Dalam era digital yang serba moden, kehidupan masyarakat semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi dan media sosial.
Kewujudan pelbagai platform digital seperti TikTok, Instagram dan Facebook bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah turut mempengaruhi cara masyarakat berfikir, berbelanja dan menjalani kehidupan seharian.
Dalam kalangan generasi muda khususnya, muncul satu fenomena yang semakin mendapat perhatian iaitu Fear of Missing Out (FOMO) atau perasaan takut ketinggalan sesuatu trend, pengalaman atau peluang yang sedang dinikmati oleh orang lain.
Fenomena FOMO semakin ketara dalam kehidupan masyarakat dan generasi belia hari ini.
Setiap hari pengguna media sosial didedahkan dengan pelbagai kandungan berkaitan gaya hidup, produk viral, promosi jualan dan perkongsian pengalaman oleh pempengaruh.
Keadaan ini menyebabkan ramai individu berasa perlu mengikuti trend semasa agar tidak dianggap ketinggalan oleh rakan-rakan atau masyarakat sekeliling.
Akibatnya, ramai pengguna membuat pembelian secara spontan tanpa menilai sama ada sesuatu barangan itu benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi kehendak yang sementara.
Dalam konteks perbelanjaan, FOMO sering mendorong pengguna untuk membeli sesuatu produk kerana takut terlepas peluang yang dianggap istimewa.
Tawaran seperti jualan kilat, promosi masa terhad, diskaun besar-besaran dan produk yang sedang tular di media sosial sering mempengaruhi emosi pengguna.
Walaupun strategi pemasaran ini mampu merangsang aktiviti ekonomi, ia juga boleh menyebabkan pengguna berbelanja secara berlebihan dan di luar kemampuan kewangan mereka.
Golongan Generasi Z merupakan antara kumpulan yang paling terdedah kepada fenomena ini.
Mereka membesar dalam persekitaran digital yang menjadikan media sosial sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Kemudahan membeli-belah secara dalam talian serta pelbagai kaedah pembayaran digital menjadikan proses pembelian semakin mudah dan pantas.
Hanya dengan beberapa sentuhan pada telefon pintar, pelbagai barangan boleh dibeli tanpa perlu keluar dari rumah.
Kemudahan ini sememangnya memberi manfaat kepada pengguna, namun tanpa kawalan yang baik, ia boleh mendorong kepada tabiat perbelanjaan yang tidak sihat dan berlakunya pembaziran.
Tambahan pula, media sosial sering memaparkan kehidupan yang kelihatan sempurna dan mewah.
Ramai belia merasakan mereka perlu memiliki telefon pintar terkini, pakaian berjenama, produk kecantikan popular atau menikmati gaya hidup tertentu bagi mendapatkan pengiktirafan awam dan sosial media.
Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengguna berbelanja bukan kerana keperluan, tetapi kerana ingin menyesuaikan diri dengan trend semasa dan memenuhi jangkaan masyarakat.
Fenomena ini perlu diberi perhatian kerana ia bertentangan dengan prinsip asas ekonomi Islam yang menekankan pengurusan harta secara berhemah dan bertanggungjawab.
Dalam Islam, harta merupakan amanah daripada ALLAH SWT yang perlu digunakan dengan cara yang memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Oleh itu, setiap keputusan perbelanjaan perlu dibuat berdasarkan pertimbangan yang rasional serta tidak dipengaruhi oleh emosi semata-mata.
Islam menggalakkan umatnya menikmati rezeki yang halal dan baik, namun pada masa yang sama melarang sikap berlebih-lebihan dalam perbelanjaan.
ALLAH berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud, makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut keseimbangan dalam kehidupan.
Sikap berbelanja secara berlebihan semata-mata untuk mengikut trend atau memenuhi kehendak yang tidak diperlukan adalah bertentangan dengan konsep kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.
Selain itu, ALLAH turut mengingatkan umat manusia tentang bahaya pembaziran melalui firmanNya dalam Surah al-Isra’ ayat 27 yang menjelaskan bahawa sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.
Peringatan ini menunjukkan bahawa pembaziran bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan seseorang, malah mencerminkan kegagalan dalam menghargai nikmat yang telah dikurniakan oleh ALLAH.
Dalam keadaan ini ramai masyarakat masih bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, amalan berbelanja secara berlebihan seharusnya dielakkan.
Tokoh ekonomi Islam, M Umer Chapra menjelaskan bahawa penggunaan harta dalam Islam perlu dilakukan secara seimbang bagi mencapai kesejahteraan individu dan masyarakat.
Matlamat penggunaan dalam ekonomi Islam bukanlah untuk memenuhi kehendak tanpa batasan, tetapi untuk mencapai kehidupan yang lebih baik serta memperoleh keredaan ALLAH.
Oleh itu, pengguna Muslim perlu sentiasa menilai keutamaan sebelum membuat sesuatu pembelian.
Salah satu cabaran utama yang menyumbang kepada fenomena FOMO ialah kurangnya pengetahuan tentang pengurusan kewangan.
Sebahagian belia masih kurang memahami kepentingan merancang perbelanjaan, membuat simpanan dan mengurus pendapatan dengan baik.
Mereka mudah terpengaruh dengan promosi dan trend semasa tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kedudukan kewangan mereka.
Pelbagai kajian berkaitan literasi kewangan menunjukkan bahawa individu yang mempunyai pengetahuan kewangan yang baik lebih cenderung membuat keputusan yang rasional serta kurang berisiko menghadapi masalah kewangan.
Oleh sebab itu, pendidikan kewangan perlu diperkasakan sejak usia muda agar generasi akan datang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks.
Bagi mengatasi fenomena FOMO, pengguna Muslim perlu kembali menghayati konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam kehidupan.
Sebelum membuat sesuatu pembelian, individu perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada barangan tersebut benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi kehendak sementara.
Sikap berfikir sebelum berbelanja dapat membantu mengelakkan pembaziran serta meningkatkan kestabilan kewangan.
Selain itu, nilai qanaah atau merasa cukup dengan apa yang dimiliki juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Individu yang mengamalkan qanaah tidak mudah terpengaruh dengan kemewahan yang dipaparkan oleh orang lain dan lebih menghargai nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka.
Nilai ini penting bagi membentuk masyarakat yang lebih bersyukur, sederhana dan bijak dalam mengurus kewangan.
Kesimpulannya, fenomena FOMO dalam perbelanjaan merupakan cabaran baharu yang semakin mempengaruhi pengguna Muslim pada masa kini.
Pengaruh media sosial, budaya konsumerisme dan kemudahan teknologi menyebabkan ramai pengguna terdorong untuk berbelanja tanpa perancangan yang sewajarnya.
Oleh itu, prinsip ekonomi Islam seperti kesederhanaan, qanaah, amanah dan tanggungjawab perlu dijadikan panduan dalam setiap keputusan kewangan.
Dengan mengamalkan nilai-nilai tersebut, masyarakat bukan sahaja dapat mengelakkan masalah kewangan, malah mampu mencapai kehidupan yang lebih seimbang, sejahtera dan diberkati.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Noorhidayah Waslee
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my