Apabila ancaman berada dalam rumah

Iklan
Pendidikan keselamatan tubuh perlu bermula sejak kecil dengan bahasa yang sesuai mengikut umur. (Gambar hiasan)

Berita mengenai seorang remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa rogol oleh datuknya telah menggegarkan masyarakat Malaysia.

Lebih menyedihkan, ia bukan sekadar kisah tentang jenayah seksual terhadap kanak-kanak tetapi juga tentang pengkhianatan terhadap kepercayaan yang sepatutnya menjadi benteng keselamatan seorang anak.

Iklan
Iklan

Walaupun setiap kes perlu melalui proses siasatan dan perbicaraan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah penderaan seksual kanak-kanak sering dilaporkan berlaku dalam lingkungan individu yang paling dekat dengan mangsa. Ini merupakan realiti pahit yang sukar diterima.

Pelaku boleh terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, jiran, kenalan rapat atau individu yang mempunyai akses berterusan kepada kanak-kanak. Kepercayaan yang diberikan tanpa pemantauan kadangkala membuka ruang kepada eksploitasi.

Iklan

Inilah sebabnya setiap ibu bapa perlu memahami bahawa keselamatan anak bukan hanya tentang melindungi mereka daripada orang luar, tetapi juga memastikan tiada sesiapa diberikan kuasa dan akses mutlak tanpa semakan serta perhatian yang berterusan.

Ramai orang bertanya, jika benar sesuatu berlaku, mengapa mangsa tidak memberitahu lebih awal? Sebagai pengamal psikologi kaunseling keluarga, soalan ini sering timbul dalam kes penderaan seksual dan keganasan terhadap kanak-kanak.

Iklan

Hakikat yang perlu disedari oleh orang dewasa ialah kanak-kanak sering berdiam diri kerana takut tidak dipercayai, takut diugut, takut keluarga berpecah-belah atau keliru dengan apa yang sedang berlaku kepada mereka. Ada yang merasakan diri mereka bersalah walaupun mereka sebenarnya mangsa.

Dalam sesetengah keadaan, mereka juga bergantung kepada pelaku untuk tempat tinggal, perlindungan atau keperluan harian, menyebabkan mereka berasa tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan.

Kanak-kanak tidak berfikir seperti orang dewasa. Mereka mungkin mengambil masa berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun sebelum berani membuka mulut.

Apabila seorang anak mula bercerita, perkara pertama yang mereka perlukan bukanlah siasatan yang agresif, tetapi rasa selamat dan keyakinan bahawa ada orang dewasa yang akan mendengar, mempercayai dan melindungi mereka.

Penderaan seksual tidak semestinya meninggalkan kesan fizikal yang jelas. Sebaliknya, perubahan tingkah laku sering menjadi petunjuk awal yang lebih mudah diperhatikan.

Ada kanak-kanak yang tiba-tiba menjadi pendiam, mudah marah atau menunjukkan tingkah laku agresif yang luar biasa. Ada yang kerap murung, mudah menangis, takut bertemu individu tertentu atau mengalami kemerosotan prestasi akademik secara mendadak.

Gangguan tidur, mimpi ngeri yang berulang, tingkah laku seksual yang tidak sesuai dengan usia serta keengganan untuk pulang ke rumah atau berada bersendirian dengan seseorang juga boleh menjadi petanda bahawa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Walaupun tanda-tanda ini tidak semestinya membuktikan penderaan seksual telah berlaku, ia tetap memerlukan perhatian serius daripada ibu bapa dan penjaga. Mengabaikan perubahan tingkah laku yang ketara hanya kerana menganggapnya sebagai fasa biasa perkembangan anak boleh menyebabkan peluang untuk campur tangan lebih awal terlepas begitu sahaja.

Terdapat budaya dalam sesetengah keluarga yang menganggap orang tua atau saudara terdekat tidak perlu dipersoalkan. Atas alasan hormat, ramai ibu bapa gagal meletakkan sempadan yang sihat dalam hubungan antara anak dan orang dewasa di sekeliling mereka.

Menghormati orang tua sememangnya nilai yang baik dan perlu dipertahankan. Namun, keselamatan anak mesti sentiasa mengatasi rasa segan atau takut menyinggung perasaan sesiapa.

Tiada individu yang sepatutnya diberikan kekebalan daripada pemantauan hanya kerana usia, kedudukan atau status mereka dalam keluarga. Kepercayaan yang sihat sentiasa disertai dengan kewaspadaan yang munasabah.

Masih ramai ibu bapa berasa tidak selesa untuk bercakap tentang tubuh badan dan keselamatan seksual dengan anak. Akibatnya, kanak-kanak tidak tahu membezakan sentuhan yang selamat dan sentuhan yang salah.

Pendidikan keselamatan tubuh perlu bermula sejak kecil dengan bahasa yang sesuai mengikut umur. Anak perlu memahami bahawa tubuh mereka adalah hak mereka sendiri dan bahawa bahagian sulit tidak boleh disentuh tanpa sebab yang sah.

Mereka juga perlu tahu bahawa mereka berhak berkata 'tidak' apabila berasa tidak selesa, serta boleh memberitahu ibu bapa atau penjaga jika sesuatu membuatkan mereka berasa takut atau tidak selamat.

Yang lebih penting, kanak-kanak perlu memahami bahawa tiada rahsia berkaitan sentuhan tubuh yang perlu disembunyikan daripada ibu bapa. Pengetahuan seperti ini bukan merosakkan kanak-kanak atau menggalakkan mereka menjadi nakal seperti yang sering dibimbangi sesetengah pihak. Sebaliknya, ia memberi mereka perlindungan dan keupayaan untuk mengenal pasti situasi yang berisiko sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Perkara paling penting dalam pencegahan bukan sekadar memasang kamera atau mengawal pergerakan anak. Yang lebih utama ialah membina hubungan yang membuatkan anak berasa selamat untuk bercakap.

Ibu bapa boleh memulakan perbualan ringkas setiap hari dengan bertanya tentang pengalaman anak di sekolah atau di rumah, sama ada terdapat sesiapa yang membuatkan mereka berasa tidak selesa dan sama ada mereka berasa selamat. Soalan-soalan yang kelihatan mudah ini sebenarnya mampu membuka ruang komunikasi yang sangat penting.

Dalam banyak keadaan, pendedahan awal berlaku bukan kerana siasatan yang rumit, tetapi kerana seorang anak merasakan ada tempat yang selamat untuk mereka bercerita.

Kes-kes seperti ini seharusnya menjadi penggera kecemasan kepada seluruh masyarakat. Jangan terlalu yakin bahawa perkara sebegini tidak mungkin berlaku dalam keluarga sendiri.

Jangan menganggap semua individu yang dikenali pasti selamat. Dan jangan menunggu sehingga anak menunjukkan trauma yang mendalam sebelum bertindak.

Perlindungan terbaik terhadap anak bukanlah pengawasan semata-mata, tetapi gabungan kasih sayang, komunikasi terbuka, pendidikan keselamatan diri dan keberanian untuk bertindak apabila terdapat tanda-tanda yang mencurigakan.

Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan sekadar membesarkan anak, tetapi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang benar-benar selamat, dihormati dan dilindungi.

Dalam banyak kes penderaan kanak-kanak, ancaman yang paling berbahaya bukan datang dari luar rumah. Kadangkala, ia datang daripada kepercayaan yang diberikan tanpa kewaspadaan.

 

Maklumat Penulis:

Pegawai Psikologi dan Kaunselor Keluarga, Pelajar Doktor Falsafah Psikologi Keluarga di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), Nathir Mehamad.