Bercakap dengan jiwa, menang berdisiplin

Iklan
Aiena Batrisya dinobatkan Juara bagi kategori Alam Melayu di Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2026.

Pidato bukan sekadar seni berucap di hadapan khalayak tetapi gabungan wadah ilmu, keyakinan dan keupayaan menyampaikan mesej dengan berkesan.

Di sebalik setiap ucapan yang memukau, tersimpan proses latihan, penghayatan dan penguasaan bahasa yang tinggi.

Iklan
Iklan

Kemahiran ini bukan sahaja membentuk komunikasi yang baik, malah melahirkan individu berani bersuara dan mampu membawa identiti bangsa ke pentas yang lebih luas.

Lebih membanggakan, kategori Alam Melayu Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2026 menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta dari rantau serumpun dengan keunikan bahasa, budaya dan gaya penyampaian tersendiri.

Iklan

Setiap peserta bukan sahaja membawa teks pidato tetapi menjunjung warisan, identiti dan suara bangsa ke pentas berprestij itu.

Menerusi kategori ini, lahirlah barisan pemenang yang bukan sekadar meraih tempat di pentas, malah mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai wahana ilmu dan medium komunikasi serantau yang relevan di era moden.

Iklan

Bukan sekadar ucapan

Dalam dunia pidato, hafalan hanyalah asas.

Aiena Batrisya dan rakan-rakan menjalani latihan bersama-sama.

Yang membezakan seorang peserta biasa dengan pemidato unggul ialah kebolehan menghidupkan kata-kata sehingga meninggalkan kesan mendalam kepada audien.

Bagi pelajar Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aiena Batrisyia Sulaiman, seseorang pemidato perlu bijak menentukan tempoh bagi membangkitkan kesedaran, menyentuh hati pendengar dengan kata-kata yang membina rasa insaf atau merayu dengan penuh kelembutan.

"Dalam waktu yang terhad, mereka juga perlu pastikan setiap patah perkataan diungkap dengan tertib, beradab dan mengekalkan keindahan bahasa yang menjadi identiti sesebuah pidato.

"Pidato juga menuntut kefahaman mendalam terhadap isu yang dibicarakan.

"Apabila kata-kata lahir daripada jiwa yang memahami dan menghayati isi pidato, penyampaian pun akan lebih tulus dan meninggalkan kesan kepada pendengar," katanya kepada Sinar Bestari.

Ujar mahasiswa berusia 20 tahun ini lagi, menyampaikan pidato daripada jiwa bukanlah tugas yang mudah.

Bukan sekadar trofi

Ramai hanya melihat trofi dijulang di atas pentas, namun tidak semua menyedari di sebalik kejayaan itu tersimpan perjalanan panjang yang sarat cabaran, pengorbanan dan ketekunan.

Ujar Aiena Batrisya, langkah menuju pentas antarabangsa bukanlah laluan mudah.

Aiena Batrisya berjaya dinobatkan sebagai juara bagi kategori Alam Melayu di Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2026

Sebelum mengharumkan nama negara, dia terlebih dahulu perlu menewaskan saingan di peringkat universiti bagi merebut gelaran wakil tunggal UIAM ke pertandingan kebangsaan.

"Hanya seorang yang layak membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dan rezeki memihak kepada saya," katanya.

Bagaimanapun, kejayaan itu bukan hadir dalam sekelip mata kerana dunia pidato menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Deretan kemenangan seperti Johan Pidato Piala Tuan Yang Terutama Negeri Melaka dan Johan Pidato Piala Tuanku Kurshiah menjadi bukti kesungguhan yang dibina sejak sekian lama.

Johan PABM 2026 kategori Alam Melayu itu turut aktif dalam arena debat bahasa Melayu dan pernah merangkul gelaran johan serta pembahas terbaik keseluruhan dalam pelbagai pertandingan berprestij.

"Setiap pagi dimulakan dengan latihan vokal dan intonasi, manakala waktu lapang diisi dengan membaca kamus, meneliti isu semasa serta memperhalusi teks pidato berulang kali.

"Kejayaan di pentas hanyalah hasil yang terlihat, sedangkan ribuan jam latihan dan pengorbanan masa adalah cerita sebenar yang membentuk diri saya sekarang," ujarnya sambil tersenyum.