Ketika kebanyakan pelajar universiti sedang berdebar menanti hari graduasi dan memikirkan hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian, seorang anak muda Malaysia sudah pun mempunyai jawapannya.
Lebih membanggakan, jawapan itu datang daripada Netflix.
Ya, syarikat teknologi dan penstriman yang menjadi impian ramai graduan teknologi di seluruh dunia telah menawarkan jawatan Software Engineer kepada pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Aisha Sabrina Roslan.
Tawaran itu diterima sebelum beliau sempat melangkah ke pentas graduasi. Hebat bukan.
Menerusi info yang dipetik di Facebook MARA USA sempena program MARA Trailblazer - Graduation Series, Aisha yang baru menamatkan pengajian di New York University (NYU), Amerika Syarikat merupakan seorang pelajar cemerlang.
Buktinya, sepanjang berada di universiti berprestij itu, beliau telah meraih pelbagai pengiktirafan akademik antaranya tersenarai dalam Dean's List, menerima pengiktirafan Magna Cum Laude dan dianugerahkan Founder’s Day Award yang diberikan kepada pelajar dalam kelompok 40 peratus terbaik universiti.
"Aisha juga aktif dalam kepimpinan dan komuniti kampus seperti dilantik President NYU Malaysian Students Association; Teaching Assistant, NYU MakerSpace; Teaching Assistant, CS2124: Object Oriented Programming dan Web Developer & PR, NYU Theta Tau (Professional Engineering Fraternity).
"Dari sudut teknikal, Aisha telah mengumpul pengalaman berharga melalui latihan industri di syarikat global seperti Amazon dan Patreon," kongsi hantaran itu.
Di sebalik pencapaian hebat tersebut, Aisha sebenarnya memegang satu prinsip hidup iaitu Decide what is yours to hold and let the rest go.
Semoga kejayaan Aisha menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani bermimpi besar dan berusaha merealisasikannya.