Usaha gigih seorang guru bersama para pelajar akhirnya membuahkan hasil apabila inovasi pendidikan yang dibangunkan mereka berjaya meraih pingat emas dalam 19th International Invention & Innovation Show (INTARG) 2026 di Katowice, Poland.
Lebih membanggakan, inovasi The World History Exploration Challenge Board Game (ECS) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor itu turut menerima anugerah khas daripada Haller Pro Inventio Foundation, World Invention Intelectual Property Association (WIPA), National Research Council of Thailand (NRCT) dan Indonesian Invention and Innovation Promotion Association (INNOPA).
Menurut guru inovasi, Mohd Zulhelmi Mansor, permainan berkonsepkan pembelajaran menyeronokkan itu dibangunkan bersama dua pelajar, Arjun Mayavan dan Danarajan Kumar.
Kata beliau, inovasi tersebut diwujudkan bagi membantu pelajar lebih berminat dan aktif dalam pembelajaran Sejarah melalui pendekatan yang lebih interaktif.
"Permainan ini dibangunkan hasil pemerhatian dan usaha berterusan untuk menjadikan pembelajaran Sejarah lebih menarik kepada pelajar.
"Menariknya, permainan itu kini telah digunakan di lebih 80 buah sekolah di seluruh negara," katanya.
Tambah beliau, satu kajian keberkesanan yang dijalankan oleh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendapati permainan tersebut membantu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah selain memudahkan mereka memahami sesuatu topik.
Sementara itu, Pengarah Program Inovasi Antarabangsa Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Hasfazilah Hassan berkata, kejayaan yang diraih adalah bukti bahawa inovasi pendidikan yang dibangunkan di sekolah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut memuji kerjasama semua pihak termasuk pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru dan pelajar yang menjadi antara faktor kejayaan pasukan itu.
Akhir sekali, kejayaan di Poland ini pastinya menjadi kebanggaan bukan sahaja buat SMK Sungai Kapar Indah, malah seluruh warga pendidikan negara.
Ia membuktikan bahawa idea yang lahir di bilik darjah juga mampu mencipta impak besar hingga ke pentas dunia.