Dalam kepesatan era digital, media sosial kini bukan lagi sekadar medan hiburan, malah telah berevolusi menjadi medium utama urusan kewangan.
Namun, di sebalik kemudahan ini, wujud lohong gelap yang menyaksikan peningkatan drastik kes penipuan digital, khususnya yang menyasarkan golongan belia.
Antara trend yang kian menggusarkan ialah penyalahgunaan aplikasi ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) seperti Atome melalui tawaran perkhidmatan “cash out segera”.
Dengan slogan memikat seperti 'duit masuk sepantas kilat' atau 'proses tanpa syarat' di platform TikTok, taktik ini berjaya memerangkap anak muda yang sering dihimpit tekanan kewangan atau terpedaya dengan impian mendapatkan wang tunai daripada had kredit mereka.
Menerusi satu kisah benar, modus operandi penjenayah bermula dengan paparan iklan di TikTok yang memaparkan testimoni pelanggan dan maklum balas berjaya untuk membina social proof.
Bagi mangsa, jumlah feedback yang banyak memberikan persepsi bahawa perkhidmatan tersebut adalah telus.
Strategi seterusnya adalah memindahkan mangsa ke aplikasi WhatsApp dengan alasan komunikasi yang lebih mudah — satu taktik psikologi untuk membina rasa 'akrab' dan kepercayaan secara peribadi.
Walau bagaimanapun, terdapat satu petanda awal atau red flag yang sering terlepas pandang iaitu gaya bahasa.
Mangsa mengesan penulisan di WhatsApp tersebut menggunakan bahasa Indonesia yang sangat formal dan sedikit janggal, namun dek kerana profil yang kelihatan realistik dan profesional, keraguan tersebut ditenggelamkan oleh keinginan untuk mendapatkan wang segera.
Satu stigma yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan bahawa mangsa scam terdiri daripada golongan kurang berpendidikan.
Realitinya, mangsa dalam kes ini merupakan seorang profesional muda yang berpendidikan tinggi. Ini membuktikan bahawa kelulusan akademik bukan jaminan seseorang itu kebal daripada menjadi mangsa manipulasi digital yang licik.
Apa yang sering terlepas daripada pandangan mata kasar masyarakat ialah impak 'luka ghaib' atau kesan emosi yang ditanggung mangsa.
Walaupun kerugian material mungkin kecil, trauma psikologi yang dialami adalah nyata.
Mangsa dilaporkan mengalami gangguan tidur, hilang selera makan, malah trauma untuk mengakses aplikasi TikTok akibat tekanan emosi dan rasa malu yang menebal.
Malangnya, sistem sokongan sedia ada sering kali dilihat memandang enteng kes yang melibatkan jumlah kerugian kecil.
Apabila aduan dianggap sebagai 'perkara biasa', mangsa cenderung untuk memendam rasa, sekali gus memburukkan lagi tahap kesejahteraan mental mereka. Sehubungan itu, pendidikan literasi digital tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
Masyarakat harus dididik untuk berhati-hati dengan sebarang tawaran penukaran kredit aplikasi kepada tunai (cash out) yang jelas melanggar polisi keselamatan.
Selain itu, kecekapan mengenal pasti identiti penyamar melalui gaya bahasa dan peralihan platform perbualan perlu dipertingkatkan. Kesimpulannya, jenayah scam bukan sekadar isu kehilangan wang ringgit, tetapi serangan terhadap kesejahteraan mental komuniti.
Kerjasama antara pihak berkuasa, institusi pendidikan, dan penyedia platform digital amat kritikal bagi memastikan generasi muda kita tidak terus menjadi mangsa dalam jerat yang semakin kompleks ini.
Maklumat penulis:
Mahasiswa Sarjana Teknologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puteri Elyn Safaril