Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) telah melahirkan ramai murid yang menyerlah dalam pelbagai bidang sama ada akademik, kepimpinan mahupun pertandingan bertaraf antarabangsa.
Antara kejayaan yang pernah mencuri perhatian ramai ialah pencapaian murid Pasti Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, yang muncul Juara Dunia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 pada tahun lalu.
Kemenangan dalam kategori Early Childhood Group (7 Years Old) itu bukan sahaja menjadi kebanggaan Terengganu, malah membuktikan bahawa murid-murid Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila diberikan bimbingan, peluang dan pendidikan yang berkualiti sejak usia muda.
Terbaharu, Pasti menerusi Jabatan Pasti Terengganu melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai Best Preschool of the Year sempena World School Summit 2026 di Bangkok, Thailand.
Pencapaian luar biasa itu telah mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.
"Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bukan sahaja kepada warga Pasti di Negeri Terengganu, malah kepada Malaysia secara keseluruhannya.
"Ia bukan sekadar sebuah anugerah, bahkan merupakan pengiktirafan global terhadap komitmen berterusan Pasti dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, sekali gus membentuk generasi berilmu, berakhlak dan memiliki jati diri kukuh," katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata, kejayaan berkenaan tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan pelbagai pihak yang komited memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh anak-anak sejak usia awal.
"Saya melihat kejayaan ini sebagai hasil kesungguhan para pendidik, pentadbir, ibu bapa serta seluruh warga Pasti yang tidak pernah jemu berusaha membangunkan pendidikan berkualiti berasaskan prinsip tarbiah dan pembentukan insan," ujarnya.
Untuk rekod, World School Summit 2026 merupakan sidang kemuncak pendidikan antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin sekolah, pendidik, institusi pendidikan serta pakar pendidikan dari lebih 40 negara.
Program itu menjadi platform perkongsian idea, inovasi dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan global.