Sejak 10 kebelakangan ini, gaya hidup tanpa wang atau cashless semakin menjadi kebiasaan di Malaysia.
Perubahan pesat dalam teknologi digital telah membawa transformasi besar terhadap cara masyarakat menguruskan kewangan dan melakukan transaksi harian.
Jika suatu ketika dahulu wang tunai menjadi medium utama dalam urusan jual beli, kini pembayaran tanpa tunai semakin mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat.
Penggunaan kod QR, perbankan internet, aplikasi e-dompet, GrabPay dan pelbagai platform pembayaran digital telah menjadi sebahagian daripada norma baharu dalam aktiviti ekonomi moden.
Di Malaysia, perkembangan ekonomi digital telah mempercepatkan penerimaan sistem pembayaran tanpa tunai dalam pelbagai sektor.
Keadaan ini memberikan banyak kemudahan kepada pengguna kerana transaksi menjadi lebih cepat dan praktikal.
Daripada pembelian makanan di gerai kecil sehinggalah kepada transaksi bernilai tinggi di pusat membeli-belah, pembayaran digital semakin menjadi pilihan pengguna kerana lebih cepat dan mudah.
Namun, bagi umat Islam, setiap perubahan dalam aktiviti ekonomi perlu dinilai mengikut prinsip syariah.
Timbul persoalan sama ada amalan ini benar-benar selari dengan prinsip ekonomi Islam atau sekadar memenuhi tuntutan kemajuan teknologi semata-mata.
Dalam ekonomi Islam, sesuatu inovasi tidak dinilai hanya dari sudut kecanggihan teknologinya.
Sebaliknya, penilaian dibuat berdasarkan kesannya terhadap manusia, masyarakat dan kesejahteraan ekonomi secara menyeluruh.
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan bentuk wang yang wajib digunakan dalam urusan muamalat.
Apa yang lebih utama ialah fungsi wang sebagai alat penukaran yang diterima masyarakat dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Namun, perubahan bentuk wang daripada emas dan perak kepada wang kertas serta seterusnya kepada wang digital tidak menyalahi syariah selagi memenuhi prinsip keadilan, ketelusan dan kemaslahatan.
Oleh itu, sistem pembayaran digital tidak boleh dianggap baik atau buruk secara mutlak.
Kedudukan ini bergantung kepada cara ia digunakan serta sejauh mana ia mematuhi nilai-nilai syariah.
Antara kebaikan utama pembayaran tanpa tunai ialah kemampuannya meningkatkan kecekapan dalam urusan seharian.
Pengguna tidak perlu lagi membawa banyak wang tunai atau menunggu baki ketika berbelanja.
Situasi ini bukan sahaja memudahkan pengguna, malah membantu mengurangkan risiko kehilangan wang atau kecurian.
Islam sendiri mengiktiraf kepentingan memudahkan urusan manusia selagi tidak melanggar batas syarak.
Selain itu, sistem pembayaran digital turut membantu peniaga merekodkan transaksi dengan lebih sistematik serta mengurangkan kesilapan dalam pengurusan kewangan.
Selain itu, transaksi digital turut meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan kewangan.
Dalam Islam, setiap urusan pertukaran harta perlu dilakukan dengan jelas bagi mengelakkan pertikaian dan ketidakadilan.
Rekod yang jelas ini membantu mengurangkan pertikaian antara pihak yang berurus niaga serta memudahkan proses pemantauan kewangan.
Dalam hal ini, sistem pembayaran digital menawarkan kelebihan kerana setiap transaksi direkodkan dengan rapi dan boleh disemak semula apabila diperlukan.
Rekod yang lengkap memberikan manfaat kepada pengguna, peniaga dan institusi kewangan dalam memastikan urusan berjalan secara lebih telus dan mengelakkan unsur penipuan yang boleh menjejaskan pihak lain.
Dari perspektif syariah, penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai juga boleh menyumbang kepada pemeliharaan harta (hifz al-mal).
Pengurangan kebergantungan kepada wang fizikal menjadikan urusan lebih teratur dan mudah dipantau.
Risiko kehilangan wang akibat kecuaian atau kecurian dapat dikurangkan kerana kebanyakan transaksi dilakukan secara elektronik.
Pada masa yang sama, kerajaan dan institusi kewangan dapat mengurangkan kos berkaitan dengan percetakan, penyimpanan dan pengedaran wang tunai.
Keadaan ini memberikan manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan dan memenuhi konsep maslahah iaitu mewujudkan kebaikan untuk masyarakat.
Walaupun ancaman jenayah siber masih wujud, pengguna masih berpeluang melindungi aset mereka melalui sistem keselamatan seperti pengesahan dua faktor dan notifikasi transaksi secara langsung.
Namun demikian, gaya hidup cashless bukanlah bebas daripada cabaran.
Salah satu isu yang semakin mendapat perhatian ialah kecenderungan untuk berbelanja secara impulsif iaitu berbelanja tanpa kawalan.
Dalam banyak keadaan, pengguna tidak merasai kesan pengurangan wang secara langsung kerana transaksi hanya dilakukan melalui telefon pintar atau kad pembayaran.
Dalam situasi tertentu, pengguna mungkin membeli sesuatu bukan kerana keperluan, tetapi kerana dorongan emosi atau pengaruh promosi.
Keadaan ini bercanggah dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi tunjang dalam ekonomi Islam.
Islam menggalakkan penggunaan harta secara seimbang dan menolak sikap berlebihan dalam berbelanja.
Selain isu pembaziran, perkembangan pembayaran digital turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk kemudahan kredit yang perlu diberikan perhatian oleh pengguna Islam.
Sesetengah kemudahan pembayaran menawarkan pembelian secara ansuran atau pembayaran tertangguh yang mungkin melibatkan caj tambahan tertentu.
Sekiranya caj tersebut mengandungi unsur riba, maka penggunaannya perlu dielakkan kerana riba merupakan amalan yang ditegah secara jelas dalam Islam.
Oleh itu, kemajuan teknologi tidak sepatutnya menyebabkan seseorang hilang kawalan terhadap kewangannya.
Sebaliknya, pengguna perlu menjadikan kemudahan digital sebagai alat untuk memudahkan hidup, bukannya alasan untuk berbelanja tanpa perancangan.
Pengguna juga perlu membuat pertimbangan sebelum membeli sesuatu supaya tidak terjerumus dalam amalan boros.
Cabaran seterusnya ialah ancaman keselamatan siber yang semakin membimbangkan.
Kes penipuan dalam talian, pencerobohan akaun dan pencurian maklumat perbankan menunjukkan bahawa kemajuan teknologi turut membawa risiko baharu kepada pengguna.
Taktik seperti panggilan palsu, pautan berbahaya dan penyamaran identiti sering digunakan untuk mendapatkan maklumat perbankan pengguna.
Dalam pandangan Islam, menjaga harta merupakan tanggungjawab setiap individu.
Oleh itu, pengguna perlu melindungi maklumat kewangan dengan baik melalui penggunaan kata laluan yang selamat, pengesahan dua faktor dan amalan keselamatan digital yang lain.
Langkah ini penting bagi mengelakkan maklumat kewangan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, institusi kewangan Islam mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan pembangunan teknologi kewangan seiring dengan prinsip syariah.
Dalam usaha memastikan sistem pembayaran tanpa tunai terus berkembang secara sihat, institusi kewangan Islam perlu memainkan peranan yang lebih aktif.
Inovasi yang diperkenalkan bukan sahaja perlu memenuhi kehendak pengguna moden, malah mesti mengutamakan keadilan, ketelusan dan kesejahteraan masyarakat
Inovasi dalam bidang teknologi kewangan Islam (Islamic Fintech) berpotensi menjadi pemacu kepada pembangunan sistem kewangan yang lebih inklusif, telus dan beretika pada masa hadapan.
Kesimpulannya, gaya hidup cashless pada asasnya tidak bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam.
Sebaliknya, ia boleh menjadi mekanisme yang memberikan manfaat kepada masyarakat jika digunakan secara bijak dan mematuhi prinsip syariah.
Yang lebih penting bukanlah bentuk wang yang digunakan, tetapi bagaimana manusia menguruskan wang tersebut.
Oleh itu, masyarakat Islam perlu mengimbangi antara penerimaan terhadap kemajuan teknologi dengan tanggungjawab moral dalam menguruskan harta.
Kemajuan teknologi dan nilai Islam tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bercanggah, sebaliknya perlu digabungkan bagi mewujudkan sistem ekonomi yang lebih mampan, adil dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Kita perlu menerimanya dengan kawalan diri, pemahaman syariah dan kesedaran siber.
Dengan itu, gaya hidup cashless bukan sahaja selari dengan ekonomi Islam malah boleh menjadi instrumen untuk mencapai kesejahteraan kewangan yang seimbang dan baik.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rosma Raini Abdul Malik
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my