Kewangan Islam sebagai penyelesaian kepada krisis kos sara hidup

Iklan
Gambar hiasan

Kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. Kenaikan harga barang keperluan, kos perumahan, bil utiliti, kos pendidikan, dan perbelanjaan harian menyebabkan ramai rakyat berasa terbeban dalam menguruskan kehidupan.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana merupakan kumpulan yang paling terkesan kerana mereka perlu menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan yang terhad.

Iklan
Iklan

Tidak kurang juga terdapat individu yang terpaksa melakukan perkerjaan sampingan bagi menampung keperluan keluarga. Dalam ekonomi yang semakin mencabar ini, masyarakat memerlukan satu pendekatan yang bukan sahaja membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik, malah mampu menjamin kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Dalam hal ini, kewangan Islam dilihat sebagai salah satu penyelesaian yang berpotensi untuk membantu masyarakat menghadapi krisis kos sara hidup. Kewangan Islam merupakan sebahagian daripada sistem ekonomi Islam yang berlandaskan prinsip syariah.

Iklan

Sistem ini tidak hanya menumpukan kepada keuntungan semata-mata, tetapi turut menitikberatkan aspek keadilan, keseimbangan dan kebajikan masyarakat. Setiap urusan kewangan perlu bebas daripada unsur yang dilarang seperti riba, gharar, dan penipuan.

Prinsip-prinsip ini diwujudkan bagi memastikan kekayaan dapat diagihkan secara lebih adil serta mengelakkan berlakunya penindasan dalam aktiviti ekonomi. Oleh sebab itu, kewangan Islam bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya. Salah satu prinsip utama dalam kewangan Islam ialah larangan terhadap riba.

Iklan

Pada masa kini, ramai individu bergantung kepada pinjaman dan kemudahan kredit untuk memenuhi keperluan hidup. Walau bagaimanapun, kadar faedah yang tinggi boleh menyebabkan seseorang terperangkap dalam beban hutang yang berpanjangan.

Apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk membayar hutang, individu akan menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan.

Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan tekanan kewangan dalam kalangan masyarakat. Islam melarang amalan riba kerana ia boleh membawa kepada ketidakadilan dan penindasan dalam urusan kewangan.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan urusan ekonomi yang berasaskan keadilan dan saling menguntungkan. Berbeza dengan sistem konvensional yang bergantung kepada faedah, institusi kewangan Islam menawarkan pelbagai produk pembiayaan yang mematuhi syariah.

Pembiayaan seperti murabahah, ijarah dan mudharabah dilaksanakan berdasarkan prinsip perkongsian keuntungan serta tangguungjwab bersama antara institusi kewangan dan pelanggan. Pendekatan ini membantu masyarakat mendapatkan kemudahan kewangan secara lebih beretika dan mengurangkan risiko dibebani hutang yang melampau.

Selain itu, perkembangan institusi kewangan Islam di Malaysia turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan alternatif yang lebih patuh syariah. Kini, pelbagai bank Islam dan institusi takaful menyediakan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan pengguna. Takaful misalnya menawarkan perlindungan kewangan berdasarkan konsep tolong-menolong dan perkongsian risiko.

Sistem ini bukan sahaja membantu individu menghadapi musibah atau kecemasan, malah dapat mengelakkan mereka daripada mengalami masalah kewangan yang serius pada masa hadapan. Kewujudan institusi kewangan Islam yang semakin berkembang membuktikan bahawa sistem ini mampu bersaing dan memenuhi keperluan masyarakat moden.

Selain peranan institusi kewangan Islam, zakat juga merupakan instrumen penting dalam membantu masyarakat menghadapi tekanan kos sara hidup. Zakat diwajibkan ke atas umat Islam yang memnuhi syarat tertentu dan hasil kutipannya diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Melalui sistem zakat, golongan fakir, miskin dan asnaf dapat menerima bantuan yang membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Bantuan tersebut merangkumi bantuan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan dan modal perniagaan. Di Malaysia, institusi zakat memainkan peranan yang semakin penting dalam usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan. Ramai penerima zakat berjaya meningkatkan taraf hidup mereka melalui bantuan yang diberikan.

Sebagai contoh, terdapat asnaf yang menerima bantuan modal untuk memulakan perniagaan kecil dan akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri. Keadaan ini menunjukkan bahawa zakat bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi juga satu mekanisme pembangunan ekonomi yang mampu mengubah kehidupan masyarakat secara berterusan.

Dalam hal ini, Islam menggalakkan umatnya untuk saling membantu dan bekerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada masyarakat.

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan.”

Ayat ini menegaskan bahawa kesejahteraan masyarakat tidak hanya bergantung kepada usaha individu semata-mata, tetapi juga memerlukan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial.

Melalui instrumen seperti zakat dan wakaf, ekonomi Islam berupaya membantu golongan yang kurang bernasib baik agar mereka tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi.

Di samping itu, Islam turut menekankan konsep kesederhanaan dalam kehidupan seharian. Pada masa kini, ramai individu cenderung berbelanja mengikut kehendak dan trend semasa sehingga mengabaikan kemampuan kewangan sendiri.

Pengaruh media sosial menyebabkan sebahagian masyarakat berasa perlu memiliki pelbagai barangan mewah demi mendapatkan pengiktirafan daripada orang lain.

Akibatnya, mereka sanggup berhutang atau membuat komitmen kewangan yang melebihi kemampuan sebenar. Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam mengajar umatnya supaya berbelanja secara berhemah dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Sikap berjimat-cermat dapat membantu seseorang menguruskan kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan pembaziran.

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu ialah saudara syaitan.”

Ayat ini memberi peringatan bahawa pembaziran bukan sahaja merugikan individu, malah boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan kewangan keluarga. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, amalan berbelanja secara bijak menjadi semakin penting bagi memastikan kesejahteraan hidup dapat dikekalkan.

Selain pengurusan kewangan yang baik, Islam juga menggalakkan umatnya mencari rezeki melalui sumber yang halal. Aktiviti perniagaan merupakan salah satu cara yang dapat membantu meningkatkan pendapatan dan memperkukuhkan ekonomi keluarga.

Pada era digital hari ini, peluang perniagaan semakin terbuka luas melalui pelbagai platform dalam talian seperti Shopee, TikTok Shop dan Facebook. Ramai usahawan kecil berjaya memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perniagaan mereka dan menjana pendapatan tambahan.

Walau bagaimanapun, Islam menetapkan bahawa setiap aktiviti perniagaan mestilah dijalankan secara jujur, amanah dan tidak melibatkan unsur penipuan. Peniaga perlu memastikan produk yang dijual berkualiti, memberikan maklumat yang tepat serta mengelakkan amalan yang boleh merugikan pengguna. Nilai-nilai ini penting bagi memastikan urusan ekonomi berjalan secara sihat dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Apabila masyarakat mengamalkan etika perniagaan Islam, ekonomi dapat berkembang secara lebih mampan dan mampu menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat. Kesimpulannya, kewangan Islam menawarkan pendekatan yang menyeluruh dalam menangani krisis kos sara hidup yang dihadapi masyarakat pada masa kini.

Prinsip-prinsip seperti larangan riba, pembangunan institusi kewangan Islam, pengagihan zakat, amalan kesederhanaan dan galakan perniagaan halal membuktikan bahawa sistem ekonomi Islam bukan sekadar menumpukan kepada keuntungan, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan manusia.

Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam memperkukuhkan pelaksanaan kewangan Islam dalam kehidupan seharian.

Jika prinsip-prinsip ini diamalkan secara konsisten, masyarakat bukan sahaja mampu mengurangkan beban kos sara hidup, malah dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil, sejahtera dan diberkati.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Dua Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Fatihah Abdul Hamid

2. Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli