Dalam era globalisasi ini, di mana kos sara hidup semakin meningkat, masyarakat memerlukan instrumen ekonomi yang bukan sahaja mampu menjana kekayaan, malah dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan bersama.
Dalam konteks ekonomi Islam, wakaf merupakan salah satu instrumen yang berpotensi besar dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan. Konsep wakaf berasaskan semangat pergorbanan dan perkongsian harta demi manfaat masyarakat secara berterusan.
Allah SWT berfirman:
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sehingga kamu membelanjakan sebahagian daripada apa yang kamu cintai. Dan apa Sahaja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)
Ayat di atas menjelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya membelanjakan sebahagian hartanya kepada jalan kebajikan. Salah satu manfaat amalan tersebut ialah wakaf bukan sahaja memberi ganjaran kepada pewakaf malah dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Sejak zaman Rasulullah SAW, wakaf telah diamalkan oleh baginda di mana amalan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat Islam dan terus relevan sehingga hari ini.
Secara umumnya, wakaf merujuk kepada penahanan sesuatu harta yang boleh dimanfaatkan secara berterusan untuk tujuan kebajikan dan mendapat keredaan Allah SWT. Harta yang telah diwakafkan tidak boleh dijual, diwarisi atau dipindah milik, sebaliknya manfaatnya digunakan untuk kepentingan masyarakat. Konsep ini menjadikan wakaf sebagai satu bentuk pelaburan sosial yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada generasi semasa dan akan datang.
Salah satu peranan utama wakaf dalam memperkasakan ekonomi ummah ialah membantu membasmi kemiskinan. Hasil daripada aset wakaf seperti bangunan, tanah atau premis perniagaan boleh digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan, makanan, tempat tinggal dan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
Dengan adanya sumber dana yang berterusan, institusi wakaf dapat membantu mengurangkan beban hidup golongan miskin dan meningkatkan taraf kehidupan mereka. Secara tidak langsung, jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan. Selain itu, wakaf juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor pendidikan.
Sejarah membuktikan bahawa banyak institusi Pendidikan Islam yang terkenal dibangunkan melalui dana wakaf. Pada masa kini, sumbangan wakaf kebanyakannya digunakan untuk membangunkan sekolah, institusi pengajian tinggi, perpustakaan dan pusat latihan kemahiran.
Dana wakaf juga digunakan untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar daripada berpendapatan rendah. Melalui akses pendidikan yang lebih baik, masyarakat dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan Kemahiran, sekali gus memperkukuhkan modal insan yang menjadi asas kepada pembanugunan ekonomi negara.
Di samping itu, wakaf mampu merangsang aktiviti ekonomi melalui pembangunan aset wakaf secara produktif. Banyak tanah wakaf yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat perniagaan, kompleks komersial, hotel, hospital atau kawasan pertanian moden.
Pembangunan ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada institusi wakaf, malah dapat membukan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Dengan itu, kawasan tersebut tidak akan berlaku penggangguran modal insan kerana adanya pekerjaan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Pendapatan yang diperoleh daripada projek tersebut dapat disumbangkan semula kepada pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Oleh itu, wakaf berfungsi sebagai instrument ekonomi yang mampu menghasilkan kesan berganda kepada Pembangunan ekonomi ummah. Peranan wakaf dalam sektor kesihatan juga tidak boleh dipandang remeh.
Dana wakaf boleh digunakan untuk membina hospital atau klinik di sesebuah tempat yang memerlukan di mana ia menyediakan perkhidmatan kesihatan pada kos yang lebih rendah. Ini dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan yang berkualiti bertaraf swasta tanpa dibebani kos perubatan yang tinggi.
Kesihatan yang baik membolehkan masyarakat menjadi lebih produktif dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan ekonomi negara. Walau bagaimanapun, institusi wakaf di Malaysia masih berhadapan dengan beberapa cabaran.
Antaranya ialah masih terdapat banyak aset dan tanah wakaf yang belum dibangunkan secara optimum. Sebahagian tanah wakaf berada di lokasi yang strategik, namun kekurangan modal, masalah dokumentaasi serta kekangan perundangan yang menyebabkan pembangunan sukar dilaksanakan.
Akibatnya, aset yang sepatutnya menjana pendapatan kepada masyarakat hanya terbiar tanpa memberi manfaat yang optimum.
Selain itu, tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf masih berada pada tahap yang sederhana.
Ramai yang masih menganggap wakaf hanya terhad kepada pembinaan masjid atau surau semata-mata. Hakikatnya, wakaf boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti wakaf tunai, wakaf pendidikan, wakaf kesihatan dan wakaf yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara meluas.
Kekurangan kefahaman ini menyebabkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti wakaf masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Cabaran seterusnya ialah isu tadbir urus dan pengurusan institusi wakaf. Dalam sesetengah keadaan, kelemahan dari segi pengurusan, pemantauan dan perancangan strategik boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi wakaf.
Masyarakat kini lebih cenderung untuk mengetahui bagaimana dana yang disumbangkan digunakan dan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan sasaran.
Sekiranya aspek ketelusan tidak diberi perhatian, keyakinan masyarakat untuk berwakaf mungkin akan berkurangkan. Bagi memastikan wakaf dapat berfungsi dengan lebih berkesan sebagai pemangkin ekonomi ummah, beberapa langkah perlu dititikberatkan.
Langkah pertama, institusi wakaf perlu memperkukuhkan system tadbir urus dengan mengamalkan pengurusan yang professional, telus dan berintegriti. Laporan berkala mengenai penggunaan dana dan prestasi aset wakaf perlu didedahkan kepada masyarakat bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi tersebut.
Kedua, pembangunan asset wakaf perlu dipergiatkan melalui kerjasama strategik antara majlis agama Islam negeri, sektor swasta dan institusi kewangan Islam. Kerjasama ini mampu menyediakan sumber kewangan dan kepakaran yang diperlukan untuk membangunkan tanah wakaf menjadi projek yang produktif seperti pusat perniagaan, kompleks pendidikan, hospital atau perumahan mampu milik.
Pendapatan yang dijana daripada projek tersebut boleh disalurkan semula kepada aktiviti kebajikan dan pembangunan masyarakat. Selain itu, penggunaan teknologi digital perlu diperluaskan dalam pengurusan wakaf.
Platform wakaf dalam talian boleh memudahkan orang ramai membuat sumbangan pada bilabila masa dan di mana sahaja. Pendigitalan juga membantu meningkatan kecekapan pengurusan data, pemantauan projek serta penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Langkah ini selari dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup masyarakat moden.
Di samping itu, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf perlu diperkasakan melalui kempen pendidikan dan program penerangan yang berterusan.
Institusi pendidikan, masjid, media massa dan platform media sosial boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat mengenai manfaat wakaf kepada masyarakat.
Apabila masyarakat memahami bahawa wakaf bukan sekadar amalan kebajikan tetapi juga instrumen pembangunan ekonomi, lebih ramai individu akan terdorong untuk menyumbang.
Dengan pemglibatan semua pihak, wakaf berpotensi menjadi salah satu instrument ekonomi Islam yang paling berkesan dalam memperkukuhkan kesejahteraan dan kemakmuran ummah.
Kesimpulannya, wakaf merupakan instrumen ekonomi Islam yang mempunyai potensi besar dalam memperkasa ekonomi ummah.
Melalui sumbangannya dalam pembasmian kemiskinan, pembangunan pendidikan, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan pembangunan aset ekonomi, wakaf mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat.
Dengan pengurusan yang cekap, inovatif dan telus, institusi wakaf bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh.
Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengembangkan budaya wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan masa hadapan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Sahih Muslim)
Maklumat Penulis:
1. Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Nur Ain Che Rashid
2. Pensyarah Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, Dr Jaharudin Padli