Di dalam era kerancakan trend ekonomi digital hari ini, istilah blind box atau kotak mainan misteri seperti Pop Mart dan Labubu kini menjadi fenomena yang telah mencengkam gaya hidup generasi muda.
Di media sosial seperti Instagram dan TikTok, dipenuhi dengan video anak muda melakukan unboxing demi menonjolkan koleksi karakter kegemaran mereka.
Malangnya perkara ini menjadi pengaruh dan menjadi punca takut kehilangan trend atau lebih dikenali sebagai FOMO (Fear of Missing Out) yang telah mengubah hobi ini daripada sekadar hiburan santai menjadi satu ketagihan yang menuntut kos yang sangat tinggi.
Keadaan ini menjadi lebih parah apabila platform e-dagang kini telah menyediakan perkhidmatan Buy Now Pay Later (BNPL) atau dikenali juga sebagai 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian'.
Kemudahan digital ini akhirnya bertindak sebagai pemangkin untuk anak muda berbelanja melampaui kemampuan sehinggakan ada yang sanggup memulakan fasa hidup dewasa mereka dengan memikul bebanan hutang yang tidak produktif demi sekadar melayan kepuasan nafsu yang sementara.
Di bawah topik Ekonomi Islam, timbul satu persoalan besar yang sering diabaikan iaitu adakah gaya hidup berhutang demi membeli barangan yang tidak pasti kandungannya ini masih berpaksikan keberkatan harta, atau kita sebenarnya sedang terjerat dalam perangkap muamalat yang dilarang?
Antara tuntutan ketelusan dan jerat Gharar
Dalam sistem urusan jual beli dalam Islam, prinsip paling asas adalah tuntutan ketelusan di mana pembeli berhak mengetahui secara spesifik rupa, kualiti dan spesifikasi barangan yang dibayar.
Namun, fenomena blind box ternyata telah merobek prinsip ini.
Menurut kertas kajian undang-undang Islam daripada sebuah universiti awam, hobi kotak misteri ini dikesan mengandungi unsur Gharar al-Wasf, iaitu ketidakpastian terhadap sifat barang di dalam kemasan blind box tersebut.
Keadaan menjadi bertambah kritikal apabila tujuan anak muda membeli bukan lagi disebabkan nilai gunaan mainan tersebut, sebaliknya demi memuaskan nafsu 'bertaruh nasib' untuk mendapatkan karakter tersembunyi (Secret Edition).
Kajian tersebut turut memberi amaran bahawa transaksi yang bergantung kepada tuah semata-mata ini dikhuatiri boleh menyebabkan minda belia tergelincir ke arah elemen Maysir (perjudian).
Akhirnya, ratusan ringgit hangus begitu sahaja demi mengejar angan-angan kosong dan kepuasan yang sementara.
Ilusi ansuran ringan dan perangkap denda yang membukit
Persoalannya, apakah yang menjadi punca anak muda begitu berani melayani tabiat membeli kotak misteri ini secara berulang kali?
Jawapannya terletak pada kehadiran perkhidmatan BNPL yang menawarkan 'ilusi keterjangkauan' (affordability illusion).
Mengikut data perbandingan dalam jurnal kewangan Dimensi Koop, platform digital BNPL sering kali mengaburkan minda pembeli dengan promosi bayaran ansuran dengan faedah sifar peratus (0 peratus).
Perkara ini menyebabkan harga sekotak mainan yang asalnya berharga ratusan ringgit dan dirasakan mahal jika dibayar secara tunai, tiba-tiba kelihatan sangat murah apabila dipecahkan kepada komitmen yang kecil secara bulanan.
Tambahan lagi, sifat potongan automatik tanpa perlu mengeluarkan wang fizikal secara serta-merta ini menghilangkan 'rasa sakit berbelanja' di dalam psikologi manusia.
Namun begitu, di sebalik kemudahan yang kelihatan mesra poket ini, terdapat sisi gelap yang jarang diteliti oleh pembeli remaja.
Jurnal tersebut mendedahkan sekiranya pengguna terlewat atau culas dalam membuat pembayaran mengikut jadual, mereka bakal berhadapan dengan caj proses tambahan atau denda lewat bayar yang tinggi.
Sebagai contoh, platform e-dagang yang popular seperti SPayLater mengenakan caj proses sebanyak 1.25 peratus sebulan, manakala perkhidmatan lain seperti Atome atau Grab boleh mengenakan denda sehingga RM30 atas setiap kelewatan melakukan pembayaran.
Akibatnya, hobi yang awalnya hanya sekadar untuk suka-suka akhirnya bertukar menjadi jerat hutang yang membukit.
Keadaan ini jelas mengundang kemudaratan jangka panjang yang serius kepada golongan muda.
Perspektif ekonomi Islam: Budaya Hedonisme, Israf dan pelanggaran Maqasid
Apabila trend blind box dan kemudahan berhutang ini bergabung, ia menyebabkan wujudnya satu penyakit sosial yang dinamakan sebagai perilaku konsumtif atau gaya hidup hedonisme.
Dalam kajian perilaku pengguna yang diterbitkan oleh Universitas Muhammadiyah Jakarta, anak muda masa kini dikesan cenderung membelanjakan harta demi memuaskan nafsu mata dan menunjuk-nunjuk di media sosial, bukannya berlandaskan keperluan hidup yang sebenar.
Malah data statistik dalam jurnal tersebut membuktikan bahawa sebahagian besar perbelanjaan digital anak muda dihabiskan untuk sektor gaya hidup seperti barangan elektronik, fesyen dan aksesori berbanding bahan keperluan asas.
Dari sudut pandang Ekonomi Islam, tindakan berhabis wang demi mengejar kepuasan hobi yang tidak pasti ini sangat bertentangan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 31 yang bermaksud:
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (Al-Quran, 7:31)."
Firman ALLAH ini jelas memberikan panduan kepada manusia untuk melakukan perbelanjaan secara cermat dan sentiasa memerhatikan urusan hariannya termasuk perbelanjaan kewangannya yang akan dihisab oleh ALLAH kelak.
Tambahan lagi, dalam erti kata lain, firman ini turut melarang keras perbuatan Israf (berlebih -lebihan) dan Tabzir (pembaziran harta tanpa manfaat).
Lebih mendalam lagi, tabiat berhutang demi melayan hobi kotak misteri ini telah melanggar Maqasid Syariah yang paling utama iaitu Hifz al-Mal (menjaga dan memelihara harta).
Dalam pengurusan kewangan Islam, perbelanjaan pengguna mestilah mengutamakan aspek Daruriyyat (keperluan asas) dan Hajiyyat (kemudahan hidup), bukannya mendahului aspek Tahsiniyyat (kemewahan atau kehendak hobi).
Tindakan meletakkan diri dalam rantaian hutang demi memiliki barangan yang mengandungi unsur ketidakpastian (Gharar) merupakan bukti kegagalan literasi kewangan Islam dalam kalangan belia.
Ekonomi Islam tidak pernah menghalang hiburan dan penggunaan teknologi, namun setiap harta perlulah diuruskan secara bersederhana (wasatiyyah) demi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Meniti jalan pulang: Mengimbang teknologi digital dan tuntutan syariat
Sebagai kesimpulan, fenomena blind box yang disebabkan oleh kemudahan hutang dari perkhidmatan BNPL adalah satu loceng amaran awal terhadap masalah kewangan generasi muda kita.
Teknologi kewangan digital sepatutnya dimanfaatkan sebagai instrumen yang membawa kemudahan (Taysir) dan kebaikan (Maslahah) kepada urusan kehidupan, bukannya disalahgunakan demi menuruti kehendak yang melampau sehingga membawa kemudaratan (Dharar) kepada kestabilan ekonomi diri sendiri.
Sudah tiba masanya institusi pendidikan, ibu bapa serta pihak yang terbabit bekerjasama dengan lebih agresif untuk memperkasakan celik kewangan Islam dalam kalangan belia.
Generasi muda perlulah dididik untuk kembali mengamalkan sifat Qana’ah iaitu rasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki serta bijak dalam membezakan antara keperluan hakiki (Daruriyyat) dan bayang-bayang kehendak (Tahsiniyyat).
Pada masa yang sama, pengurus platform e-dagang juga memikul tanggungjawab moral untuk mengekalkan prinsip ketelusan kontrak urusan jual beli agar tidak mengeksploitasi kelemahan psikologi pengguna remaja.
Ingatlah, ekonomi Islam mengajar kita bahawa harta bukan sekadar alat untuk berseronok, tetapi ia adalah amanah yang perlu diuruskan dengan bijak demi meraih keberkatan di dunia dan keselamatan di akhirat.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syamimi Hamsari
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my