Kes penagihan ganjaran maya dalam platform media sosial seperti di aplikasi TikTok bukanlah satu isu yang baharu dalam dunia digital.
Sebahagian belia masih beranggapan bahawa perbuatan meraih gift digital melalui penstriman langsung (live streaming) dapat menjamin sumber pendapatan yang mudah, sedangkan ruang siber bukan sahaja mampu menjana kewangan, malah bertujuan membentuk ekosistem muamalat serta nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
Amalan meminta-minta ganjaran tanpa menawarkan nilai tambah ini jelas menimbulkan ketidakcekapan terhadap mereka yang berusaha memperoleh rezeki secara produktif, sementara segelintir pencipta kandungan memilih jalan singkat untuk meraih pendapatan.
Walaupun tindakan mengumpul gift digital mungkin memberikan pulangan yang lumayan secara luaran, nilai keberkatan dan keadilan dalam proses kitaran ekonomi Islam adalah jauh lebih penting.
Tambahan pula, belia yang terlalu taksub memburu insentif maya ini berisiko untuk kehilangan maruah diri (muru'ah) apabila sanggup melakukan aksi ekstrem demi menarik perhatian penonton.
Meskipun ada pihak yang menganggap isu ini remeh, kefahaman terhadap pengurusan harta merupakan asas penting yang membentuk hala tuju sosioekonomi ummah pada masa hadapan.
Sebagai contoh, terdapat pencipta kandungan yang menyalahgunakan fungsi penstriman langsung dengan mengeksploitasi emosi kemanusiaan atau melakukan dharurat buatan demi menyeludup simpati bagi mendapatkan gift bernilai ratusan ringgit.
Meskipun statistik rasmi berkenaan jumlah aliran tunai yang lebur dalam aktiviti gifting di Malaysia tidak didedahkan secara terbuka, namun laporan media menunjukkan bahawa kes pembaziran sumber (Israf) masih kerap berlaku setiap tahun khususnya dalam penggunaan aplikasi global.
Tindakan sebegitu bukan sahaja menyebabkan aliran pendapatan menjadi tidak produktif, malah menghancurkan falsafah ekonomi Islam yang menginginkan rantaian kekayaan yang sah, halal dan berintegriti.
Integriti dalam mencari rezeki menjadi asas penting dalam pembentukan jati diri serta pencapaian kejayaan ekonomi yang sebenar.
Sebarang bentuk manipulasi pasaran mampu menjejaskan ketelusan sistem ekonomi Islam kerana sistem pengurusan harta dalam Islam berlandaskan sistem Maqasid Syariah yang ditetapkan demi menjaga kebajikan ummah.
Perlakuan 'mengemis digital' juga menggugat kredibiliti struktur pasaran buruh kerana ia tidak mencerminkan kemampuan atau produktiviti sebenar individu dalam rantaian bekalan ekonomi.
Terdapat pelbagai bentuk penyelewengan nilai muamalat dalam isu ini seperti eksploitasi algoritma platform, pembaziran harta pada perkara lagha dan persaingan tidak sihat antara penderma (top donor).
Secara realitinya, belia yang membina 'kerjaya' melalui kutipan gift tanpa kemahiran nyata mungkin berdepan pelbagai masalah ketika memasuki alam ekonomi sebenar (real economy).
Hal ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai kemahiran fizikal atau intelek untuk melaksanakan tugas, khususnya dalam sektor yang memerlukan kepakaran tinggi dan menyumbang kepada kedaulatan ekonomi negara.
Ilmu kewangan Islam yang sepatutnya diguna pakai dalam membina perniagaan akhirnya merugikan diri mereka sendiri apabila trend live media sosial ini mula merosot atau disekat.
Ketiadaan asas kemahiran yang kukuh boleh menjejaskan daya saing individu sekali gus menyukarkan pelaksanaan pembangunan ekonomi ummah secara makro.
Perkara ini menyebabkan sistem ekonomi domestik kerugian modal insan yang berkualiti kerana bimbang ianya boleh menjejaskan reputasi produktiviti negara dalam jangka panjang.
Secara umumnya, punca yang menyebabkan belia kerap terjebak dalam budaya memburu gift ini adalah disebabkan oleh herotan agihan kekayaan (misallocation of wealth) dan desakan kos sara hidup.
Mereka takut akan kegagalan kewangan yang bakal dihadapi dalam pasaran kerjaya konvensional sehingga menyebabkan mereka mengambil tindakan kurang bermoral dengan mengeksploitasi simpati siber.
Desakan budaya flex culture (menunjuk-nunjuk kemewahan) di media sosial juga menjadi salah satu penyebab kepada peningkatan dalam aspek kebimbangan, rendah diri, dan takut akan kemiskinan.
Tekanan psikologi dan materialistik ini menyebabkan belia mengambil 'jalan selamat' dengan bergantung kepada ihsan penonton.
Bahkan, perkembangan kepada teknologi Fintech turut menyumbang kepada peningkatan kes herotan ekonomi ini melalui ciri mikro-transaksi sepantas satu klik.
Contoh instrumen yang digunakan adalah pembelian syiling digital platform yang memotong komisen sehingga 50 peratus daripada nilai asal.
Hal ini menunjukkan bahawa teknologi digital adalah ibarat penawar dan racun; jika dimanfaatkan dengan bijak (seperti e-dagang patuh syariah) yang sememangnya membawa kebaikan, namun jika disalahgunakan untuk aktiviti tidak produktif, ia membawa binasa kepada poket umat Islam.
Meskipun pencipta kandungan memperoleh pulangan tunai yang tinggi dalam akaun mereka, sistem Ekonomi Islam amat menitikberatkan konsep Al-Kasb (usaha produktif) yang bukan sahaja berprestasi material tinggi tetapi juga 'kaya' dengan keberkatan dan sumbangan sosial.
Kemahiran yang dimaksudkan merangkumi aspek interpersonal, teknikal dan keusahawanan tulen.
Mereka yang mahir dalam ketiga-tiga aspek ini mempunyai potensi yang besar untuk berjaya dalam jangka masa panjang melalui model perniagaan Islam yang sah, tidak kira bidang yang diceburi.
Sehubungan itu, sistem muamalat turut menilai individu dari aspek etika pertukaran nilai yang adil, yang menguji kebolehan umat Islam berfikir secara kritis dalam menguruskan harta tanpa terjebak dalam lembah pembaziran (Israf).
Kesimpulannya, nilai amanah dan produktiviti merupakan asas penting dalam kehidupan, sama ada dalam alam pembelajaran mahupun dunia pekerjaan ekonomi.
Sistem pencarian rezeki berperanan sebagai saluran utama dalam membentuk sahsiah umat agar menjadi individu yang berintegriti dan bertanggungjawab terhadap harta.
Oleh itu, isu 'mengemis digital' dan lambakan gift tidak produktif ini perlu diberi perhatian serius, terutamanya oleh pihak berkuasa seperti institusi fatwa, JAKIM, dan MCMC.
Pengguna media sosial juga harus bijak mengalirkan dana mereka ke saluran infak atau pelaburan sebenar supaya masyarakat mengambil iktibar dan sedar akan kepentingan nilai kejujuran ekonomi dalam membentuk masa depan ummah yang cemerlang.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ain Natasya Ruhaizad
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my