Peranan zakat produktif dalam membantu golongan B40 bangkit daripada kemiskinan

Iklan
Zakat bukan sahaja ibadah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan, malah ia membantu golongan yang memerlukan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Gambar kecil: Nur Syakira Zaleha (atas) dan Dr Jaharudin (bawah)

Isu kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

Kenaikan harga barang keperluan, kos perumahan, perbelanjaan pendidikan serta kos perkhidmatan memberikan kesan yang besar kepada kehidupan masyarakat terutamanya golongan B40.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan ekonomi yang semakin hari semakin mencabar pada hari ini, menyebabkan ramai keluarga yang terpaksa hidup secara berjimat cermat dan merancang semula perbelanjaan harian bagi memastikan keperluan asas dapat dipenuhi.

Malah terdapat segelintir masyarakat yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan semata-mata untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Iklan

Situasi ini menunjukkan bahawa isu kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi masih menjadi cabaran yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.

Dalam usaha menangani masalah ini, Islam sebenarnya telah menyediakan satu sistem ekonomi yang boleh membantu masyarakat secara adil dan menyeluruh iaitu melalui zakat.

Iklan

Zakat ini bukan sekadar ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam yang berkemampuan, malah ia juga merupakan mekanisme yang mampu menolong golongan yang memerlukan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Kepentingan zakat dalam kehidupan masyarakat Islam dapat dilihat melalui firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Taubah ayat ke 60 yang bermaksud:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan."

Ayat ini menjelaskan bahawa zakat diwajibkan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Ia juga membuktikan bahawa agama Islam ini sangat menitikberatkan aspek kebajikan sosial dan kesejahteraan dalam masyarakat.

Melalui zakat ini, golongan yang berkemampuan akan membantu mereka yang kurang bernasib baik agar jurang ekonomi dalam masyarakat dapat dikurangkan.

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:

"Ambillah zakat daripada orang kaya mereka dan berikan kepada orang miskin mereka." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bagaimana zakat berfungsi sebagai mekanisme pengagihan kekayaan yang dapat mewujudkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat.

Melalui zakat, harta dapat diagihkan secara adil dalam kalangan masyarakat untuk mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Secara tidak langsung, zakat juga mampu memupuk semangat tolong-menolong dan tanggungjawab sosial dalam kalangan umat Islam.

Institusi zakat di Malaysia kini sedang aktif memperkenalkan pelbagai pendekatan baharu bagi memastikan bantuan zakat dapat memberi kesan yang lebih besar kepada penerima.

Salah satu pendekatan ialah konsep zakat produktif. Sebelum ini bantuan zakat hanya tertumpu kepada pemberian wang dan bantuan makanan, namun kini bantuan tersebut disalurkan secara produktif dan berkembang.

Bantuan zakat produktif ini diberikan dalam bentuk modal perniagaan, latihan kemahiran, bantuan peralatan dan program pembangunan keusahawanan.

Pendekatan ini telah memberi kesan kepada mereka kerana ia bukan sahaja dapat membantu penerima untuk tempoh masa sementara, malah ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk membina kehidupan yang stabil.

Sebagai contoh, pelbagai institusi zakat di Malaysia telah melaksanakan program pembangunan usahawan asnaf yang memberi peluang kepada penerima untuk memulakan perniagaan kecil.

Terdapat ramai usahawan kecil dalam kalangan asnaf telah berjaya meningkatkan pendapatan melalui bantuan modal dan latihan yang telah diberikan oleh institusi zakat.

Antara perniagaan yang dijalankan ialah perniagaan makanan, jahitan, perkhidmatan penghantaran dan perniagaan dalam talian sehingga mampu untuk menyara keluarga dengan lebih.

Yang lebih menarik, terdapat penerima zakat yang berjaya mengembangkan perniagaan sehingga mampu menggajikan pekerja lain.

Situasi ini menunjukkan bahawa zakat produktif bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada penerima bantuan malah ia telah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Kesannya, manfaat zakat dapat dirasai oleh orang ramai dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dalam kalangan umat Islam.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan zakat produktif masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian.

Antara cabaran ialah masalah pengurusan data asnaf yang kurang sistematik, kekurangan pemantauan terhadap penerima bantuan dan kekurangan kesedaran masyarakat tentang fungsi zakat.

Terdapat juga kes di mana penerima bantuan yang tidak menggunakan bantuan tersebut dengan baik yang menyebabkan pengurusan perniagaan gagal untuk diteruskan.

Selain itu, terdapat juga sebahagian masyarakat yang melihat zakat sebagai bantuan kebajikan semata-mata dan tidak mampu membangunkan ekonomi seseorang.

Persepsi seperti ini perlu diubah supaya masyarakat dapat memahami bahawa zakat mempunyai peranan yang besar dalam membantu dan meningkatkan kesejahteraan hidup umat Islam.

Oleh itu, institusi zakat perlu memperkukuhkan program latihan ini serta membuka pemantauan yang tegas kepada penerima bantuan agar bantuan yang diberikan itu benar-benar dapat membantu masyarakat.

Selain itu juga, penggunaan teknologi digital perlu diperkenalkan supaya ia meningkatkan kesedaran masyarakat dalam pengurusan zakat.

Sistem pembayaran zakat secara dalam talian, data asnaf lebih sistematik serta pemantauan bantuan secara digital mampu menjadikan proses zakat lebih cekap dan telus.

Langkah ini penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat serta bantuan yang disalurkan diberi kepada pihak yang berkelayakan sahaja.

Kesimpulannya, zakat ini bukan sahaja merupakan kewajipan agama semata-mata, malah ia merupakan satu sistem ekonomi yang mampu membantu masyarakat secara adil tanpa mengambil kira kaya ataupun miskin.

Melalui konsep zakat produktif, golongan B40 bukan sahaja dapat memperbaiki pendapatan mereka, malah mereka telah diberikan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik dan pengalaman yang luas dalam menguruskan perniagaan mereka.

Sekiranya diuruskan dengan cekap dan telus, zakat mampu menjadi antara langkah yang penting dalam menangani masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi negara.

Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjayakan dan memperkukuhkan institusi zakat agar manfaatnya dapat membantu ramai masyarakat yang memerlukan.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syakira Zaleha Mohammad Ammy

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my