Ketidaktentuan nilai ringgit serta peningkatan kos sara hidup merupakan antara cabaran utama yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa kini. Harga makanan, pengangkutan, perumahan dan pelbagai keperluan harian terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, kuasa beli pengguna semakin berkurangan kerana pendapatan yang diterima tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Keadaan ini menyebabkan ramai isi rumah terpaksa mengubah corak perbelanjaan, mengurangkan simpanan dan lebih berhati-hati dalam mengurus kewangan keluarga.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan penting tentang pendekatan yang boleh membantu masyarakat menghadapi tekanan ekonomi dengan lebih berkesan.
Dalam konteks ini, prinsip Ekonomi Islam dilihat sebagai satu alternatif yang relevan kerana ia bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek keuntungan dan pertumbuhan ekonomi, malah turut menitikberatkan keadilan, keseimbangan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Pendekatan ini menjadikan Ekonomi Islam bukan sekadar satu sistem kewangan, tetapi juga satu cara hidup yang menekankan tanggungjawab sosial dan pengurusan sumber secara berhemah.
Antara faktor yang sering dikaitkan dengan ketidaktentuan ekonomi global ialah pergantungan yang tinggi terhadap sistem kewangan berasaskan hutang, aktiviti spekulasi serta urus niaga yang tidak disokong oleh aset sebenar.
Apabila berlaku ketidakstabilan pasaran atau kejutan ekonomi, kesannya akan dirasai oleh pengguna melalui peningkatan harga barang dan kos sara hidup.
Dalam keadaan tertentu, nilai mata wang juga boleh terjejas akibat faktor luaran seperti perubahan ekonomi global, kadar faedah antarabangsa dan ketegangan geopolitik.
Menurut pelbagai laporan ekonomi semasa, kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia. Ramai individu terpaksa menggunakan kemudahan kredit atau membuat pinjaman bagi menampung perbelanjaan harian.
Walaupun hutang boleh membantu memenuhi keperluan dalam jangka pendek, ia juga boleh menjadi beban sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
Jika keadaan ini berterusan, kestabilan kewangan isi rumah boleh terjejas dan seterusnya memberi kesan kepada kesejahteraan hidup masyarakat secara keseluruhan.
Dalam menghadapi cabaran ini, prinsip Ekonomi Islam menawarkan pendekatan yang berbeza melalui larangan terhadap riba. Islam menggalakkan urusan kewangan yang adil dan berasaskan aktiviti ekonomi sebenar, bukannya keuntungan yang diperoleh melalui pertambahan hutang semata-mata. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menolak sebarang bentuk keuntungan yang diperoleh secara tidak adil melalui eksploitasi hutang. Larangan riba bertujuan melindungi masyarakat daripada beban kewangan yang berlebihan.
Dalam sistem kewangan Islam, konsep perkongsian risiko dan pulangan diberi penekanan supaya semua pihak yang terlibat mendapat manfaat secara adil. Melalui pendekatan ini, institusi kewangan dan pelanggan sama-sama berkongsi tanggungjawab terhadap sesuatu pelaburan atau pembiayaan.
Keadaan ini dapat mengurangkan risiko tekanan kewangan yang sering berlaku akibat kadar hutang yang terlalu tinggi. Selain itu, Ekonomi Islam juga melarang unsur gharar, iaitu ketidakpastian yang melampau dalam sesuatu urusan.
Larangan ini merangkumi aktiviti spekulasi yang berisiko tinggi dan transaksi yang tidak jelas dari segi syarat, maklumat atau hasilnya. Prinsip ini penting kerana ia dapat mengelakkan kerugian besar yang berpunca daripada keputusan kewangan yang dibuat tanpa maklumat yang mencukupi atau asas yang kukuh.
Dalam dunia pelaburan moden, masyarakat sering terdedah kepada pelbagai skim dan tawaran yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat. Namun begitu, tidak semua pelaburan tersebut mempunyai asas ekonomi yang jelas.
Oleh itu, Ekonomi Islam menekankan bahawa setiap pelaburan perlu dilakukan secara telus, beretika dan disokong oleh aktiviti ekonomi sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko penipuan, malah dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan yang lebih stabil dan mampan.
Satu lagi prinsip penting dalam Ekonomi Islam ialah kesederhanaan atau iqtishad. Islam mengajar umatnya supaya berbelanja secara seimbang tanpa bersikap boros atau terlalu kedekut.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 29 mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas dalam perbelanjaan sehingga membawa kepada kesusahan.
Prinsip ini amat relevan dalam keadaan ekonomi semasa yang menuntut masyarakat mengurus kewangan dengan lebih bijak. Melalui amalan kesederhanaan, individu dapat membezakan antara keperluan dan kehendak ketika berbelanja.
Mereka juga lebih terdorong untuk menyediakan simpanan kecemasan, merancang kewangan secara sistematik dan mengelakkan hutang yang tidak perlu.
Amalan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kestabilan kewangan individu, malah dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah kewangan ketika berdepan situasi yang tidak dijangka.
Selain mengawal perbelanjaan individu, Ekonomi Islam turut menyediakan mekanisme perlindungan sosial melalui institusi zakat, sedekah dan wakaf.
Instrumen-instrumen ini memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan serta memastikan pengagihan kekayaan berlaku dengan lebih seimbang dalam masyarakat.
Melalui sistem ini, golongan yang berkemampuan dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik, sekali gus mengukuhkan semangat solidariti dan tanggungjawab sosial. Ketika ekonomi berdepan pelbagai cabaran, peranan zakat dan wakaf menjadi semakin signifikan.
Bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban golongan miskin, asnaf dan individu yang kehilangan sumber pendapatan.
Pada masa yang sama, pengagihan semula kekayaan dapat membantu merangsang aktiviti ekonomi dan mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.
Keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Kesimpulannya, prinsip Ekonomi Islam mungkin tidak mampu mengubah nilai ringgit secara serta-merta atau menyelesaikan semua masalah ekonomi dalam masa yang singkat.
Namun demikian, nilai-nilai yang dibawanya seperti larangan riba, penghindaran spekulasi, amalan kesederhanaan serta pengukuhan sistem kebajikan sosial mampu menjadi panduan yang berkesan kepada masyarakat.
Dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar, pendekatan yang berteraskan disiplin kewangan, keadilan dan tanggungjawab sosial ini berpotensi membantu rakyat membina ketahanan kewangan yang lebih kukuh dan mampan pada masa hadapan.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ahmad Syarafi Mahamad Peada@Mohammed
2. Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli