Zakat pendapatan: Ejen transformasi dalam merapatkan jurang sosioekonomi ummah

Iklan
Mengeluarkan zakat adalah rukun islam keempat yang wajib dikeluarkan oleh golongan yang berkemampuan dan cukup syaratnya. Foto: Canva. Gambar kecil: Nur Zulaikha (atas) dan Dr Jaharudin

Isu jurang pendapatan antara setiap golongan masih membelenggu keharmonian masyarakat.

Hal ini menunjukkan kemampuan seseorang untuk memiliki harta dan memenuhi keperluan asas.

Iklan
Iklan

Di Malaysia, fenomena ini memerlukan penyelesaian supaya tidak berlaku jurang sosioekonomi dalam masyarakat.

Dalam konteks ekonomi Islam, isu ini dapat diselesaikan dengan pengeluaran zakat, wakaf dan sedekah. Manakala dari sudut ekonomi konvensional merujuk kepada pembayaran cukai.

Iklan

Mengeluarkan zakat adalah rukun islam keempat yang wajib dikeluarkan oleh golongan yang berkemampuan dan cukup syaratnya.

Zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Iklan

Zakat fitrah bertujuan untuk mensucikan harta dan diri bagi umat islam serta membantu golongan yang memerlukan. Kebiasaan zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadan sahaja.

Kedua, zakat harta diwajibkan kepada pemilik yang cukup syarat ke atas harta tertentu seperti zakat pendapatan, simpanan, emas dan perak, perniagaan, pertanian dan ternakan. Zakat ini dikenakan apabila nilai harta tersebut mencapai paras minimum yang ditetapkan dan genap tempoh setahun pemilikan harta tersebut.

Dalam surah At-Taubah ayat 60, ALLAH SWT berfirman;"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, orang-orang yang membelanjakan di jalan ALLAH dan orang-orang musafir dalam perjalanan".

Dalam mendepani isu jurang sosioekonomi ini, agama Islam sebenarnya mempunyai instrumen unik yang bukan sekadar ritual keagamaan tetapi merupakan ejen transformasi ekonomi iaitu zakat pendapatan.

Zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan ke atas semua hasil pendapatan yang diterima oleh umat islam seperti gaji, elaun, bonus dan pencen.

Zakat pendapatan ini akan ditolak setelah pendapatan kasar setahun ditolakkan dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh individu pada setiap tahun.

Peratusan zakat yang ditetapkan oleh syarak sebanyak 2.5 peratus namun ia bergantung kepada had kifayah yang dibenarkan mengikut negeri. Hal ini kerana had kifayah atau kos sara hidup bagi setiap individu berbeza.

Terdapat dua kaedah pembayaran yang boleh dilakukan oleh pembayar zakat secara bulanan atau dibayar sekali gus secara tahunan.

Mengikut Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), statistik kutipan zakat seluruh Malaysia dari tahun 2021 sehingga 2025 menunjukkan peningkatan dalam pembayaran zakat.

Menurut data pada tahun 2022, jumlah kutipan zakat bagi setiap negeri kecuali Perlis mencecah RM4.18 billion.

Hal ini berlaku apabila wang yang dikeluarkan oleh pembayar zakat disalurkan kepada golongan yang memerlukan untuk mengubah nasib dan kehidupan mereka.

Secara tidak langsung, hal ini bukan sahaja membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah malah ia membantu dalam meningkatkan ekonomi negara.

Ini membuktikan bahawa zakat yang dikeluarkan itu bukan sahaja untuk isi rumah tetapi ianya menyumbang kepada ekonomi.

Namun, walaupun jumlah zakat yang dikutip semakin meningkat saban tahun, terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati kerana agihan yang diterima oleh golongan asnaf masih belum mencapai tahap kepuasan.

Hal ini kerana masih ramai isi rumah atau keluarga asnaf yang menghadapi pelbagai rintangan ekonomi tidak menerima bantuan yang sewajarnya daripada institusi-institusi zakat negeri.

Kisah-kisah ini timbul apabila kisah golongan memerlukan ini tular di media sosial, barulah pihak-pihak yang terlibat dalam menyalurkan bantuan berduyun-duyun menghantar bantuan.

Hakikatnya, zakat pendapatan berfungsi sebagai instrumen serampang dua mata dalam sistem ekonomi Islam.

Melalui kadar ketetapan oleh syarak sebanyak 2.5 peratus, ia bertindak memindahkan sebahagian kekayaan daripada golongan yang berpendapatan tinggi terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Mekanisme ini secara tidak langsung menyekat penumpuan kekayaan hanya dalam golongan elit semata-mata.

Sifatnya dinamik yang memastikan pasaran domestik terus berkembang apabila kuasa beli golongan asnaf dipertingkatkan.

Seterusnya, pusingan modal ini mampu mengecilkan jurang pendapatan yang kian melebar dalam masyarakat sekaligus mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih adil dan saksama.

Menelusuri aspek pengagihan, fungsi institusi zakat di Malaysia kini telah mengalami anjakan paradigma yang signifikan.

Zakat tidak lagi sekadar diagihkan dalam bentuk bantuan sara hidup seperti pemberian barangan keperluan asas.

Sebaliknya, zakat dimanfaatkan secara produktif melalui skim bantuan modal awal perniagaan, latihan keusahawanan dan tajaan pendidikan tinggi kepada anak-anak asnaf.

Melalui strategi ini, golongan asnaf berpeluang untuk membina ekonomi mereka sendiri.

Transformasi ini terbukti berkesan dalam memecahkan rantaian kemiskinan sekaligus merealisasikan sasaran utama institusi zakat dalam jangka panjang dengan menukar status penerima zakat kepada pembayar zakat pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, dalam usaha memacu zakat pendapatan sebagai ejen transformasi sosioekonomi, institusi zakat tidak lari daripada mendepani cabaran era globalisasi dan moden ini.

Antara isu yang sering bangkit adalah tahap keyakinan masyarakat terhadap ketelusan pengagihan serta segelintir pembayar yang memilih untuk menyalurkan sendiri zakat mereka tanpa melalui sistem atau saluran rasmi negeri.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan, hal ini boleh menjejaskan kecekapan pengagihan dana yang lebih bersasar.

Oleh demikian, institusi zakat perlu membina strategi dan langkah yang lebih cekap melalui pemantapan sistem digital, kecerdasan buatan dan ketelusan penyata agihan terbuka bagi membina semula kepercayaan masyarakat yang optimum demi impak ekonomi yang lebih makro.

Secara tuntas, zakat pendapatan bukan sahaja sekadar instrumen penyucian harta, sebaliknya ia merupakan simbol atau pemacu utama dalam sosioekonomi yang mampu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Untuk memastikan agenda transformasi ummah ini mencapai kejayaan optimum, hal ini menuntut kerjasama daripada semua pihak dan agensi.

Apabila rantaian ekonomi islam ini diperkukuhkan, zakat pendapatan bukan sahaja mampu merapatkan jurang ketidaksamarataan, malah menjadi tonggak dalam membina sebuah negara yang makmur, harmoni dan saksama demi menjaga kesejahteraan ekonomi ummah secara menyeluruh.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Zulaikha Mohd Najib

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my