Dua tahun berturut-turut! Skuad Hoki Puteri SMK Bandar Seri Putra kekal gah Naib Johan MSSD Hulu Langat

Iklan
Lebih membanggakan, pencapaian itu hadir pada tahun kedua penyertaan, sekali gus membuktikan bahawa sekolah tersebut semakin dikenali sebagai antara pasukan yang mampu memberi saingan sengit dalam arena hoki sekolah.

Kejayaan bukan datang secara kebetulan. Ia lahir daripada disiplin, kerja keras dan semangat juang yang tidak pernah luntur.

Itulah yang dibuktikan oleh skuad Hoki Perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SMKBSP) apabila sekali lagi berjaya mempertahankan gelaran Naib Johan Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Hulu Langat, sekali gus mencatat pencapaian membanggakan buat dua tahun berturut-turut.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu diraih selepas pasukan tersebut menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pencapaian itu hadir pada tahun kedua penyertaan, sekali gus membuktikan bahawa SMKBSP semakin dikenali sebagai antara pasukan yang mampu memberi saingan sengit dalam arena hoki sekolah.

Iklan

Tidak sekadar muncul sebagai naib juara, skuad itu turut mencuri perhatian apabila membolot dua daripada tiga anugerah individu utama kejohanan.

Iklan

Jasmine Mohd Hasruddin dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, manakala Nur Arissa Amani Ramzul-Zafran menerima pengiktirafan sebagai Penjaga Gol Terbaik Kejohanan hasil aksi cemerlang yang dipamerkan sepanjang pertandingan berlangsung.

Pengurus Pasukan, Cikgu Nor Afiqah Azhar berkata, kejayaan skuadnya adalah hasil gabungan disiplin latihan, kesungguhan pemain serta pengalaman yang diperoleh menerusi pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan sebelum ini.

Katanya, saingan pada edisi kali ini antara yang paling mencabar dengan beberapa perlawanan terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti.

"Perlawanan yang diharungi kali ini sangat sengit dan ada perlawanan yang berakhir dengan penentuan pukulan penalti. Bagaimanapun, berkat latihan intensif serta pendedahan yang diberikan melalui beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan perlawanan persahabatan sebelum ini, ia akhirnya membuahkan hasil.

"Pengalaman itu berjaya membentuk sebuah pasukan yang matang, bermentaliti kental dan berdaya saing tinggi," katanya.

Menurut beliau, sikap tidak mudah menyerah kalah serta konsistensi yang ditunjukkan para pemain menjadi antara faktor utama kejayaan pasukan dalam berdepan sekolah-sekolah terbaik daerah Hulu Langat.

Di sebalik pencapaian membanggakan itu, Nor Afiqah menegaskan bahawa kejayaan pasukan tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada pengurusan sekolah, tenaga pengajar dan komuniti ibu bapa.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengetua Cemerlang SMKBSP, Wan Norma Wan Pi dan Penolong Kanan Kokurikulum, Shareina Abd Rashid, yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan hoki di sekolah.

"Sekalung penghargaan diberikan kepada barisan kejurulatihan yang memainkan peranan besar dalam membentuk kekuatan pasukan, khususnya Azlansaufi Ahmad Supian.

"Selain itu, usaha membangunkan skuad hoki sekolah turut digerakkan oleh tiga guru yang sentiasa memastikan aspek taktikal, latihan dan kebajikan pemain berada pada tahap terbaik iaitu Cikgu Nor Afiqah Azhar, Cikgu Zaitun Tata Susilawati Mohamad dan Cikgu Muhammad Arif Abd Ghani.

"Pengurusan pasukan pula dibantu oleh wakil ibu bapa, Darviza Hasnor Hasib, Mohd Yusri Abdul Kadir dan Marsita Omar.

"Tidak dilupakan juga penghargaan kepada Cikgu Saiful Nihar Mohd Taib dan Cikgu Nurul Akmal Noordin yang telah mencungkil serta mengembangkan bakat sebahagian pemain sejak mereka berada di sekolah rendah lagi.

"Gabungan usaha bersepadu inilah yang membentuk pasukan yang mantap. Ia membuktikan bahawa kejayaan yang bermakna adalah hasil daripada kerjasama erat antara seluruh warga sekolah, guru dan komuniti," tambah beliau.

Bagi SMKBSP, kejayaan mempertahankan gelaran naib juara bukanlah penamat perjalanan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa depan.

Nor Afiqah berharap platform kejohanan seperti ini dapat terus menjadi medan terbaik untuk mencungkil dan menggilap bakat-bakat muda yang berpotensi mewakili negeri serta negara suatu hari nanti.

"Semoga bakat-bakat muda yang berjaya dicungkil dan digilap melalui kejohanan ini akan terus berkembang, seterusnya mampu mewarnai arena hoki negara pada masa akan datang.

"Sasaran kita selepas ini adalah untuk melihat mereka mengharumkan nama sekolah, negeri dan Malaysia di pentas yang lebih tinggi," katanya.

Syabas buat skuad Hoki Puteri SMKBSP!

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus aktif dalam sukan dan berani mengejar impian hingga ke peringkat tertinggi.