Zakat dan mahasiswa: Bukan sekadar yuran, tapi talian hayat masa depan

Iklan
Kebanyakan pelajar universiti tergolong dalam kelompok asnaf fakir dan miskin kerana tidak mempunyai pendapatan tetap, sehingga ada hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Gambar kecil: Che Siti Nur Izzah (atas) dan Dr Jaharudin (bawah).

Pada masa kini, melangkah kaki ke alam universiti sebagai permulaan dan satu lembaran baharu merupakan sebuah destinasi impian di mana ribuan mahasiswa mendaftarkan diri dengan azam yang membara setiap tahun.

Pelajar yang menuntut ilmu mempunyai matlamat yang jelas dan berdedikasi yang tinggi untuk mengubah nasib diri serta mengangkat status sosioekonomi keluarga agar keluar daripada belenggu kesempitan.

Iklan
Iklan

Namun begitu, realiti kehidupan di universiti hari ini menyimpan pelbagai onak duri dengan ujian emosi dan cabaran fizikal.

Sehubungan dengan itu, di sebalik keindahan landskap akademik para pelajar terpaksa berhadapan secara langsung dengan impak inflasi ekonomi yang mengakibatkan kos sara hidup meningkat di kawasan bandar mahupun luar bandar, sekali gus memberi tekanan yang sangat dahsyat kepada struktur kewangan.

Iklan

Pemerhatian di peringkat akar umbi, mendedahkan sebahagian daripada mahasiswa terpaksa membahagikan masa dengan bekerja sambilan sehingga lewat malam dan mengikat perut hanya makan sekali sehari.

Demi memastikan wang saku berbaki cukup untuk membayar yuran pengajian serta membeli bahan rujukan.

Iklan

Di samping itu, dalam situasi yang penuh tekanan ini institusi zakat hadir bukan sekadar sebagai satu pemenuh rukun Islam yang keempat, tetapi sebagai satu sistem sokongan emosi, pengagihan ekonomi yang adil dan talian hayat bagi memastikan kelompok pasaran modal insan negara ini tidak keciciran di pertengahan jalan pengajian.

Kewajipan agama dan landskap agihan zakat moden

Di samping itu, dapat lihat dari segi sudut agama pensyariatan zakat dalam Islam sebenarnya membawa falsafah yang sangat mendalam tentang keadilan sosial.

ALLAH SWT telah menetapkan golongan yang berhak menerima manfaat ini dengan jelas di dalam Al-Quran melalui Surah At-Taubah, ayat 60:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk jalan Allah (Fi Sabilillah), dan orang-orang musafir (Ibnu Sabil) yang keputusan belanja dalam perjalanan. (Ketetapan yang demikian itu ialah) asalnya satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." 

Ayat di atas, menerangkan dengan lebih jelas bahawa mahasiswa yang kurang berkemampuan berhak menerima zakat.

Kebanyakan pelajar universiti tergolong dalam kelompok asnaf fakir dan miskin kerana tidak mempunyai pendapatan tetap, sehingga ada hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun begitu, sebahagian besar ulama turut mengkategorikan penuntut ilmu yang membawa manfaat sebagai asnaf Fi Sabilillah (perjuangan di jalan Allah) serta asnaf Ibnu Sabil sekiranya terputus bekalan wang di perantauan yang jauh dari kampung halaman.

Sehubungan dengan itu, pusat-pusat zakat negeri dengan kerjasama erat Unit Zakat di universiti tempatan kini mengambil langkah yang lebih proaktif. Bantuan zakat tidak lagi bersifat kaku atau sekadar membayar yuran pengajian sekali sahaja di awal semester.

Sebaliknya, bantuan tersebut telah ditukar kepada pakej bantuan yang lebih dinamik mengikut keperluan semasa sebagai pelajar.

Antara bentuk bantuan utama yang sangat membantu kebajikan mahasiswa hari ini termasuklah:

1) Bantuan yang pertama iaitu bantuan sara hidup bulanan di mana pihak berkuasa zakat menyediakan duit saku secara berkala bagi membantu menampung kos harian seperti makan minum, pengangkutan, dan barang keperluan harian. Inisiatif ini sangat penting supaya pelajar sentiasa mendapat nutrisi yang cukup dan tidak perlu lagi berlapar.

2) Bantuan kedua iaitu bantuan peranti dan digital untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan mahasiswa moden, institusi zakat turut memberikan bantuan subsidi komputer riba dan pembiayaan dana pakej internet. Kemudahan ini memastikan pelajar asnaf dapat menyelesaikan tugasan akademik dan penyelidikan harian dengan lancar tanpa masalah teknologi.

3) Bantuan yang ketiga iaitu bantuan yuran akademik memastikan skim ini dikhususkan untuk melunaskan komitmen kewangan utama merangkumi yuran pengajian setiap semester dan yuran kolej kediaman. Apabila bebanan utama ini selesai, para pelajar boleh fokus dan menduduki peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang kerisauan.

4) Bantuan keempat iaitu bantuan kecemasan dan kesihatan pihak zakat juga menyediakan jaringan keselamatan sekiranya berlaku di luar jangkaan, seperti bantuan kos rawatan perubatan atau bantuan bencana yang menimpa keluarga asnaf. Hal ini, memastikan kelangsungan hidup dan keluarga sentiasa terpelihara.

Impak sosioekonomi bukan sekadar angka, tapi realiti hidup

Bagi mereka yang lahir daripada keluarga asnaf, pendidikan tinggi adalah satunya 'senjata' dan jambatan paling ampuh untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Oleh itu, rantaian kemiskinan keluarga B40 boleh diputuskan sepenuhnya apabila salah seorang daripada anak mereka berjaya menggenggam segulung ijazah dan melangkah ke alam kerjaya profesional.

Berdasarkan laporan statistik daripada institusi zakat negeri seperti Lembaga Zakat Selangor dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP, peruntukan dana dan bilangan mahasiswa yang dibantu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara setiap tahun demi mendepani kos sara hidup.

Data tahunan menunjukkan purata agihan untuk sektor pendidikan tinggi termasuk biasiswa dan bantuan sara hidup kampus mencecah puluhan hingga ratusan juta ringgit setahun.

Di beberapa buah negeri, dilaporkan seramai 20,000 sehingga 35,000 orang mahasiswa asnaf menerima manfaat ini secara langsung setiap tahun.

Ini merangkumi bantuan yuran pendaftaran penuh sehinggalah elaun wang saku bulanan antara RM300 hingga RM500 seorang, mengikut tahap keperluan keluarga.

Selain itu, skim bantuan komputer riba yang melibatkan agihan lebih 2,000 hingga 5,000 unit peranti setahun telah berjaya menyelamatkan beribu-ribu pelajar daripada keciciran digital.

Impak daripada ini, sebenarnya melambangkan transformasi kehidupan ke arah yang lebih baik untuk masa hadapan.

Apabila seorang mahasiswa dibantu dengan wang zakat, mereka dapat belajar bersungguh-sungguh dan mampu menamatkan pengajian dengan baik.

Selepas bergraduasi dengan mendapat keputusan yang cemerlang dan memperoleh pekerjaan yang bagus dengan gaji yang tinggi mereka dapat membantu dan menyumbang semula kepada keluarga seperti membayar persekolahan adik-adik, menjaga kebajikan ibu bapa dan secara rasminya membawa seluruh keluarga keluar daripada status asnaf.

Di samping itu, kitaran perubahan ini membawa kesan yang sangat besar apabila seorang penerima zakat (mustahiq) yang dibantu pada hari ini, berubah menjadi seorang pembayar zakat (muzakki) yang dapat menyumbang kembali kepada ummah pada masa hadapan.

Pelaburan sosial melalui dana zakat pendidikan ini jelas memberikan peluang dan pulangan yang sangat tinggi untuk jangka masa panjang.

Bukan itu sahaja, bantuan zakat ini memberi impak psikologi yang sangat mendalam kepada pelajar B40.

Apabila minda mahasiswa tidak lagi berserabut memikirkan soal duit makan atau tunggakan yuran kolej boleh memberikan tumpuan 100 peratus di dalam dewan kuliah.

Hasilnya, mahasiswa boleh berfikir dengan lebih kreatif, aktif dalam persatuan, dan mendapat keputusan peperiksaan yang jauh lebih cemerlang.

Menangani cabaran 'asnaf tersembunyi' dan stigma kampus

Di samping sistem pengurusan zakat di negara sangat sistematik, cabaran di peringkat akar umbi kampus tetap ada.

Antara isu yang paling membimbangkan ialah kewujudan kelompok 'asnaf tersembunyi'.

Hal ini merujuk, kepada rakan-rakan pelajar yang realitinya hidup sangat melarat dan layak dibantu, tetapi mereka memilih untuk mendiamkan diri dan menanggung kesusahan dalam sepi.

Faktor utamanya adalah disebabkan stigma sosial dan rasa rendah diri yang menebal.

Pada usia awal dewasa ini, wujud ketakutan psikologi sekiranya status kemiskinan keluarga diketahui oleh rakan sekelas.

Ada yang risau akan dipandang serong, dilabel sebagai 'orang miskin', atau dipisahkan daripada pergaulan sosial harian.

Selain itu, faktor yang lain iaitu kekangan waktu disebabkan proses permohonan yang memakan masa serta kurangnya akses kepada maklumat yang jelas turut menjadi punca utama.

Dalam era teknologi yang canggih ini, transformasi digital dalam pengurusan zakat telah membawa perubahan yang sangat positif.

Majoriti institusi zakat kini menggunakan sistem permohonan secara dalam talian (online) yang sangat mesra pengguna, cepat, dan yang paling penting, menjaga privasi pemohon.

Namun, sistem yang canggih sahaja tidak mencukupi.

Oleh itu, seluruh komuniti kampus terutamanya rakan sekuliah dan persatuan pelajar, perlu bertindak sebagai 'mata dan telinga' bagi mengesan mahasiswa yang berada dalam kesempitan hidup demi memastikan mereka dibimbing untuk mendapatkan bantuan zakat yang sepatutnya.

Amanah masyarakat demi masa depan negara

Bagi sesebuah negara yang beraspirasi membina masyarakat Madani yang progresif, sektor pendidikan tinggi adalah pelaburan yang paling bernilai.

Generasi mahasiswa yang duduk di dewan kuliah hari ini adalah individu yang akan memimpin, membina industri, dan memacu roda ekonomi negara pada masa hadapan.

Oleh itu, membiarkan kelompok pelajar yang kurang berkemampuan tercicir adalah satu pembaziran modal insan yang amat besar buat negara.

Pandangan masyarakat terhadap zakat pendidikan perlu diubah sepenuhnya.

Zakat bukan sekadar bantuan kewangan biasa untuk melunaskan hutang. Pada peringkat makro, zakat adalah talian hayat masa depan yang memelihara maruah, memberikan peluang yang saksama, dan membolehkan anak bangsa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam mengejar impian akademik.

Setiap ringgit yang disumbangkan oleh para pembayar zakat di luar sana sebenarnya adalah titisan harapan yang menghidupkan impian generasi muda untuk mengubah takdir hidup.

Menjadi tanggungjawab besar bagi para mahasiswa yang menerima manfaat ini, untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

Sehubungan dengan itu, menjadikan bantuan zakat ini sebagai satu amanah masyarakat yang perlu digalas demi kejayaan nusa dan bangsa.

Semoga suatu hari nanti, kami pula yang akan berdiri sebagai pembayar zakat yang akan menyambung talian hayat ini kepada generasi seterusnya.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Che Siti Nur Izzah Che Abdul Mubin

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my