Peranan kewangan Islam dalam menangani kos sara hidup rakyat Malaysia

Iklan
Gambar hiasan

Pada masa kini, isu kos sara hidup semakin menjadi perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia. Kenaikan harga makanan, sewa rumah, utiliti, pengangkutan dan keperluan harian telah memberi tekanan kepada banyak isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keadaan ini menyebabkan ramai individu terpaksa mengurangkan perbelanjaan, membuat pekerjaan sampingan atau berhutang untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, timbul persoalan sama ada sistem kewangan Islam mampu menjadi penyelesaian kepada masalah kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat. Justeru, rencana ini akan membincangkan peranan kewangan Islam dalam membantu masyarakat menghadapi cabaran tersebut.

Iklan
Iklan

Sebenarnya, kewangan Islam mempunyai pelbagai instrumen yang boleh membantu mengurangkan beban ekonomi masyarakat. Antaranya ialah zakat yang berfungsi sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan dalam masyarakat. Melalui kutipan zakat yang sistematik, bantuan dapat diberikan kepada golongan asnaf seperti fakir dan miskin bagi memenuhi keperluan asas mereka.

Contohnya, institusi zakat di Malaysia menyediakan bantuan kewangan, bantuan makanan, bantuan pendidikan dan bantuan perubatan kepada golongan yang memerlukan. Bantuan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Iklan

Selain itu, wakaf juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Wakaf merujuk kepada sumbangan harta yang digunakan untuk kepentingan umum dan kebajikan masyarakat. Melalui dana wakaf, pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, pusat pengajian dan rumah kebajikan dapat dibangunkan.

Kewujudan kemudahan ini membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat. Sebagai contoh, institusi pendidikan yang dibangunkan melalui wakaf mampu menawarkan peluang pendidikan dengan kos yang lebih rendah kepada masyarakat. Di samping itu, pembiayaan Islam turut menjadi salah satu alternatif yang boleh membantu rakyat mengurus kewangan dengan lebih baik.

Iklan

Berbeza dengan sistem konvensional yang berasaskan riba, pembiayaan Islam menggunakan kontrak yang mematuhi syariah seperti murabahah, ijarah dan musharakah. Melalui sistem ini, pengguna dapat memperoleh pembiayaan yang lebih adil dan telus. Sebagai contoh, pembiayaan perumahan Islam membolehkan pengguna memiliki rumah tanpa terlibat dengan unsur riba yang diharamkan dalam Islam.

Tambahan pula, konsep kesederhanaan atau wasatiyyah yang ditekankan dalam ekonomi Islam turut membantu masyarakat menghadapi tekanan kos sara hidup. Islam menggalakkan umatnya berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembaziran.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, amalan berjimat cermat dapat membantu individu mengurus kewangan dengan lebih baik. Contohnya, pengguna boleh mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta mengelakkan budaya berbelanja secara berlebihan yang semakin berleluasa pada masa kini.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 27 yang bermaksud:"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya."

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam menolak sikap boros kerana ia boleh membawa kepada masalah kewangan dan menjejaskan kesejahteraan hidup seseorang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang menghalang keberkesanan kewangan Islam dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Antaranya ialah tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Ramai pengguna masih kurang memahami konsep serta kelebihan sistem kewangan Islam berbanding sistem konvensional. Keadaan ini menyebabkan mereka kurang memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan Islam.

Selain itu, terdapat juga masyarakat yang beranggapan bahawa produk kewangan Islam tidak banyak berbeza dengan produk konvensional. Persepsi ini menyebabkan sebahagian pengguna kurang yakin untuk menggunakan perkhidmatan kewangan Islam. Tambahan pula, sesetengah golongan masih menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang jelas mengenai produk kewangan Islam yang sesuai dengan keperluan mereka.

Cabaran-cabaran ini berpunca daripada beberapa faktor. Pertama, kurangnya literasi kewangan Islam dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai individu masih tidak memahami konsep asas kewangan Islam seperti zakat, wakaf, pembiayaan patuh syariah dan pengurusan kewangan berasaskan Islam. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan instrumen yang disediakan dengan sebaiknya.

Selain itu, terdapat juga sikap bergantung kepada hutang pengguna dalam kalangan masyarakat untuk memenuhi kehendak berbanding keperluan. Sikap ini boleh meningkatkan beban kewangan terutamanya apabila kos sara hidup semakin meningkat.

Seterusnya, pengaruh gaya hidup moden melalui media sosial dan budaya pengguna masa kini sering mendorong masyarakat untuk berbelanja melebihi kemampuan. Keadaan ini bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam. Tambahan pula, masih ramai yang kurang mendapat pendedahan terhadap manfaat kewangan Islam walaupun pelbagai produk kewangan Islam telah diperkenalkan.

Akibatnya, mereka tidak mengetahui kelebihan serta manfaat yang ditawarkan oleh sistem tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kewangan Islam mampu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Antaranya ialah memperluaskan pendidikan dan literasi kewangan Islam melalui program kesedaran yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, institusi kewangan dan institusi pendidikan supaya masyarakat lebih memahami manfaatnya.

Selain itu, institusi zakat dan wakaf perlu diperkukuhkan melalui pengurusan yang cekap, telus dan berkesan agar bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Masyarakat juga perlu digalakkan mengamalkan budaya perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta mengelakkan pembaziran dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, akses kepada produk kewangan Islam perlu diperluaskan dengan menawarkan lebih banyak produk yang mampu memenuhi keperluan masyarakat pada kos yang berpatutan.

Akhir sekali, prinsip keadilan dan tanggungjawab sosial perlu diamalkan oleh semua pihak bagi memastikan kekayaan dapat diagihkan secara lebih adil dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kewangan Islam mempunyai potensi yang besar dalam membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. Instrumen seperti zakat, wakaf, pembiayaan Islam dan amalan kesederhanaan mampu menjadi mekanisme yang berkesan dalam mengurangkan beban kewangan masyarakat.

Walau bagaimanapun, usaha memperkukuhkan literasi kewangan Islam dan meningkatkan kesedaran masyarakat perlu dipergiatkan agar manfaat sistem ini dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Jika dilaksanakan dengan baik, kewangan Islam bukan sahaja mampu membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi, malah dapat mewujudkan masyarakat yang lebih adil, sejahtera dan berdaya tahan.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Dua Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Amirul Amin bin Othman Bakri.

2. Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dr. Jaharudin Padli