Kandungan berunsur seksual dalam era digital merujuk kepada sebarang bentuk bahan komunikasi, penerbitan atau media yang mengandungi gambaran, naratif, dialog atau unsur berkaitan seksualiti, hubungan intim, rangsangan seksual mahupun perlakuan yang tidak sesuai untuk kelompok tertentu, khususnya kanak-kanak dan remaja.
Kandungan ini tidak lagi terhad kepada bahan bercetak atau laman sesawang dewasa semata-mata, sebaliknya hadir dalam pelbagai bentuk seperti e-buku, novel digital, komik dalam talian, video pendek, aplikasi komunikasi, media sosial dan platform penerbitan kendiri yang semakin popular dalam kalangan pengguna internet.
Perkembangan pesat teknologi komunikasi telah mengubah landskap penerbitan secara menyeluruh. Jika suatu ketika dahulu proses penerbitan memerlukan penilaian editorial, tapisan kandungan dan pematuhan terhadap garis panduan tertentu sebelum sesebuah karya dapat diterbitkan, hari ini sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit hanya dengan memiliki telefon pintar dan akses internet.
Demokratisasi penerbitan ini sememangnya membuka ruang yang luas kepada kreativiti, inovasi dan kebebasan bersuara. Namun pada masa yang sama, ia turut mengurangkan fungsi"penjaga pintu" atau gatekeeper yang sebelum ini berperanan menapis kandungan yang berpotensi memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Apa yang lebih membimbangkan ialah cara kandungan berunsur seksual kini diedarkan dan dipromosikan. Dalam ekosistem digital moden, pengguna tidak semestinya perlu mencari kandungan tersebut secara aktif. Sebaliknya, sistem algoritma yang digunakan oleh pelbagai platform media sosial dan aplikasi digital berfungsi berdasarkan tingkah laku pengguna, termasuk sejarah carian, tontonan dan interaksi.
Akibatnya, seseorang pengguna yang pernah berinteraksi dengan kandungan tertentu berkemungkinan akan menerima lebih banyak cadangan kandungan yang hampir sama. Fenomena ini mewujudkan apa yang dikenali sebagai"lingkaran algoritma", iaitu keadaan di mana pengguna terus terdedah kepada kandungan tertentu secara berulang sehingga menjadikannya kelihatan normal dan diterima dalam kehidupan seharian.
Dari sudut sosial, isu ini bukan sekadar berkaitan akses kepada bahan bacaan atau hiburan. Pendedahan berterusan kepada kandungan berunsur seksual, khususnya dalam kalangan remaja yang masih berada dalam fasa pembentukan identiti, berpotensi mempengaruhi cara mereka memahami konsep hubungan, keintiman dan tanggungjawab sosial.
Kajian dalam bidang psikologi media menunjukkan bahawa pendedahan berulang terhadap sesuatu kandungan mampu membentuk persepsi individu terhadap realiti sosial. Dalam konteks ini, hubungan yang dipaparkan secara tidak seimbang atau terlalu berorientasikan elemen seksual boleh menyebabkan golongan muda membina jangkaan yang tidak realistik terhadap hubungan interpersonal dan institusi kekeluargaan.
Lebih daripada itu, lambakan kandungan sedemikian turut mencetuskan persoalan mengenai literasi digital masyarakat. Ramai pengguna, khususnya golongan muda, mempunyai kemahiran menggunakan teknologi tetapi tidak semestinya memiliki keupayaan untuk menilai kandungan secara kritis.
Keadaan ini menyebabkan mereka lebih mudah menerima, berkongsi atau menganggap sesuatu kandungan sebagai normal tanpa mempertimbangkan implikasi sosial, moral dan psikologi yang mungkin timbul. Dalam era maklumat tanpa sempadan, keupayaan menapis kandungan secara kendiri menjadi sama penting dengan akses kepada teknologi itu sendiri.
Dari perspektif perundangan, fenomena ini berkait rapat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 yang memperuntukkan kesalahan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi menyebarkan
kandungan yang bersifat lucah, jelik, mengancam atau menyinggung. Peruntukan ini mencerminkan pengiktirafan undang-undang bahawa kebebasan menggunakan ruang digital perlu disertai dengan tanggungjawab terhadap kesan yang mungkin timbul kepada masyarakat.
Dalam era media sosial, satu kandungan yang dimuat naik oleh seorang individu boleh disebarkan kepada ribuan malah jutaan pengguna dalam tempoh yang amat singkat, sekali gus memperbesar kesan yang mungkin terhasil.
Namun demikian, cabaran utama pada hari ini bukanlah kekurangan undang-undang. Sebaliknya, isu yang lebih kompleks ialah keberkesanan penguatkuasaan dalam persekitaran digital yang sentiasa berubah. Kandungan boleh diterbitkan secara anonim, disebarkan merentasi pelbagai platform dan dimuat naik semula oleh pengguna lain dalam masa beberapa minit.
Tambahan pula, sebahagian besar platform digital utama beroperasi di luar bidang kuasa Malaysia, menyebabkan proses pemantauan, pengesanan dan tindakan penguatkuasaan menjadi lebih mencabar berbanding media tradisional.
Atas sebab itu, penyelesaian kepada isu ini tidak boleh bergantung kepada pendekatan perundangan semata-mata. Pengawalseliaan perlu bergerak seiring dengan pendidikan literasi media dan literasi digital. Institusi pendidikan perlu memainkan peranan dalam membentuk pemikiran kritis pengguna muda, manakala ibu bapa perlu lebih peka terhadap corak penggunaan media anak-anak.
Pada masa yang sama, penyedia platform digital juga perlu memikul tanggungjawab sosial melalui mekanisme penapisan kandungan, kawalan umur dan sistem pelaporan yang lebih berkesan. Tanpa kerjasama pelbagai pihak, usaha membendung penyebaran kandungan yang tidak sesuai akan terus berdepan pelbagai kekangan.
Dalam keghairahan meraikan kemajuan teknologi dan kebebasan digital, masyarakat mungkin terlupa bahawa setiap kandungan yang dibaca, ditonton dan dikongsi mempunyai keupayaan untuk membentuk cara seseorang melihat dunia.
Persoalannya, apabila kandungan berunsur seksual menjadi semakin biasa dalam ruang digital, adakah kita sedang menyaksikan perubahan budaya yang berlaku secara semula jadi atau sebenarnya sedang berhadapan dengan proses normalisasi yang berlaku sedikit demi sedikit tanpa disedari?
Jika generasi muda membesar dalam persekitaran digital yang dipenuhi kandungan sedemikian, apakah bentuk masyarakat yang bakal lahir dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun akan datang? Dan ketika itu nanti, adakah kita masih boleh mengatakan bahawa kita tidak pernah melihat tanda-tandanya dari sekarang?
Maklumat penulis:
1. Pelajar Program Komunikasi Massa Service-Learning Malaysia-University for Society-The Rise of One's Aid Society, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Durratul Laquesha Shaiful Bakhtiar
2. Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Dr Mohd Yusof Zulkefli