Di pentas pidato, kemenangan sering diukur melalui kehebatan hujah dan kelancaran bicara.
Namun bagi wakil Universitas Tanjungpura (UNTAN), Indonesia, Muhammad Iqbal Sopian Saputra, 20, penyertaannya membawa misi bermakna iaitu mengangkat warisan budaya Melayu Nusantara ke persada antarabangsa.
Berbekalkan minat mendalam terhadap tradisi lisan, khususnya seni Syair Gulung Ketapang, mahasiswa berusia 20 tahun itu melihat setiap peluang berpidato sebagai ruang memperkenalkan keindahan bahasa, sastera dan budaya yang diwarisinya kepada masyarakat dunia.
"Setiap bait syair dan keindahan bahasa yang diwarisi bukan sekadar khazanah budaya tetapi mempunyai nilai yang wajar diketengahkan kepada masyarakat dunia.
"Perjalanan ke pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Di sebalik keyakinan di atas pentas, ada proses persediaan yang panjang dan menuntut komitmen tinggi.
“Bermula dengan pemilihan di peringkat universiti, saya perlu buktikan kemampuan sebelum diberi kepercayaan membawa nama negara ke pertandingan berprestij ini," katanya.
Bagi memastikan penyampaiannya benar-benar memberi impak, Muhammad Iqbal melakukan penyelidikan mendalam terhadap topik yang dibawa, selain menulis dan menyusun skrip secara teliti.
Tidak cukup dengan itu, beliau menjalani latihan berterusan bagi memperkemas gaya penyampaian serta meningkatkan keyakinan ketika berhadapan khalayak.
Tegasnya, penyertaan dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2026 bukan sahaja mengukuhkan keyakinan diri sebagai pemidato, malah membuka peluang interaksi dengan peserta dari pelbagai negara yang berkongsi kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu.
"Pentas pidato bukan sekadar tempat bertanding tetapi ruang penyatuan warisan, persahabatan dan semangat serumpun merentasi sempadan negara," ujarnya.
Unik jadi kekuatan
Cabaran terbesar yang dihadapi Muhammad Iqbal adalah menyesuaikan gaya retorik ketika perlu bersaing dengan peserta dari Malaysia yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.
Meskipun berasal dari Ketapang, Indonesia yang berkongsi akar budaya Melayu, beliau mengakui terdapat perbezaan dari segi lenggok bahasa, sebutan dan gaya penyampaian.
"Walaupun ada kekurangan, ia tidak pernah dianggap sebagai penghalang. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan untuk saya menampilkan sesuatu yang berbeza di atas pentas.
"Matlamat saya bukan semata-mata untuk memburu kemenangan tetapi memastikan penonton dan juri mengingati kehadiran saya sebagai seorang pemidato yang membawa identiti tersendiri.
"Saya memperkenalkan khazanah warisan daerah iaitu Syair Gulung Ketapang. Warisan budaya ini bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi khazanah berharga yang masih relevan dan mampu menarik perhatian masyarakat dunia," katanya.
Mengakhiri perbualan, Muhammad Iqbal berharap penglibatannya dalam pertandingan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani membawa bahasa, sastera dan budaya sendiri ke peringkat yang lebih tinggi.
"Keberanian untuk bersuara tidak hadir secara semula jadi, tetapi dibentuk melalui latihan, pengalaman dan keyakinan bahawa setiap suara mempunyai nilai untuk didengari," katanya.