan emosi akibat ketagihan digital mampu melangkaui batas kewarasan manusia dan mencetuskan keganasan yang tidak terbayangkan sebelum ini.
Status maya, bankrap realiti
Di sebalik skrin yang bercahaya, ketagihan ini juga mula membakar lubang dalam kantung kewangan keluarga dan masa depan remaja itu sendiri.
Wang saku atau wang simpanan yang sepatutnya menjadi pelaburan pendidikan, kini hangus digunakan untuk pembelian dalam aplikasi atau In-App Purchase demi memiliki status maya yang tidak wujud.
Remaja seolah-olah dipukau untuk membeli hiasan digital dan skins karakter yang sekadar kosmetik, dan ini menggambarkan betapa nila berjimat-cermat semakin terhakis demi kemenangan kosong.
Elemen rawak dalam permainan ini juga bertindak sebagai pintu belakang kepada ketagihan judi sebenar, yang akhirnya menjerat mereka dalam rantaian hutang pada usia yang terlalu muda.
Apabila harta dunia nyata dikorbankan demi kepuasan maya, kita sebenarnya sedang memajakkan masa depan generasi muda kepada algoritma yang hanya mementingkan keuntungan komersial.
Tindakan akar umbi ke peringkat makro
Bagi membendung krisis ini daripada terus melarat, langkah pencegahan proaktif perlu digerakkan secara kolektif bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat makro.
Ibu bapa perlu memikul amanah sebagai benteng hadapan dengan menetapkan had penggunaan gajet atau screen time yang tegas serta menghidupkan kembali interaksi bermakna di dalam rumah bagi menarik minat anak-anak kembali ke dunia nyata.
Di peringkat institusi pendidikan pula, tanggungjawab guru kini melangkaui sekadar mengajar literasi komputer.
Guru-guru perlu menjadi pengemudi kepada kesejahteraan digital dengan mendidik murid tentang cara mengawal dorongan dopamin dan etika siber.
Namun, usaha ini hanya akan membuahkan hasil jika disokong oleh penguatkuasaan undang-undang di peringkat makro.
Langkah Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkasakan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) serta cadangan melesenkan permainan video popular merupakan satu sinar harapan.
Hanya melalui sinergi padu antara kawalan rumah, pendidikan sekolah, ketegasan perundangan dan tanggungjawab sosial syarikat gergasi teknologi, kita dapat memastikan masa depan generasi kita tidak hancur dalam pelukan algoritma.
Pilihan di tangan kita
Kesimpulannya, gajet seharusnya kekal sebagai alat yang memudahkan kehidupan, bukannya 'tuan' yang meragut nilai kemanusiaan dan masa depan kita.
Sebelum generasi akan datang terus menjadi taruhan yang tidak bertepi, marilah kita meletakkan gajet di tepi dan kembalik menghargai realiti.
Setiap pihak mempunyai tanggungjawab moral dalam memastikan anak bangsa tidak terus hanyut dalam dunia maya yang menipu.
Bertindaklah sekarang, sebelum skrin digital yang kecil itu menjadi tirai penutup kepada potensi sebenar generasi masa depan.
Kita perlu bermuhasabah; adakah kita sanggup membiarkan skrin digital terus menjadi pencuri senyap yang merampas jiwa anak-anak kita, atau adakah kita cukup berani untuk menarik mereka kembali ke pangkuan dunia nyata sebelum segalanya terlambat?
Maklumat penulis:
Mahasiswa Sarjana Teknologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Iliana Mohd Fouzi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my