Dalam dunia yang semakin rancak dipacu kecerdasan buatan, automasi dan revolusi digital, manusia hari ini mampu membangunkan teknologi yang mengubah landskap tamadun dunia.
Manusia mampu meneroka angkasa lepas, membina bandar pintar, menghasilkan kereta elektrik dan menghasilkan pelbagai inovasi yang suatu ketika dahulu hanya dianggap sebagai imaginasi masa hadapan.
Namun, di sebalik segala kemajuan tersebut, dunia masih gagal menyelesaikan satu paradoks kemanusiaan yang amat memilukan. Ketika jutaan manusia di seluruh dunia masih bergelut dengan kelaparan, kemiskinan dan ketidakpastian bekalan makanan, bertan-tan makanan pula dibuang setiap hari tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
Yang lebih menyedihkan ialah sebahagian besar makanan yang dibazirkan itu sebenarnya masih berada dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan. Hakikat ini memperlihatkan bahawa dunia hari ini bukan sedang berdepan krisis kekurangan makanan semata mata, tetapi krisis pengurusan sumber, kesedaran sivik dan nilai kemanusiaan yang semakin terhakis.
Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), pada tahun 2025, lebih satu bilion tan makanan dibazirkan setiap tahun di seluruh dunia, sedangkan kirakira 673 juta manusia masih berdepan dengan kelaparan.
Perkara yang lebih membimbangkan ialah pembaziran makanan global turut menyebabkan kerugian ekonomi mencecah hampir satu trilion Dolar Amerika Syarikat setiap tahun (United Nations Environment Programme, 2025).
Jumlah pembaziran makanan global pula dijangka terus meningkat sehingga 2.1 bilion tan menjelang tahun 2030 sekiranya tiada tindakan drastik dan bersifat transformatif dilaksanakan segera. Di Asia, situasi ini semakin kritikal apabila bandarbandar utama menghasilkan jutaan tan sisa makanan setiap tahun.
Negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan merupakan antara penyumbang terbesar kepada pembaziran makanan di rantau Asia. Asia Tenggara pula menghasilkan puluhan juta tan sisa makanan setiap tahun, termasuk Malaysia yang merekodkan kira-kira 17,000 tan sisa makanan setiap hari dengan sebahagiannya masih boleh dimakan (United Nations Environment Programme (UNEP), Food Waste Index Report 2024).
Hakikatnya, pembaziran makanan bukan sekadar isu makanan berlebihan yang berakhir di tong sampah. Setiap makanan yang dibuang turut membawa bersama pembaziran air, tenaga elektrik, tanah pertanian, bahan api, kos logistik dan tenaga kerja yang digunakan sepanjang proses pengeluaran.
Apabila sisa makanan dihantar ke tapak pelupusan, proses pereputannya menghasilkan gas metana yang menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim.
Justeru, isu ini perlu ditangani secara menyeluruh, bukan hanya sebagai masalah kebersihan dan alam sekitar, tetapi sebagai cabaran kemanusiaan dan kelestarian global.
Negara maju jadi penanda aras dunia
Banyak negara maju kini menjadikan teknologi hijau dan inovasi digital sebagai teras utama untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Pendekatan mereka bukan lagi sekadar mengurus sisa selepas makanan dibuang, sebaliknya mencegah pembaziran dari awal melalui analisis data, sistem pintar, penguatkuasaan dan perubahan tingkah laku masyarakat melalui kempen kesedaran awam.
Di Jepun, penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam sistem pengurusan inventori membantu pasar raya dan syarikat makanan meramalkan permintaan pengguna dengan lebih tepat.
Melalui analisis data jualan, musim, cuaca dan corak pembelian pelanggan, perniagaan dapat menentukan jumlah stok yang lebih sesuai, sekali gus mengelakkan lebihan bekalan yang akhirnya rosak atau dibuang.
Rangkaian kedai serbaneka Lawson, misalnya, berjaya mengurangkan pembaziran makanan sehingga 30 peratus selepas memperkenalkan sistem inventori pintar berasaskan AI.
Denmark pula dikenali melalui aplikasi Too Good To Go, sebuah platform digital yang kini menjadi antara aplikasi pengurangan pembaziran makanan terbesar di dunia. Aplikasi ini menghubungkan pengguna dengan restoran, kedai bakeri, hotel, kafe dan pasar raya yang mempunyai lebihan makanan harian.
Makanan tersebut dijual pada harga lebih rendah melalui konsep surprise bag, iaitu pengguna membeli makanan yang masih baik tetapi tidak lagi dapat dijual pada keesokan hari. Model ini menarik kerana menguntungkan semua pihak.
Peniaga memperoleh pulangan daripada makanan yang hampir dibuang, pengguna mendapat makanan pada harga lebih berpatutan, manakala alam sekitar mendapat manfaat melalui pengurangan sisa makanan.
Perancis pula menjadi antara negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang khusus bagi melarang pasar raya besar membuang makanan yang masih elok dimakan. Sebaliknya, lebihan makanan diwajibkan untuk disalurkan kepada badan kebajikan dan bank makanan.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa inovasi tidak semestinya hadir dalam bentuk aplikasi atau mesin semata mata, tetapi juga boleh lahir melalui dasar kerajaan yang progresif, tersusun dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Korea Selatan pula sering dianggap sebagai antara model terbaik dunia dalam pengurusan sisa makanan moden. Negara itu memperkenalkan sistem pay as you throw iaitu penduduk dikenakan bayaran berdasarkan jumlah sisa makanan yang dibuang.
Di Seoul, tong pintar berteknologi RFID digunakan untuk menimbang sisa makanan setiap isi rumah, merekod jumlah buangan dan mengenakan caj secara automatik.
Sistem ini mendorong masyarakat lebih berhati hati ketika membeli, memasak dan membuang makanan kerana pembaziran kini mempunyai kos yang nyata. Korea Selatan berjaya mengitar semula sebahagian besar sisa makanannya hasil gabungan teknologi, dasar tegas kerajaan dan penyertaan aktif masyarakat. Singapura pula memanfaatkan pendekatan bandar pintar dalam usaha menangani isu sisa makanan.
Penggunaan tong pintar, sensor, Internet of Things atau IoT dan sistem pemantauan data membantu premis makanan mengenal pasti jumlah sisa yang dihasilkan secara lebih tepat.
Di sesetengah lokasi, sisa makanan turut diproses menjadi biogas, baja dan sumber tenaga boleh baharu. Pendekatan ini amat penting kerana Singapura mempunyai kekangan tanah dan ruang pelupusan yang terhad.
Oleh itu, setiap kilogram sisa perlu diurus secara cekap dan berasaskan ekonomi kitaran.
Negara membangun turut tampil dengan inovasi tersendiri
Negara membangun juga semakin aktif memperkenalkan penyelesaian yang lebih sesuai dengan keperluan tempatan.
Walaupun cabaran mereka berbeza daripada negara maju, khususnya dari sudut infrastruktur, kos dan kesedaran masyarakat, inovasi yang dihasilkan tetap membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi alat perubahan sosial yang signifikan.
Di Thailand, sistem AI digunakan dalam sektor peruncitan bagi mengenal pasti produk yang hampir tamat tempoh dan mencadangkan potongan harga secara automatik.
Melalui sistem seperti ini, pasar raya boleh mengesan produk yang perlu dijual segera sebelum rosak. Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mereka untuk mengurangkan pembaziran makanan di peringkat runcit, malah meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan peluang kepada pengguna mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.
Di China, teknologi larva lalat askar hitam atau black soldier fly larvae digunakan bagi menukar sisa organik kepada produk bernilai seperti makanan ternakan dan baja organik.
Larva ini mampu memakan sisa makanan dalam jumlah besar dan menukarkannya kepada biojisim yang berguna untuk sektor pertanian serta penternakan. Inovasi ini memperlihatkan konsep ekonomi kitaran yang sebenar, iaitu sisa tidak lagi dilihat sebagai beban, tetapi sebagai bahan mentah baharu yang mampu menjana nilai ekonomi.
Taiwan pula membangunkan teknologi pemprosesan sisa organik yang menekankan penghasilan biogas, baja dan tenaga boleh baharu. Antara pendekatan yang digunakan termasuk teknologi anaerobic digestion, iaitu proses menguraikan sisa makanan tanpa kehadiran oksigen untuk menghasilkan biogas.
Selain mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan, teknologi ini turut menghasilkan tenaga dan baja yang boleh dimanfaatkan semula. Taiwan juga menggunakan teknologi enzim untuk mempercepat proses penghasilan baja organik sekali gus mengurangkan tempoh pemprosesan berbanding kaedah kompos tradisional.
Indonesia pula boleh dijadikan contoh serantau melalui kewujudan platform seperti Surplus Indonesia yang menumpukan usaha menyelamatkan makanan lebihan daripada hotel, restoran, bakeri dan perusahaan makanan.
Makanan yang masih elok dijual semula pada harga lebih rendah kepada pengguna. Model ini menunjukkan bahawa penyelesaian digital untuk pembaziran makanan bukan hanya sesuai di negara maju, malah mampu berkembang di negara membangun sekiranya mendapat sokongan masyarakat dan ekosistem teknologi yang sesuai.
Malaysia semakin menyerlah dalam inovasi pengurusan sisa makanan
Malaysia juga semakin menunjukkan perkembangan positif dalam inovasi pengurusan sisa makanan.
Walaupun cabarannya masih besar, kemunculan pelbagai platform digital, teknologi kompos pintar dan gerakan penyelamatan makanan membuktikan bahawa negara ini mempunyai potensi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang pengurangan pembaziran makanan.
Antara inovasi tempatan yang semakin mendapat perhatian ialah ReMeal, sebuah platform digital yang menghubungkan premis makanan dengan pengguna bagi menyelamatkan lebihan makanan daripada tindakan dibuang. Melalui pendekatan ini, makanan yang masih baik boleh dijual pada harga lebih rendah sebelum tamat tempoh jualan.
Kekuatan ReMeal terletak pada gabungan teknologi dan kesedaran komuniti. Peniaga dapat mengurangkan kerugian, pengguna memperoleh makanan pada harga lebih mampu milik, manakala jumlah makanan yang berakhir di tapak pelupusan dapat dikurangkan.
Inovasi seperti ini amat penting kerana tindakan ini menjadikan usaha menyelamatkan makanan lebih mudah, praktikal dan dekat dengan gaya hidup masyarakat moden. Selain platform digital, Malaysia turut mempunyai inovasi teknologi hijau yang kukuh melalui MAEKO.
Syarikat tempatan ini membangunkan mesin pengkompos sisa makanan yang mampu menukar sisa organik kepada kompos dalam tempoh sekitar 18 hingga 24 jam, termasuk sisa makanan yang lebih keras seperti tulang.
Teknologi ini amat sesuai digunakan oleh hotel, restoran, sekolah, pasar raya, kafeteria, pusat konvensyen dan komuniti perumahan kerana membolehkan sisa makanan diproses terus di lokasi tanpa perlu dihantar sepenuhnya ke tapak pelupusan.
Menariknya, MAEKO turut mengintegrasikan teknologi Internet of Things dan sistem penjejakan karbon digital bagi membantu organisasi merekod data pengurangan sisa makanan serta pencapaian ESG secara lebih sistematik.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa inovasi pengurusan sisa makanan bukan sahaja membantu alam sekitar, malah mampu menyokong agenda pembangunan mampan dan tadbir urus korporat moden.
Selain itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut melaksanakan beberapa projek pengkomposan sisa makanan menggunakan mesin khas bagi menghasilkan baja organik. Inisiatif ini amat signifikan khususnya ketika Ramadan dan musim perayaan apabila kadar pembaziran makanan meningkat secara mendadak.
Usaha tersebut membuktikan bahawa pengurusan sisa makanan bukan sekadar tanggungjawab syarikat teknologi atau pengguna semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif agensi kerajaan dalam membina sistem, menyediakan infrastruktur dan mendidik masyarakat.
Di samping itu, Malaysia juga menyaksikan perkembangan pelbagai inisiatif food rescue dan bank makanan yang semakin aktif seperti The Lost Food Project, Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Yayasan Food Bank Malaysia. Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam mengagihkan lebihan makanan daripada hotel, pasar raya, restoran, bazar Ramadan dan majlis keramaian kepada golongan memerlukan.
Pendekatan ini amat berimpak kerana bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran makanan, malah turut meringankan beban komuniti yang berdepan kesempitan hidup. Namun demikian, secanggih-canggih teknologi sekalipun, usaha menangani pembaziran makanan tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap dan kesedaran masyarakat.
Budaya membeli secara berhemah, merancang hidangan, menyimpan makanan dengan betulnya serta mengelakkan pembelian berlebihan perlu dipupuk sejak usia muda melalui institusi keluarga, sekolah dan media massa.
Secara dasarnya, masa depan dunia tidak hanya bergantung pada kemampuan manusia dalam usaha mencipta teknologi yang paling canggih, tetapi juga kepada sejauh mana teknologi tersebut dimanfaatkan untuk menyelesaikan persoalan kemanusiaan yang paling asas.
Dalam konteks ini, usaha mengurangkan pembaziran makanan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu amanah besar yang wajib dipikul bersama demi kelangsungan bumi dan kesejahteraan generasi masa hadapan.
Apalah ertinya kemajuan teknologi sekiranya makanan terus dibuang ketika masih ramai insan hidup dalam kelaparan. Apalah maknanya pembangunan moden sekiranya bumi terus menanggung beban pencemaran akibat kerakusan dan kecuaian manusia sendiri.
Justeru, dunia hari ini memerlukan lebih banyak inovasi yang bukan sahaja hebat dari sudut teknologi, tetapi turut sarat dengan nilai ihsan, kelestarian dan kemanusiaan.
Malaysia juga tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu berani tampil sebagai pencetus inovasi yang mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dengan gabungan teknologi hijau, dasar yang progresif, kesedaran masyarakat serta keberanian generasi muda untuk mencipta perubahan, tidak mustahil Malaysia mampu muncul sebagai antara negara peneraju serantau dalam usaha membina ekosistem makanan yang lebih lestari, beretika dan berperikemanusiaan.
Masa depan bumi tidak ditentukan oleh apa-apa yang kita miliki pada hari ini, tetapi oleh apa-apa yang sanggup kita pelihara dan selamatkan demi generasi esok.
Maklumat penulis
Pelajar Tingkatan Empat, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) Kuala Kangsar, Perak, Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my