VRT6 2026 pecah rekod! Hampir 18,000 pelajar Tingkatan Enam turun 'berlari'

Iklan
Menerusi pelaksanaan secara maya, peserta diberi kebebasan untuk melengkapkan larian sejauh enam kilometer mengikut masa dan lokasi yang sesuai.

Virtual Run Tingkatan Enam Kebangsaan 2026 (VRT6) berjaya mencatatkan penyertaan seramai 17,898 pelajar Tingkatan Enam dari seluruh negara.

Pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi pelajar terhadap amalan gaya hidup sihat serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Iklan
Iklan

Program yang bertemakan 'Santai Bersama Sinergi Juara' itu dianjurkan oleh Bahagian Sukan dan Rekreasi Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam (JPTE) Kebangsaan.

Ia bertujuan membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam selain mengeratkan hubungan antara pelajar di seluruh negara. 

Iklan

Menerusi pelaksanaan secara maya, peserta diberi kebebasan untuk melengkapkan larian sejauh enam kilometer mengikut masa dan lokasi yang sesuai.

Iklan

Bagi mengesahkan penyertaan, pelajar menggunakan aplikasi kecergasan seperti Strava, Nike Run Club dan Garmin Connect.

Menurut Exco Sukan dan Rekreasi JPTE Kebangsaan, Ahmad Rafique, program itu bukan sahaja memberi fokus kepada kecergasan fizikal, malah turut membantu membentuk sahsiah, disiplin diri dan semangat kesukanan. 

"Program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum peringkat kebangsaan secara lebih fleksibel dan inklusif tanpa kekangan lokasi," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua JPTE Kebangsaan, Nadiy Masnoh berkata, sambutan luar biasa yang diterima menunjukkan pelajar Tingkatan Enam mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi.

Menurut beliau, kejayaan program tersebut turut membuktikan kemampuan pelajar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan norma pendidikan semasa.

Pada masa sama, kata Nadiy, program berkenaan selari dengan usaha menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. 

"VRT6 bukan sekadar program larian maya, tetapi simbol perpaduan, disiplin dan komitmen pelajar Tingkatan Enam seluruh negara.

"Program seperti ini mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif, berketerampilan dan berdaya tahan," katanya.

Selain menggalakkan amalan hidup sihat, VRT6 turut menjadi platform kepada JPTE Kebangsaan untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan dan pengurusan program berskala besar.

Antara objektif utama VRT6 adalah meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan daya tahan pelajar, menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memberi peluang kepada peserta memperoleh markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Kejayaan menghimpunkan hampir 18,000 penyertaan sekali gus membuktikan bahawa pelajar Tingkatan Enam bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif menyahut program yang memberi manfaat kepada pembangunan diri dan kesejahteraan hidup.