Isu gaji minimum dan sara hidup sering menjadi topik hangat dalam kalangan pekerja di Malaysia hari ini. Sebagai seorang pekerja, kita sering berdepan dengan realiti pahit di mana gaji yang diterima tidak sepadan dengan beban kerja yang ditanggung.
Trend yang membimbangkan ini menyebabkan ramai pekerja terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan harian, manakala sebahagian pula terpaksa bekerja lebih masa tanpa mendapat pampasan yang setimpal.
Disebabkan perkara ini, kita sering merasakan diri kita seperti"keldai" yang dipaksa bekerja tanpa memperoleh hak yang sepatutnya. Dalam sudut ekonomi Islam, gaji bukan sekadar upah yang diterima pada hujung bulan, tetapi ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh majikan kepada pekerja dengan penuh keadilan.
Islam tidak melarang majikan untuk memperoleh keuntungan, tetapi Islam mengajarkan kita bahawa setiap pekerja berhak menerima upah yang setimpal dengan usaha dan keringat yang telah dicurahkan.
Terdapat satu prinsip asas yang diperkenalkan oleh Islam dalam menentukan gaji iaitu prinsip 'Adl (Keadilan). Prinsip ini mengajarkan kita bahawa gaji yang diberikan mestilah mencerminkan beberapa perkara penting iaitu yang pertama adalah Gaji yang Layak (Kifayah).
Gaji yang diterima mestilah sekurang-kurangnya mampu menampung keperluan asas pekerja dan keluarganya seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, dan perbelanjaan kesihatan. Ini bukan sekadar gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan, tetapi gaji yang benar-benar boleh membuatkan pekerja hidup dengan selesa dan bermaruah.
Contohnya, seorang pekerja yang mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak memerlukan gaji yang lebih tinggi berbanding pekerja bujang. Majikan yang adil akan mengambil kira faktor ini dalam menentukan gaji.
Kedua, Gaji yang Setimpal dengan Kemahiran (Ihsan). Ini merupakan perkara kedua terpenting selepas gaji layak kerana ganjaran yang setimpal dengan kemahiran akan menentukan seberapa tinggi motivasi dan produktiviti seseorang pekerja. Contohnya, seorang jurutera yang mempunyai kepakaran tinggi dan pengalaman luas seharusnya menerima gaji yang lebih tinggi berbanding pekerja baharu.
Seandainya majikan hanya mementingkan keuntungan syarikat tanpa menghargai kemahiran pekerja, ia akan membunuh semangat dan inovasi secara perlahan-lahan tanpa kita sedar.
Ketiga, Gaji yang Tepat pada Waktunya (Tawfiq). Jujur dari sudut hati yang dalam, pekerja mana yang tidak tertekan apabila gaji mereka lewat dibayar? Namun, Islam telah mengajarkan kita bahawa menunda-nunda pembayaran gaji kepada pekerja adalah satu kezaliman.
Sabda Rasulullah SAW:"Berikanlah kepada pekerja itu upahnya sebelum kering peluhnya." (Riwayat Ibnu Majah).
Majikan yang bertakwa akan sentiasa memastikan gaji pekerjanya dibayar tepat pada waktunya tanpa sebarang kelewatan.
Pekerja juga perlu mengelakkan diri daripada menerima gaji yang terdapat unsur riba di dalamnya. Contohnya, skim insentif atau bonus yang bergantung sepenuhnya
kepada eksploitasi pekerja lain atau amalan perniagaan yang tidak beretika. Kita perlu memahami perbezaan antara gaji yang halal dan baik (Tayyib) dengan gaji yang diperoleh melalui cara yang haram.
Perkara ini amat penting bagi memastikan keberkatan dalam rezeki yang kita peroleh. Gaji yang halal akan mendatangkan ketenangan jiwa dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala gaji yang haram akan membawa kepada kebinasaan walaupun jumlahnya besar. Ini kerana, sebagai seorang muslim kita mestilah memastikan setiap ringgit yang kita terima adalah bersih dan halal.
Firman ALLAH SWT:"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar kamu hanya beribadat kepada-Nya." (Surah al-Baqarah: 172).
Sesiapa sahaja yang memandang remeh soal halalnya gaji akan dibinasakan hidupnya. Sabda Rasulullah SAW:"Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan cara yang batil, maka Allah akan membinasakannya." (Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, jelaslah bahawa kita sewajarnya memastikan sumber pendapatan kita benar-benar halal dan bersih agar hidup sentiasa tenang tanpa perlu bersusah-payah memikirkan dosa yang kita tanggung akibat gaji yang haram.
Selain itu, dalam ekonomi Islam, majikan juga perlu memahami bahawa pekerja bukan sekadar 'alat' untuk menghasilkan keuntungan, tetapi mereka adalah amanah yang perlu dijaga dan dilindungi hak-haknya. Hakikatnya, sebahagian daripada keuntungan syarikat juga merupakan hak pekerja yang telah menyumbang tenaga dan idea.
Disebabkan itu, Islam mengajar majikan untuk sentiasa memberikan bonus atau kenaikan gaji secara adil untuk memperoleh keberkatan dalam perniagaan mereka. Percayalah bahawa memberi gaji yang adil tidak akan membuatkan syarikat muflis, malahan akan menjadikan syarikat lebih produktif dan maju.
Keberkatan dalam perniagaan yang dijalankan akan menjadikan majikan lebih tenang dan bersyukur dengan rezeki yang sedia ada. Terdapat ramai majikan di seluruh dunia yang masih tidak dapat merasai nikmat ketenangan walaupun mereka sebenarnya sudah mampu memiliki hampir segalanya di dunia ini. Ini kerana, mereka masih tidak mendapat keberkatan dalam perniagaan mereka akibat menzalimi pekerja.
Tanpa keberkatan, keuntungan setinggi gunung Everest sekalipun tidak akan cukup. Oleh itu, Islam mengajarkan kita untuk bersikap adil dalam semua urusan, termasuklah dalam menentukan gaji pekerja.
Sebagai penutup, golongan pekerja di Malaysia hendaklah sedar sejak sekarang agar kita tidak terus terpinggir dan dizalimi dalam soal gaji. Kita mesti berani bersuara dan menuntut hak kita dengan cara yang beradab dan berlandaskan syariat. Kita mesti percaya bahawa prinsip keadilan dalam gaji adalah benteng terbaik untuk melindungi maruah kita sebagai pekerja dan sebagai hamba Allah yang bertakwa.
Kerajaan dan pihak berwajib perlu mengadakan beberapa kempen dan dasar baharu untuk memberi kesedaran kepada majikan tentang betapa pentingnya untuk mengubah corak pemikiran daripada hanya mementingkan keuntungan semata-mata kepada membina ekosistem pekerjaan yang berlandaskan keadilan dan keberkatan yang pasti akan membawa kepada kesejahteraan negara dan direstui ALLAH SWT.
Dan perkara inilah yang diidamkan oleh semua pekerja di Malaysia iaitu pengakhiran yang baik seperti di dalam semua cerita yang kita tonton.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun dua Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Akmal Zolkifle
2. Pensyarah Kanan Kursus Pengenalan Kepada Ekonomi Islam, Dr Jaharudin Padli