Murid Pasti muncul Juara Dunia pertandingan pidato. 'Amatullah Hamidah banggakan rakyat Terengganu' - Menteri Besar
Murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, 7, mengharumkan nama negeri itu apabila memenangi gelaran Juara Dunia pada Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63.
Kejayaan Amatullah Hamidah dalam kategori Early Childhood Group (7 years old) turut mengangkat nama negara di mata dunia sekali gus membuktikan yang anak-anak Malaysia khususnya Terengganu mampu bersaing dengan sesiapa sahaja dengan usaha dan bakat luar biasa di miliki mereka.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan perasaan terharu dan gembiranya melihat kejayaan murid yang baru berusia 7 tahun itu.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Amatullah Hamidah atas kejayaan gemilang memenangi tempat pertama dalam 63rd GASCA International English Recitation Competition.
"Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Terengganu dan murid Pasti dari seluruh Malaysia. Kemampuan anakanda Amatullah untuk bersaing di peringkat antarabangsa menunjukkan bakat dan potensi anak-anak Terengganu yang luar biasa.
"Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak untuk terus berusaha cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited menyokong generasi muda yang berani mencabar diri menonjolkan bakat masing-masing serta membanggakan negeri,” katanya di Facebook pada Ahad.
Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 anjuran Global Arts, Sports and Culture Association (GASCA) dan berpangkalan di Hong Kong, China adalah pertandingan pidato dalam talian yang menghimpunkan peserta cilik dan belia dari seluruh dunia.