Crypto dan syariah: Antara inovasi digital dan risiko riba tersembunyi

Iklan
Gambar hiasan

Seiring dengan perkembangan zaman, mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum telah muncul sebagai fenomena kewangan global yang mendapat perhatian masyarakat dunia, termasuklah Malaysia. Tarikan utama aset digital ini ialah potensi keuntungan yang tinggi serta teknologi blockchain yang menjanjikan ketelusan dan desentralisasi.

Namun begitu, timbulnya persoalan yang besar mengenai sejauh manakah crypto selari dengan prinsip Ekonomi Islam yang menekankan keadilan, ketelusan, dan penghindaran daripada unsur riba, gharar (ketidakpastian), serta maisir (spekulasi)? Perbincangan ini penting kerana masyarakat Islam perlu menilai sama ada inovasi kewangan moden ini membawa manfaat atau sebaliknya membuka ruang kepada risiko yang bercanggah dengan syariah.

Iklan
Iklan

Teknologi blockchain yang menjadi asas kepada mata wang kripto menawarkan potensi besar dalam memperkukuh sistem kewangan Islam. Blockchain berfungsi sebagai lejar digital yang telus dan sukar dimanipulasi, sekali gus berpotensi digunakan dalam pengurusan zakat, wakaf, dan kontrak halal. Sebagai contoh, beberapa institusi kewangan Islam di Timur Tengah telah mula mengkaji penggunaan blockchain untuk memastikan agihan zakat lebih efisien dan telus. Dari sudut inovasi, crypto boleh dilihat sebagai peluang untuk memperkasa ekonomi Islam dalam era digital, selagi mana ia dikawal dengan prinsip syariah yang jelas.

Islam menekankan keadilan dalam muamalat. Firman Allah SWT:

Iklan

“Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.” (Surah al-An‘am, 6:152)

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap transaksi, termasuk yang berasaskan teknologi moden, mesti berlandaskan keadilan dan ketelusan.

Iklan

Walaupun crypto membawa potensi, ia juga menimbulkan pelbagai persoalan syariah. Pertama, unsur riba boleh muncul apabila keuntungan diperoleh semata-mata melalui spekulasi harga tanpa nilai hakiki yang jelas. Allah SWT berfirman:

“ALLAH telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, 2:275)

Kedua, sifat turun naik harga crypto yang ekstrem menimbulkan gharar, iaitu ketidakpastian yang dilarang dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“Rasulullah SAW melarang jual beli yang mengandungi gharar.” (Riwayat Muslim)

Ketiga, aktiviti pelaburan crypto yang bersifat spekulatif sering disamakan dengan maisir, iaitu perjudian. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan azlam adalah najis daripada amalan syaitan, maka jauhilah ia...” (Surah al-Maidah, 5:90)

Selain itu, Nabi SAW juga menekankan larangan mencari keuntungan melalui jalan yang tidak jelas. Baginda bersabda:

“Tidak halal keuntungan sesuatu yang mendatangkan mudarat.” (Riwayat Ahmad)

Hadis ini relevan kerana crypto yang bersifat spekulatif boleh mendatangkan mudarat kepada pelabur yang tidak berilmu.

Fenomena crypto sangat popular dalam kalangan belia yang tertarik dengan keuntungan yang segera. Namun, ramai di kalangan individu yang terjebak tanpa ilmu kewangan yang mencukupi, lalu mengalami kerugian yang besar sehingga memudaratkan diri. Fenomena 'cepat kaya' ini bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan usaha halal, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat. Tambahan pula, wujud risiko penipuan melalui skim cepat kaya berasaskan crypto yang semakin berleluasa.

Islam menekankan bahawa harta bukan sekadar alat untuk keuntungan individu, tetapi amanah yang perlu diurus dengan baik. Firman ALLAH SWT:

“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta kamu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.” (Surah an-Nisa’, 4:5)

Ayat ini memberi peringatan bahawa pengurusan harta mesti dilakukan dengan penuh amanah dan tanggungjawab, bukan dengan sikap terburu-buru atau semata-mata mengejar keuntungan.

Di sebalik risiko yang wujud, crypto juga mempunyai potensi positif jika dikawal dengan baik. Mata wang digital boleh digunakan untuk transaksi tanpa riba, menyokong ekonomi digital Islam, dan memperkukuh sistem zakat serta wakaf melalui integrasi blockchain. Dengan kawalan syariah yang ketat, crypto boleh menjadi instrumen kewangan halal yang membantu umat Islam menghadapi cabaran ekonomi moden.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia.” (Riwayat al-Tabarani)

Hadis ini menunjukkan bahawa inovasi seperti crypto boleh menjadi bermanfaat jika digunakan untuk tujuan yang memberi manfaat kepada masyarakat, contohnya mempercepatkan agihan zakat atau memudahkan transaksi halal.

Selain individu dan masyarakat, institusi kewangan Islam memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju crypto. Tanpa garis panduan yang jelas, pelaburan crypto boleh menjerumuskan umat Islam ke dalam amalan yang bercanggah dengan syariah. Oleh itu, institusi seperti bank Islam, Majlis Penasihat Syariah, dan badan fatwa perlu mengeluarkan panduan rasmi tentang kedudukan crypto dalam muamalat Islam.

Firman Allah SWT menekankan kepentingan kepimpinan yang adil:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya; dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah an-Nisa’, 4:58)

Ayat ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan, termasuk crypto, adalah amanah yang mesti dipandu dengan keadilan dan ketelusan. Institusi kewangan Islam boleh memastikan bahawa pelaburan crypto hanya dibenarkan jika memenuhi syarat sah dan halal, contohnya digunakan sebagai medium transaksi sah, bukan untuk spekulasi melampau.

Secara ringkasnya, institusi kewangan Islam boleh menetapkan bahawa pelaburan dalam kripto hanya dibenarkan sekiranya memenuhi prinsip syariah, antaranya digunakan sebagai medium transaksi yang sah serta tidak melibatkan unsur spekulasi berlebihan (gharar) atau perjudian (maysir).

Contohnya, kripto boleh digunakan untuk tujuan pembayaran yang diiktiraf seperti pembelian barangan atau perkhidmatan melalui platform yang sah, serta untuk pindahan wang antarabangsa yang lebih cepat dan kos efektif.

Selain itu, ia juga boleh disimpan sebagai aset pelaburan jangka panjang berdasarkan analisis nilai asas, bukan untuk aktiviti jual beli jangka pendek yang bersifat spekulatif seperti “pump and dump”. Dalam konteks yang lebih luas, penggunaan kripto juga boleh diaplikasikan dalam platform kewangan Islam berasaskan blockchain yang diaudit dan mematuhi sepenuhnya keperluan syariah.

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Imam (pemimpin) adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan tanggungjawab institusi Islam sebagai “penjaga” dalam memastikan umat tidak terjebak dengan pelaburan yang merugikan. Wujudnya garis panduan syariah yang jelas, crypto boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi Islam tanpa menjejaskan prinsip keadilan dan amanah.

Secara keseluruhannya, crypto merupakan fenomena kewangan moden yang tidak boleh diabaikan. Ekonomi Islam perlu mengambil pendekatan wasatiyyah (seimbang), iaitu menerima inovasi teknologi tetapi menapis unsur yang bercanggah dengan syariah.

Pendidikan literasi kewangan Islam harus diperkukuh, manakala institusi fatwa dan kewangan Islam perlu menyediakan garis panduan yang jelas mengenai kedudukan crypto dalam syariah. Penyelidikan berterusan juga penting untuk mengkaji aplikasi blockchain dalam zakat, wakaf, dan rantaian bekalan halal.

Kesimpulannya, crypto boleh menjadi peluang besar bagi ekonomi Islam, tetapi tanpa kawalan syariah yang mantap, ia berisiko menjadi “pintu riba tersembunyi” yang merugikan umat Islam. Berpandukan al-Quran dan hadis serta disokong oleh institusi kewangan Islam, umat Islam dapat memastikan bahawa inovasi digital ini dimanfaatkan secara beretika bagi memperkukuh ekonomi ummah, bukannya membawa kepada kemudaratan, unsur yang tidak jelas (gharar) atau menimbulkan keraguan dan was-was dalam urusan kewangan.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun dua Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Nisa Nasuha Mohd Jamil

2. Pensyarah Kursus Pengenalan Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli